Perdana Menteri paling gembira
Kepada suami seorang bintang filem yang memohon ampun darinya, Tunku bertanya: "Hang dah puas aku tak main bini hang"
Bagi kebanyakan wartawan mengenangkan Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia Pertama adalah mengingati suatu zaman yang riang, ceria dan gembira seperti perwatakan Tunku sendiri.
Tunku pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri paling gembira di dunia sehinggalah berlaku peristiwa pergaduhan perkauman pada 13 Mei 1969.
Ketika api sedang membakar di Chow Kit Road dan Kampung Baharu Kuala Lumpur dalam peristiwa itu, Tunku memanggil kawan-kawannya untuk bermain poker di kediamannya. Beliau mengakuinya bila saya tanya sama ada benar atau tidak dakwaan Dr. Mahathir dalam perkara ini yang tersebar dalam surat terbangnya, Tunku tidak teragak agak terus menjawab "memang betul! Salahkah?, Saya bukan ambil duit bapa dia"
Apabila beliau lihat saya tidak mencatat, Tunku berkata," Tulis, tulis" dalam satu pertemuan dengannya tidak lama selepas peristiwa 13 Mei. Saya tulis tetapi tidak menulis untuk siaran akhbar kerana bila saya bertanya dengan Ketua Setiausaha Sulit Tunku Datuk Nik Hassan Nik Abdul Rahman, saya dinasihatkan tak usah tulis.
Tunku selalu berterus terang. Dalam kempen pilihan raya 1990 di mana beliau menyokong Parti 46 menentang Barisan Nasional, Tunku dalam suatu ucapannya di Kuala Lumpur berkata, "Kalau kita kalah mampus". Kenyataan itu saya gunakan di muka satu akhbar Utusan Malaysia.
Sidang akhbar yang diberikannya setiap Rabu selepas sidang kabinet semasa menjadi Perdana Menteri adalah amat ditunggu tunggu oleh para wartawan tempatan dan juga asing. Biasanya sidang akhbar itu yang saya liputi dalam tahun 60-an diadakan di tangga pintu masuk ke bangunan utama Parlimen di mana terletak pejabat perdana menteri. Tunku berdiri di tangga dan para wartawan mengelilinginya.
Zainuddin Maidin ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.
e-mel: zainudinmaidin@gmail.com
0 comments:
Post a Comment