|
|
MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dan apa visi dan misi yang akan dilaksanakan?
JAMALUDDIN: Pertama saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul satu tanggungjawab yang penting dan agak berat. Ini kerana selain daripada Washington merupakan pintu masuk ke AS ia juga merupakan jendela dunia walaupun AS mengalami tekanan ekonomi melalui kejatuhan sektor kewangannya.
Namun demikian ekonomi dan pasarannya adalah yang terbesar di dunia dan kita lihat dari sumber kewangan sama ada pelaburan dalam industri biasa ataupun pelaburan industri baru yang berasaskan ilmu dan inovasi, ia mempunyai dana modal yang paling besar.
Yang kedua dari segi teknologi, usaha kerajaan untuk membina penyelidikan dan pembangunan Harta Intelek di Malaysia tapi ia memakan masa yang panjang dan dana yang besar. Tetapi di AS mereka mempunyai sumber-sumber ilmu dan penyelidikan yang boleh kita terjemahkan dengan produk-produk dan inovasi baru untuk mewujudkan peluang-peluang kepada pengusaha tempatan bagi membina ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda kita.
Namun begitu, Perdana Menteri mahu membina dan mengukuhkan lagi landasan ekonomi baru yang berasaskan inovasi. Ekonomi yang berasaskan inovasi ini adalah ekonomi yang berasaskan ilmu seperti kajian teknologi termasuk yang berasaskan teknologi hijau yang membina produk implementasi yang berasaskan alam.
Sebagai contoh, semasa saya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kita tahu banyak produk-produk plastik yang mencemarkan alam semula jadi, oleh itu kita membuat kajian dengan Massachusat Institute of Technology (MIT) untuk bina teknologi hijau yang boleh dan mampu menukarkan kelapa sawit kepada produk plastik yang mesra alam. Maknanya plastik sekarang ini kalau kita campak di dalam sungai ia tidak akan lupus tetapi yang dibina dari teknologi hijau iaitu dengan kerjasama MOSTI, SIRIM dan MIT, ia mampu mengunakan teknologi bio hijau ini untuk membina satu produk baru dari kelapa sawit.
Sekiranya kita mampu untuk membina teknologi ini, ia mampu mewujudkan satu industri baru di Malaysia sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak muda kita. Kita mempunyai banyak sumber-sumber seperti bahan mentah yang kemudiannya mampu digunakan untuk membina produk yang mesra alam.
Mungkin Perdana Menteri sendiri ada menyampaikan amanat kepada Datuk Seri sebagai Duta Besar negara ke AS?
JAMALUDDIN: Tugas saya sebagai duta di sana adalah untuk mendapatkan kepakaran-kepakaran selain merapatkan hubungan diplomasi antara kedua negara dan membina hubungan yang baik atau jambatan baru antara Malaysia dan Washington bersama sama dengan diplomat-diplomat lain di sana.
0 comments:
Post a Comment