Kemahiran urus kewangan penting
Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN
MEDIA baru-baru ini melaporkan, ramai penjawat awam berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan. Bagaimanapun penulis pasti ia bukan masalah penjawat awam sahaja.
Berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan adalah perkara lazim kerana harga kedua-duanya tinggi dan tidak termampu untuk dibeli secara tunai. Berhutang untuk memiliki rumah dan kenderaan dianggap wajar kerana ia merupakan keperluan hidup.
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: Di antara kebahagiaan hidup seseorang itu ialah mempunyai isteri yang baik serta kediaman dan kenderaan yang baik.
Selain hutang rumah dan kenderaan, ramai yang turut menanggung hutang peribadi daripada koperasi atau bank-bank perdagangan.
Sesetengah mereka pula menanggung hutang tidak formal apabila meminjam daripada ahli keluarga mahupun rakan karib. Itu belum dikira hutang membeli kain sutera yang bukan sahaja mahal, tetapi memerlukan kos penjagaan yang tinggi.
Ada juga yang berhutang untuk membeli pinggan-mangkuk berjenama yang hanya dipakai dua kali setahun ketika hari raya.
Sememangnya ramai yang suka berhutang sedangkan Uqbah bin Amir meriwayatkan Nabi Muhammad bersabda: Janganlah engkau takut-takuti jiwa setelah ia tenteram." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda menjawab: "Hutang".
Hadis ini menjelaskan, berhutang itu tidak digalakkan oleh Islam. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang dilarang. Sebaliknya dibenarkan dalam keadaan tertentu.
Jika tidak, tidak mungkin diturunkan wahyu mengenai perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam sesuatu urusan hutang seperti yang dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Baqarah, ayat 282-283.
Secara ringkas dalam kedua-dua ayat ini, Allah memerintahkan agar mereka yang terlibat dalam hutang: (a) menulis butiran hutang seperti jumlah, tempoh bayaran, tarikh pinjaman, tarikh pinjaman akan dilangsaikan dan seumpamanya; dan, (b) mewujudkan saksi bagi mengesahkan urusan hutang ini dijalankan dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Perincian yang diberikan oleh kedua-dua ayat ini juga menunjukkan bahawa mereka yang berhutang, wajib membayar hutang tersebut. Malah, jika orang yang berhutang meninggal dunia sebelum melangsaikan hutang, harta peninggalannya hendaklah digunakan untuk melunaskan hutang itu sebelum diagihkan kepada waris-warisnya.
Kewajipan membayar hutang ditegaskan oleh hadis: Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali hutangnya kepada manusia. (Hadis riwayat Muslim).
Islam memberikan panduan lengkap berkenaan hutang. Namun, berapa ramaikah umat Islam yang mengambil berat tentang hal ini? Berapa ramaikah yang tahu Islam tidak menggalakkan kita berhutang?
Berapa ramai pula yang tahu bahawa butiran hutang perlu dicatatkan dan perlunya saksi dalam setiap urusan hutang, bukan hanya ketika berhutang dengan bank, tetapi juga dengan saudara-mara dan kawan-kawan? Berapa ramai pula yang berhutang sesuka hati tanpa memikirkan apakah tujuan ia berhutang itu dibenarkan oleh Islam? Berapa ramai pula yang tahu bahawa membayar hutang itu wajib?
Dalam tinjauan penulis mengenai tingkah laku berhutang masyarakat Islam di kalangan 130 responden, didapati majoriti responden berpendapat pinjaman peribadi patut digalakkan walaupun Islam tidak menggalakkan hutang.
Selain itu, walaupun terdapat perintah agar butiran hutang dicatatkan, majoriti responden tidak berbuat demikian apabila melibatkan saudara mara dan rakan handai.
Majoriti responden membuat pinjaman peribadi untuk membuat bayaran pendahuluan membeli kereta, membayar hutang-hutang lain, membiayai pendidikan dan membuat pelaburan.
Jelas bahawa masyarakat kita ada masalah dalam perkara hutang. Sebagai umat yang sikap serta tingkah lakunya dipandu oleh syariat, pendirian Islam tentang hutang perlu disebarluaskan.
Umat Islam perlu tahu tentang pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam urusan hutang dan kewajipan membayar hutang.
Ahli masyarakat juga perlu dididik dengan kemahiran menguruskan wang agar ia digunakan secara berhemah. Menyeru mereka untuk berbelanja secara berhemah berulangkali adalah tidak memadai seandainya mereka tidak diperkasakan dengan kemahiran yang diperlukan untuk melakukannya.
Bagi majikan yang serius mahu mengelakkan pekerjanya daripada terlibat dengan hutang yang mampu mengganggu tumpuan kerja, dua langkah berikut boleh diambil.
Pertama, bagi pekerja muda yang baru melapor diri, majikan boleh menyediakan kursus kemahiran pengurusan kewangan agar mereka mendapat panduan mengenai hal ini. Kedua, untuk pekerja lain, majikan boleh memantau tabiat berhutang mereka melalui slip gaji yang diedarkan pada setiap bulan.
Bahagian kewangan boleh diarahkan untuk mengenal pasti para pekerja yang sebahagian besar gajinya dipotong untuk membayar hutang. Pekerja-pekerja ini perlu diberi kaunseling kewangan bagi mengelakkan mereka daripada terus terperangkap dengan hutang.
Pastinya, peratusan tertentu daripada gaji yang digunakan untuk membayar hutang perlu dikenal pasti lebih awal agar tindakan intervensi ini tidak terlalu lewat diberikan.
PENULIS ialah Felo Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
0 comments:
Post a Comment