Sekali pandang, rupanya seperti baru berumur awal 30-an. Hakikatnya, pakar kosmetik dan estetik, Dr. Alice Prethima, 50, sudah melalui pelbagai rawatan kecantikan dan mahu melakukan banyak lagi perubahan pada fizikalnya.
PAKAR estetik, rawatan kosmetik dan kesihatan holistik, Dr. Alice Prethima Michael, 50, tidak malu untuk mengakui banyak yang ingin beliau lakukan pada fizikal dirinya.
“Kalau boleh saya hendak hilangkan pipi yang tembam ini, dan sebenarnya macam-macam lagi saya hendak lakukan. Tetapi jadual kerja saya amat padat.”
“Tambahan pula, saya belum bertemu dengan sesiapa yang dapat melakukannya untuk saya.
“Buat masa sekarang, cukuplah saya menjaga kesihatan kulit saya,” katanya yang merupakan pengasas Dr. Alice Total Wellness Specialist di Klang, Selangor dan Alice Anti-Aging Clinic di Bangsar, Kuala Lumpur.
Kalau diperhatikan, jelas kelihatan kemulusan pada kulit wajahnya. Bersih, lembut dan cukup tegang untuk menafikan umur Alice yang sebenar.
Namun, percaya atau tidak, Alice yang mempunyai ketinggian 160 sentimeter dengan berat badan 52 kilogram dan pernah mengimpikan jawatan sebagai seorang pramugari itu sebenarnya pernah berasa dirinya ‘hodoh’.
“Selepas melahirkan anak kedua, berat badan saya meningkat sehingga 68 kg iaitu lebih 18 kg berbanding berat asal saya,” ujarnya.
Apa yang mengecewakan Alice ialah program menurunkan berat badan di pusat-pusat kecantikan terkemuka negara tidak menunjukkan hasil.
|
|
“Nama pusat itu cukup besar, tetapi teknologinya begitu teruk. Saya menghabiskan sebanyak RM15,000 untuk pakej rawatan tetapi berat badan saya kekal pada 68 kg,” dedahnya.
Sebelum ini, ibu kepada dua orang anak itu juga pernah cuba untuk berlapar semata-mata hendak menurunkan berat badannya.
“Pada waktu itu, saya percaya itulah jalan paling mudah untuk menurunkan berat badan,” katanya yang memenuhkan jadual hariannya dengan bekerja sehingga 48 jam berturut-turut di bahagian ginekologi di sebuah hospital di ibu kota demi mengelakkan masa makan.
Akhirnya, Alice akur pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman yang sesuai dan gaya hidup yang betul merupakan penyelesaian terbaik.
Rentetan daripada siri kekecewaan itu jugalah Alice membuka klinik rawatan kecantikan dengan produknya sendiri.
Dr. Alice Anti-Aging Clinic bagaimanapun hanya menawarkan rawatan kecantikan berbentuk tidak invasif (tidak melibatkan pembedahan) seperti vaginoplasti laser dan vaser liposelection (termasuk mencairkan, menyedut lemak dan menegangkan kulit pada masa yang sama.
“Semua orang ada kecantikan mereka yang tersendiri. Jadi tidak perlulah melakukan ‘perubahan’ yang keterlaluan.
“Rawatan-rawatan kecil (tidak invasif) sudah memadai melainkan apabila rawatan invasif diperlukan, seperti untuk kes kecacatan dan gangguan kesihatan,” katanya yang memiliki Master Certification of Botox, yang hanya dianugerahkan kepada pakar estetik yang berkhidmat melebihi lima tahun.
Apa yang ditawarkan di kliniknya, itulah rawatan yang dilaluinya.“Saya sama seperti tikus makmal. Sayalah orang pertama yang akan menggunakan apa yang ditawarkan di klinik kami.
“Selain menjaga pemakanan dan bersenam, rawatan seperti Thermage Lifting (untuk mata, muka dan tubuh) sehinggalah kepada pembakaran lemak di bawah kulit, banyak membantu menjadikan usaha saya lebih berkesan,” ujarnya.
|
|
Salah satu rawatan kecantikan yang dilihat menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai ialah vaginoplasti laser.
“Masih ramai yang belum mengetahui tentangnya atau ada pihak yang merasakan ia terlalu sensitif untuk dibincangkan,” beritahu beliau.
Menurut Alice, rawatan itu dapat membantu wanita mengatasi situasi seperti kesan jahitan selepas bersalin yang meninggalkan parut yang hodoh, vagina yang longgar atau masalah teknikal seperti bibir luar vagina menggelebeh yang menyebabkan hubungan seksual seorang wanita sesuatu yang menyakitkan.
“Ada juga wanita yang belum berkahwin tetapi mahu ‘mengembalikan’ dara mereka melalui rawatan ini kerana hendak berkahwin.
“Jadi rawatan kecantikan ini sangat peribadi sebenarnya,” dedahnya yang menjadi pelopor untuk terapi keremajaan dan antipenuaan kulit yang menggunakan faktor pengembangan autologous (AGF) yang didatangkan daripada sel darah atau lemak pesakit sendiri melalui rawatan sedut lemak.
Vaginoplasti laser bagaimanapun, hanya dapat mengembalikan ‘efek’ dara dan bukan selaput dara.
Kata orang, pakar kecantikan tentunya orang pertama yang akan menonjolkan sensitiviti terhadap penampilan fizikal.
“Saya sudah lupa bila kali terakhir saya tidak menghiraukan tentang penampilan diri. Bagi saya, sesibuk mana pun, anda sepatutnya mempunyai masa untuk diri sendiri,” ungkap Alice.
Murah dengan senyuman dan mudah berinteraksi ketika sesi fotografi, Alice tidak pula teragak-agak untuk mendedahkan parut yang terpeta pada dagu, bahu dan sikunya.
“Ramai yang tanya kenapa saya tidak hilangkan parut-parut ini memandangkan saya boleh melakukannya pada bila-bila masa. Apa yang saya boleh katakan, ia mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi bagi saya.
“Saya mahu ia kekal di situ agar saya akan terus mengingati orang tersayang yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 19 tahun yang lalu di mana saya dan anak lelaki saya selamat,” ujarnya yang bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah orang tersayang yang dimaksudkannya itu.
0 comments:
Post a Comment