Bekas personaliti RTM, Azilah Akashah baru dapat memiliki kereta idaman selepas 19 tahun bekerja.
LIMA tahun adalah tempoh yang disasarkan personaliti televisyen yang kini menjadi usahawan, Azilah Akashah, untuk meletakkan dirinya sebagai broker hartanah wanita berjaya di negara ini.
Azilah, 47, kini merupakan pemilik Azilah Properties Sdn. Bhd. dan Qasha Butik. Beliau juga pernah menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia dan pembaca berita sambilan di RTM selama 13 tahun.
Namun, gadis kampung dari Siputeh, Batu Gajah, Perak ini memberitahu, permulaan hidupnya biasa-biasa sahaja.
“Saya bukan berasal daripada keluarga orang kaya. Saya masih ingat lagi, pertama kali menjejakkan kaki di kampus Universiti Teknologi Mara Shah Alam, hanya bantal dan selimut yang saya bawa,” imbau beliau.
Selepas tamat pengajian, Azilah bekerja di sebuah bank selain mencuba nasib menjadi pembaca berita televisyen secara sambilan.
“Pada masa itu, saya langsung tak terfikir untuk terlibat dalam bidang glamor ini,” katanya.
Ibu kepada lima orang anak ini berpendapat pengalaman di RTM sangat berharga kerana di situlah beliau mempelajari banyak asam garam kehidupan.
“Kalau nak diikutkan mungkin saya dah pun bercerai-berai macam sesetengah personaliti televisyen lain. Dunia glamor banyak dugaannya.
“Mereka tak peduli kita dah berkahwin atau belum. Ada sahaja yang nak mengambil kesempatan. Syukur saya dapat bertahan hingga sekarang.
Sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia, banyak kenangan yang dikumpul Azilah.
Selain mengetahui banyak perkara baru, beliau juga berpeluang menemuramah ramai manusia ternama termasuk penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza, anak bekas Presiden Afrika, Nelson Mandela dan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman.
Hampir muflis
Bosan dengan corak kerja di bank yang tidak fleksibel, Azilah mencuba nasib di sebuah syarikat hartanah walaupun sebenarnya beliau tiada pengalaman langsung dalam bidang itu.
“Hasilnya, imbuhan yang saya terima setiap bulan lebih daripada apa yang saya peroleh semasa bekerja di bank,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Azilah mengambil kursus Diploma Hartanah di UiTM selama tiga tahun. Sebelum itu, Azilah sudah pun memiliki diploma dalam bidang perhotelan dan katering.
“Projek pertama saya ialah menjual hartanah bernilai RM78,000 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada tahun 1990.
“Pada masa itu, komisen yang dapat pun sedikit sahaja berbanding sekarang iaitu kira-kira 25 peratus daripada harga yang dijual berbanding 40 peratus kini.
“Sejak itu, saya terus serius dalam bidang ini. Alhamdulillah, rezeki saya ada. Walaupun sukar dan ada naik turunnya dalam perniagaan, tapi saya tabah,” ujarnya.
Menubuhkan Azilah Properties pada tahun 2001, tiada istilah berpatah ke belakang dalam hidupnya.
Menurut Azilah, untuk memasuki pasaran hartanah, seseorang itu harus tahu dengan siapa mereka berurusan dan juga berusaha membina jaringan kerja yang baik.
“Syarikat tak boleh iklankan hartanah yang hendak dijual beli sembarangan kerana terikat dengan undang-undang. Jadi kita perlu pandai cari rangkaian kerja,” terang Azilah.
Bagaimanapun, Azilah akur dengan dugaan dalam perniagaan. Tiga tahun selepas beroperasi, Azilah Properties mula menghadapi masalah hutang.
“Pihak bank hampir nak lelong syarikat saya kerana tak bayar hutang. Tiada bank lain yang nak tolong. Dalam akaun syarikat memang tak ada sesen pun lagi.
“Kawan-kawan pula banyak yang menjauhkan diri. Masa itu barulah saya tahu siapa kawan dan siapa lawan.
“Tapi saya bukan jenis yang senang mengalah. Saya terus berusaha untuk menyelamatkan hasil titik peluh saya. Dan saya bersyukur kerana Tuhan masih membuka ruang di hadapan saya.
“Masa itu ada seorang rakan yang bekerja di sebuah bank membantu meluluskan pembiayaan semula hutang saya walaupun nama saya telah disenaraihitamkan,” kata wanita berbintang Pisces ini.
Qasha Butik
Selama tiga tahun pertama itulah dirinya kerap dirundung masalah yang besar. Setelah meneliti kelemahan dan kekurangan teknik perniagaan, beliau bangkit dengan wawasan baru.
“Walaupun banyak rintangan yang dilalui, saya masih bertahan. Malah, bukan mahu cakap besar, saya baru sahaja membeli kereta idaman saya. Itu pun setelah 19 tahun bekerja,” bicaranya sambil melirik pada sebuah kereta Mercedes Benz di perkarangan pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Memandangkan kebanyakan agensi hartanah didominasi kaum lelaki, ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi azam Azilah untuk merealisasikan misi hidupnya itu.
“Jarang-jarang sekali kita mendengar wanita Melayu menjadi ejen hartanah berdaftar di negara ini. Itulah yang membuat saya mahu terus bersaing.
“Apa yang penting kita jangan separuh hati melakukan kerja. Kalau nak, kena buat betul-betul. Kena ingat, nak berjaya bukan senang,” katanya.
Qasha Butik adalah perniagaan kedua Azilah. “Nama Qasha Butik diilhamkan daripada nama ayah saya sendiri,” katanya tanpa dipinta.
“Hubungan kami anak-beranak memang sangat baik. Kalau ada apa-apa, ayah akan cari saya dulu. Masa dia sakit pun dia masih datang melawat saya di sini. Ayah suka memerhati, walaupun dia tak tunjuk tapi saya tahu dia sayangkan saya,” kenangnya.
Terletak di Bandar Baru Bangi, Qasha Butik menawarkan pelbagai pilihan pakaian wanita dan lelaki termasuk tudung, baju kurung dan baju Melayu yang eksklusif.
“Saya sukakan fesyen dan gemar menjahit walaupun kekurangan masa. Saya juga suka memanjakan diri di spa.
“Jadi, apa salahnya saya buka perniagaan sendiri berdasarkan minat saya itu,” ujar Azilah.
0 comments:
Post a Comment