Dituduh bersalah pada nenek moyang
SAYA terus dikecam hebat oleh akhbar Cina yang saban hari memanipulasikan tulisan-tulisan saya untuk menagih simpati. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain yang ingin disiarkan. Lebih menyedihkan laman-laman web Cina dan bahasa Inggeris turut terikut dengan rentak gendang akhbar rasis ini. Saya dikecam dengan kata-kata yang amat kesat sehingga tidak tergambar masih adakah makhluk seperti ini dalam dunia serba moden.
Saya juga dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Saya ingin bertanya, apa makna pengkhianat? Siapakah pengkhianat sebenarnya? Pengkhianat ialah mereka yang ingin menghalalkan cara untuk mencapai matlamat jahat dan memenuhi nafsu serakah mereka. Sanggup menghina ajaran agama dan bangsa sendiri dengan mempertahankan keburukan. Menjatuhkan maruah manusia dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Itulah pengkhianat bangsa sebenarnya. Mereka ini amat rendah moralnya di sisi Tuhan Yang Esa.
Saya ingin bertanya kepada pembaca Mingguan Malaysia, wajarkah saya menyaman akhbar-akhbar ini? Jika patut, tolong beri tunjuk ajar kepada saya dalam laman blog saya, ridhuantee.blogspot.com, selepas artikel ini disiarkan. Adakah golongan kaduk naik junjung atau pepat di luar rencung di dalam ini, mungkin perlu diberikan pengajaran. Mudah-mudahan selepas itu mereka akan menjadi lebih bertamadun dan bertata susila dalam menulis berita seperti yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara.
Saya fikir, tujuan akhbar ini, terutama China Press memburuk-burukkan saya, tidak lain untuk menutup kelemahan mereka. Tidak ketinggalan untuk melindungi kepentingan peribadi orang tertentu dan parti-parti politik tertentu terutamanya DAP, yang baru mula dapat sedikit kuasa, sudah mahu tunjuk belang. Saya mohon Kementerian Dalam Negeri membaca dan menilai berita dan artikel kiasu ini, mereka menyerang peribadi, bukan menyerang hujah, seterusnya menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
0 comments:
Post a Comment