Minda Pengarang: Kerajaan perlu ambil langkah lebih drastik tangani selesema babi

Minda Pengarang: Kerajaan perlu ambil langkah lebih drastik tangani selesema babi

PENINGKATAN berterusan angka korban akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1) di negara ini mencetuskan keresahan rakyat. Semalam, tujuh lagi kematian dicatatkan menjadikan jumlahnya kini 51 orang. Lebih membimbangkan, jika bulan lalu angka korban H1N1 hanya satu atau dua sehari, puratanya kini meningkat sehingga lima atau lebih setiap hari. Malaysia mencatat kes pertama H1N1 pada 15 Mei lalu, manakala kematian pertama pada 23 Julai. Melihat jumlah pesakit itu yang kini melebihi 2,000 orang dan angka korban berjumlah 51, kegelisahan orang ramai mengenai wabak itu memang ada asasnya. Kempen membendung penularan wabak itu kelihatan seperti 'sekadar melepas batok di tangga' sedangkan rakyat berpendapat langkah drastik sepatutnya sudah lama dilaksanakan. Rata-rata kini mahu kerajaan segera mengambil tindakan berani untuk berdepan ancaman H1N1 sebelum lebih banyak jiwa menjadi korban dan keadaan bertambah rumit. Sekali pun jika tindakan itu mungkin membawa sedikit kesulitan kepada kehidupan harian, mereka sanggup asalkan ia mampu membendung H1N1 dan menimbulkan kesedaran di kalangan kelompok masyarakat yang sebelum ini tidak ambil peduli mengenainya. Ini sesuatu yang menarik kerana jika sebelum ini kerajaan sering terpaksa bersusah payah melaksanakan kempen kesedaran, kini rakyat meminta ia dilakukan secara lebih agresif.

Dalam menangani ancaman seperti wabak penyakit, kita akui kerajaan sentiasa mengamalkan pendekatan berhemah. Dalam kes H1N1 contohnya, orang ramai saban hari diminta jangan panik kerana keadaan masih terkawal. Namun, jika kenyataan sama terus diulang sejak sebelum ada kes H1N1, sehingga selepas wujud kes dan sejak kematian pertama disahkan, hinggalah ia meragut mangsa ke-51, rakyat berhak mempersoalkan sampai bila? Hal sama berlaku terhadap langkah menutup sekolah atau institusi diamalkan bagi membendung H1N1 sebelum ini. Jika dulu ia dikatakan perlu, kini kita diberitahu 'ia bukan cara mengurus wabak itu kerana ia tidak hanya merebak di sekolah sebaliknya di kawasan komuniti, pasar malam atau pasar raya'. Pada masa sama, rakyat juga dimaklumkan 'situasi H1N1 di negara ini belum memerlukan kerajaan mengeluarkan perintah darurat kesihatan, walaupun ia sudah pada peringkat serius berikutan peningkatan kadar kematian'. Kenyataan seperti ini, yang dilihat sebagai mengiyakan sambil menafikan, menyebabkan orang ramai keliru dan akhirnya menimbulkan kekecewaan. Memang tindakan drastik seperti mengisytiharkan darurat kesihatan boleh membawa implikasi meluas, tetapi ia tetap perlu jika itulah jalan terbaik. Dalam menangani ancaman seperti H1N1, pertimbangan sama ada ia akan menjejas kedatangan pelancong, ekonomi atau imej Malaysia tidak harus didahulukan daripada nyawa rakyat yang mungkin terancam. Semua pihak menghargai keprihatinan kerajaan dalam hal itu, tetapi jangan sampai orang ramai berasa seolah-olah pihak berkuasa terlalu mementingkan isu lain berbanding keselamatan. Sekarang mungkin paling sesuai untuk kerajaan bertindak, iaitu ketika orang ramai mendesak langkah drastik segera diambil menangani H1N1. Kegagalan berbuat demikian bukan saja mungkin menyebabkan wabak semakin berleluasa, malah boleh menjejaskan kredibiliti pihak berwajib.

0 comments: