Kunta Kinte: Sudahkah dasar dwibahasa menjadi kenyataan?

Kunta Kinte: Sudahkah dasar dwibahasa menjadi kenyataan?

DALAM kolum ini pada 1994, Kunta Kinte menulis mengenai kebaikan menguasai banyak bahasa. Rencana itu dicetuskan oleh berita 38 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lulus kursus bahasa Russia. Mereka mengikuti kursus bahasa Russia untuk membolehkan mereka pergi ke negara itu belajar dan seterusnya membawa balik jet pejuang MIG-29 yang dibeli TUDM.

Kunta Kinte membuat dua kesimpulan daripada peristiwa itu. Pertama, kita perlu belajar bahasa asing (di samping bahasa kita) untuk maju. Kedua, di mana ada kemajuan, di situ ada jalan untuk mencapai kejayaan. Lima belas tahun kemudian, isu bahasa terus menjadi bahan perbincangan yang hangat dan berahi (passionate), bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Hasil daripada ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bahasa Inggeris mendapat anjakan paling hebat selepas era kolonialisme. Ini adalah kerana bahasa itu digunakan secara meluas sebagai bahasa asal � the originating language � untuk menulis program komputer.

Apabila penggunaan komputer menjadi semakin luas dan wajib dalam penyaluran maklumat, khasnya maklumat ekonomi dan perdagangan, maka penggunaan bahasa Inggeris secara automatik menjadi semakin meluas dan wajib. Ini adalah ironi yang menimpa bukan saja negara kita, malah semua negara di dunia, iaitu bahasa Inggeris bertukar bentuk daripada bahasa kolonialisme kepada bahasa perdagangan.

Hari ini bilangan penutur bahasa Inggeris jauh lebih ramai dan lebih pelbagai daripada zaman penjajahan Inggeris di kemuncaknya. Hanya bahasa Mandarin dengan penutur yang dianggarkan seramai 1.05 bilion mengatasi bahasa Inggeris yang mempunyai penutur seramai 1 bilion. Ini diikuti oleh Hindustan (Hindi dan Urdu) 650 juta, Perancis (500 juta), Sepanyol (350 juta) dan Arab (300 juta).

Akibatnya, negara yang tidak pernah dijajah Inggeris pun kini terpaksa bergelut dengan penguasaan bahasa itu bukan kerana ketaksuban, tetapi atas sebab bahasa itu menjadi lingua franca ICT. Maka dengan apa cara sekalipun, kita kenalah terus berusaha mencapai matlamat dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, di samping menjadikan kepelbagaian bahasa sebagai keutamaan.

Kita wajib bertanya, apakah sistem pendidikan kita sudah berjaya mencapai matlamat dwibahasa ini dan berani memberi jawapan yang mencerminkan suasana sebenar? Rasa-rasanya tidak. Jika kita sudah mencapai matlamat itu, kita tentulah tidak lagi berbahas, berpolemik dan mengadakan tunjuk perasaan supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dihapuskan.

Kita tidak lagi berbahas, berpolemik dan menunjuk perasaan kerana kita sudah menguasai kedua-dua bahasa itu dengan baik sehingga tidak lagi menjadi masalah sama ada kita belajar dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Sebaliknya, penguasaan terhadap kedua-dua bahasa semakin merosot. Semakin sedikit orang kita yang boleh bercakap dan berhujah menggunakan bahasa yang indah, bergaya dan sempurna.

Bahasa pasar, bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak sudah menjadi bahasa basahan dan bahasa rasmi kita. Tidak ramai lagi penutur bahasa Melayu yang boleh bertutur tanpa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris menyebabkan penguasaan bahasa Melayu menjadi semakin hambar dan bahasa Inggeris semakin longlai.

0 comments: