50 tahun Turki mengetuk pintu masuk Eropah
ADA ulang tahun peristiwa penting tidak dirayakan sedangkan ia abadi dalam ingatan. Demikian halnya dengan Turki yang memohon 50 tahun lalu untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU), tetapi masih terus mengetuk pintu hingga kini.
Seperti dilaporkan oleh agensi berita asing Turkey Marks 50 Years of Knocking on Europe's Door pada 31 Julai lalu. Antara masalah ialah tentang dari negara Perancis dan Jerman walaupun Amerika Syarikat berkali-kali menyuarakan sokongan kepada Turki.
Segera timbul ialah pertanyaan sama ada tentangan kepada permohonan itu kerana hampir semua rakyat Turki sejumlah lebih 70 juta beragama Islam. Dan adakah juga tentangan tersebut berkaitan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Empayar Osmaniah di masa lampau terhadap kaum Armenia dan Kurdish.
Walhal empayar tersebut telah dibubarkan dan Turki diisytiharkan sebagai republik pada tahun 1923. Seperti berlaku adanya Empayar Osmaniah yang Islam menguasai beberapa negara Eropah pada bahagian tenggara. Pun tidak diampuni?
Wal halnya juga sewaktu perang dingin antara kuasa-kuasa Barat dan komunis dahulu. Turki menjadi benteng pertahanan yang melindungi negara-negara Eropah Barat. Apakah sumbangan dan pengorbanan begitu penting tidak lagi dihargai dan dilupai?
Catatan silam diulangi: Pada 31 Julai 1959 Perdana Menteri Turki ketika itu, Adnan Menderes mengumumkan permohonan Turki untuk menyertai European Community (kemudian bertukar nama menjadi European Union).
Hal tersebut dijelaskan oleh seorang wartawan kanan Turki, bernama Mehmet Ali Birand baru-baru ini. "Permohonan itu diajukan oleh Perdana Menteri Turki yang dipilih secara demokratik bagi kali pertama, tetapi kemudian dihukum gantung dalam rampasan kuasa pihak tentera pada tahun 1960."
Pihak berkuasa European Community kemudian menolak permohonan Turki, tetapi pada tahun 1963, kedua pihak menyetujui satu perjanjian bersekutu yang membolehkan Turki memohon kemudiannya.
Hanya pada tahun 1999, Turki memperolehi status rasmi menjadi calon - ahli European Union. Rundingan demi rundingan berlaku hingga 2005.
Mehmet Birand menambah: "Menyertai dunia Eropah telah menjadi impian sejak zaman Empayar Osmaniah." Empayar tersebut lahir pada abad ke-13.
sempadan
Pada Abad ke-16, empayar tersebut merebak dari sempadan Poland hingga ke Teluk Parsi dan dari Algeria hingga ke Barat Caspian, termasuk kawasan Israel ketika ini, Iraq, Lebanon, Syria dan Yemen. Turut serta negeri-negeri wilayah Balkan. Empayar tersebut bubar selepas Perang Dunia Pertama.
Agensi berita Barat baru-baru ini mencatatkan kenyataan seorang pegawai kanan Presiden Turki, Abdullah Gul: "Kesatuan Eropah menjanjikan hak-hak asasi lebih merata dan kebebasan- kebebasan lebih meluas. Dan apa jua tuntutan dari Turki akan memberi faedah kepada rakyat." Namun, pegawai kanan tersebut tidak mahu namanya disebut.
Terbit beberapa waktu lalu ialah buku berjudul Civil Society in The Muslim World, termasuk keadaan di Turki. Lalu disebut betapa ia dipanggil Papa State (Baba Davlet) oleh pihak-pihak lain kerana bertindak seperti bapa.
Seterusnya disebut betapa politik Turki sejak tamat Perang Dunia Kedua begitu pantas proses demokrasinya. Kawasan-kawasan perkampungan dan luar bandar menjadi bandar-bandar yang maju.
Dalam pada itu, timbul isu-isu agama, termasuk tuntutan sebilangan pihak supaya wanita Turki dibenarkan memakai tudung. Ia menjadi isu hangat sejak 1980-an dalam kancah politik Turki, tetapi tidak ada penyelesaian.
Pemerintahan satu parti politik (Parti Republikan) yang lahir sebelum perisytiharan Republik Turki pada tahun 1923 berakhir pada ahun 1945. Beberapa parti politik baru muncul kemudiannya.
Di kalangan dunia Barat pula, nama penulis Turki paling terkenal ialah Orhan Pamuk yang, antara lain, menulis mengenai Istanbul (dulunya bernama Constantinople semasa pemerintahan puak Kristian sebelum empayar Osmaniah). Bukunya diberi nama Memories of a City.
Para pelancong dari negara-negara pada masa lampau menghiasi Istanbul dengan pelbagai fantasi dunia Timur, iaitu yang dianggap menakjubkan dan bukan kebaratan sifatnya.
Dalam pada itu, Kamal Attaturk yang mengisytiharkan Turki menjadi republik disifatkan sebagai seorang yang paling Westernised kerana tindakan-tindakannya supaya Turki menjadi negara sekular.
dikuasai
Turut menimbulkan masalah ialah pendaratan tentera Turki di pulau Cyprus pada tahun 1974. Sejak itu, bahagian utara dikuasai oleh Turki dan bahagian selatan oleh Greece. Kerana itu Greece juga menentang kemasukan Turki dalam Kesatuan Eropah.
Antara yang melabur di negeri Turki kini ialah Microsoft. Dalam satu iklannya dicatat mengenai Turki mempunyai penduduk sejumlah 70 juta dan 65 peratus dari mereka berumur kurang dari 34 tahun.
Di samping itu, kira-kira 400,000 pelajar universiti menerima ijazah setiap tahun.
Pertanyaan: Apakah dengan demikian Turki perlu mengetuk pintu tahun demi tahun lagi seperti dilaporkan oleh media Barat?
- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.
0 comments:
Post a Comment