Masyarakat tempatan Indonesia pernah mendakwa Noordin mengamalkan kuasa mistik dan mampu menghilangkan diri. Benarkah kenyataan itu?
KEMUSNAHAN yang dilakukan oleh lelaki ini bukan kecil. Sudah lebih 240 nyawa melayang dan ratusan mangsa pula tercedera akibat bom ciptaannya.
Selepas menjadi antara penjenayah paling dikehendaki di Asia Tenggara dan bersembunyi selama beberapa tahun, Noordin Mohammed Top, 41, akhirnya 'tersungkur' di lantai bilik air.
Pada Jumaat lalu, tempat persembunyiannya di sebuah rumah di tengah-tengah sawah dekat Temanggung, Jawa Tengah, Indonesia, digempur oleh pasukan antipengganas, Densus 88 Indonesia selama lebih daripada 17 jam.
Seakan-akan filem aksi Hollywood, berdas-das tembakan dilepaskan, bersilih ganti dengan letupan bom tangan. Suasana tenang di kawasan itu tiba-tiba bertukar menjadi seperti medan peperangan.
Terima kasih kepada penahanan dua orang adik-beradik, Aris dan Hendra yang merupakan pembantu Noordin. Mereka diberkas di sebuah bengkel basikal, tidak jauh dari tempat kejadian.
Selepas mendapat maklumat, seramai 50 anggota skuad elit dikerah dan terus mengepung rumah berkenaan dengan bantuan kereta perisai.
Namun, kegembiraan pihak berkuasa nampaknya tidak bertahan lama. Keputusan DNA (asid deoksiribonukleik) yang diuji mengesahkan bahawa mayat yang dijumpai di dalam rumah tersebut bukan Noordin.
"Dia belum mati lagi. Ujian DNA mengesahkannya," kata ketua Pusat Antikeganasan yang berpengkalan di Singapura, Rohan Gunaratna.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Krisis Antarabangsa, Sidney Jones memberitahu, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul semua maklumat berkaitan serbuan, sebelum menyatakan kemungkinan mayat itu ialah Noordin.
"Saya tidak katakan dengan yakin bahawa dia bukan Noordin. Tapi besar kemungkinan bukan," tegasnya.
Bekas akauntan kelahiran Malaysia itu telah diletakkan dalam senarai Perang ke atas Keganasan oleh pihak Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) sejak tahun 2006. Noordin yang pernah bertugas sebagai guru Matematik berjaya menyembunyikan diri selama tujuh tahun tanpa dapat dikesan.
Namun, ledakan bom di dua buah hotel mewah di Jakarta pada bulan lalu, seakan-akan satu isyarat kemunculan semula Noordin. Buktinya, pakar-pakar berpendapat, bahan letupan yang digunakan dalam kedua-dua serangan tersebut menyamai apa yang ditemui dalam serangan bom sebelum ini.
Bijak mengubah penampilan untuk meloloskan diri, nama Noordin mula menjadi sebutan selepas beberapa siri serangan bom menimpa republik tersebut. Ratusan nyawa terkorban dalam tiga siri serangan bom di JW Marriot (2003), Kedutaan Australia (2004) dan Bali (2005).
Serangan yang dipercayai dirancang untuk menakutkan pelancong asing dan menjejaskan perniagaan itu, rupa-rupanya mempunyai agenda lain. Noordin dan anggota kumpulan militan Islam, Jemaah Islamiyah (JI) mahu membentuk satu 'negara Islam' di Asia Tenggara.
Percanggahan pendapat dengan ahli-ahli JI yang lain tentang pendekatan keganasan telah menyumbang kepada tertubuhnya organisasi-organisasi kecil yang lebih ganas pada tahun 2003. Ini sekali gus membolehkan semakin ramai ahli baru dari kumpulan lain direkrut dan dilatih untuk 'misi' seterusnya.
Noordin kemudiannya keluar dari JI dan menubuhkan Tanzim Qaedat al-Jihad. Kononnya, dia mahu berdiri di atas prinsip jihad dan pertubuhan ini menjadikan orang-orang awam sebagai sasaran.
Berasal dari Kluang, Johor, pemilik Ijazah Sains dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu cukup rapat dengan seorang lagi pengganas Asia, Azhari Husin.
Penghapusan kumpulan-kumpulan pengganas oleh pihak berkuasa Malaysia telah memaksa Noordin melarikan diri ke Indonesia bersama Azhari. Semuanya berjaya dilakukan sebelum peristiwa serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Licik dan nyata seorang strategis, Noordin berkahwin semula dengan seorang warga tempatan, Munfiatun, menggunakan nama samaran, Abdurrachman Aufi setibanya di Indonesia.
|
|
Namun, pengaruh keganasan kumpulan 'jihad' Indonesia itu semakin senyap selepas kematian Azhari dalam satu serbuan polis pada tahun 2005.
Pada Jun 2005, Munfiatun telah dipenjarakan kerana tindakan menyembunyikan maklumat tentang latar belakang suaminya. Hakikatnya, Noordin dikatakan banyak bergantung kepada bantuan keluarga untuk menyembunyikan diri.
Kematian Azhari memaksa Noordin melarikan diri ke Jawa Tengah apabila dua militan penting JI terbunuh. Dia sendiri hampir-hampir diberkas ketika cuba mendapatkan rawatan untuk penyakit hati di Jawa Timur pada tahun lalu.
Mahir menghasilkan bom, kepakaran Noordin sering ditagih. Cukup obses dengan bom, Noordin dilaporkan turut menghasilkan sebuah video tentang penghasilan bom DIY.
Terdapat juga rakaman video yang merangkumi kaedah bagaimana pejuang syahid perlu melaksanakan ritual terakhir mereka. Ini termasuklah cara berdoa, membayar hutang dan menyatakan wasiat dalam bentuk video.
Dia yang diberi jolokan Moneyman oleh pihak media, dipercayai 'bertindak sendiri' sejak enam tahun lalu. Keupayaan inilah yang dikatakan menjadi pujaan anak-anak muda dan ramai ahli radikal JI serta kumpulan lain.
Pernah menggelar diri sebagai 'Ketua al-Qaeda Asia Tenggara', Noordin juga menjadi antara anggota militan yang berjaya menimbulkan rasa takut orang ramai, biarpun berada dalam buruan polis.
Ganjaran berupa wang tunai bernilai RM350,000 turut ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya sama ada dalam keadaan hidup atau mati.
Menurut pihak perisik, Noordin dan Azhari banyak merancang serangan dan merekrut anak-anak muda Indonesia untuk melaksanakan rancangan tersebut. Sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah agama.
Lantas tidak hairanlah, seorang perunding keselamatan di Risk Management Advisory, Ken Conboy, menyifatkan keupayaan Noordin merekrut pengebom berani mati menjadi kunci kejayaannya.
"Dia bijak mendapatkan budak-budak kampung dan meyakinkan mereka untuk menyerahkan nyawa. Ini dapat dilakukannya hanya dalam tempoh beberapa hari," katanya kepada agensi berita, Reuters baru-baru ini.
Dalam laman maya pula, sebuah blog yang dikatakan dikelola oleh jurucakap kumpulan Tanzim Al-Qoidah Indonesia, (didakwa sebagai Noordin), berjaya menarik banyak kunjungan.
Dengan hit kunjungan mencecah 25,000 pada dua hari pertama, ia sekali gus menjadikannya blog paling popular di Indonesia. Blog itu mengandungi mesej-mesej yang dipos kira-kira seminggu selepas serangan bom di Jakarta pada Julai lalu.
Mesej itu 'cukup menarik' kerana mendakwa serangan bom itu bertujuan memusnahkan semua kepentingan yang berunsur barat dan agama Kristian.
"Serangan ke atas JW Marriott dilakukan kerana hotel itu menjadi tempat pertemuan ahli Kadin Amerika (Kadin merujuk kepada Dewan Perniagaan Indonesia). Pertemuan ahli-ahli perniagaan barat itu bertujuan merangka strategi untuk memberi kesengsaraan kepada umat Islam.
"Serangan itu turut menyasarkan pasukan bola sepak Manchester United yang sepatutnya menginap di hotel Ritz Carlton," lapor blog itu yang ditulis dalam bahasa Indonesia.
Dalam serbuan tidak diduga itu, sejumlah bahan letupan seberat 600 kilogram (kg) telah ditemui. Ia dipercayai ingin digunakan untuk meletupkan kediaman Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Keputusan untuk membunuh Susilo dibuat dalam satu mesyuarat yang diketuai Noordin pada 30 April lalu. Semuanya gara-gara mahu membalas dendam terhadap tindakan kerajaan menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga pengebom berani mati dalam serangan bom di Bali, empat tahun lalu.
Namun, ketika ramai yang menarik nafas lega atas laporan kematiannya, Noordin mungkin sedang ketawa melihat kenaifan semua agensi yang ingin menangkapnya, sedangkan dia mungkin sedang sibuk merangka serangan baru.
Nampaknya, Susilo masih belum boleh tidur lena.
0 comments:
Post a Comment