Patriotisme, politik celaru dan peluang masuk syurga

Patriotisme, politik celaru dan peluang masuk syurga

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com

Rakyat perlu bijak bezakan antara pemimpin, oportunis

BEBERAPA bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu, ruangan ini pernah beberapa kali membincangkan satu fenomena tidak sihat yang wujud di kalangan orang Melayu ketika itu.

Fenomena yang penulis labelkan sebagai 'Dilema Melayu Kedua' itu mengambil sempena analisis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam bukunya The Malay Dilemma yang ditulis selepas peristiwa 13 Mei 1969, memperlihatkan sikap serba salah dan tidak menentu kebanyakan orang Melayu, termasuk pemimpin mereka, dalam menghadapi cabaran hidup masa kini yang ketara lebih kompleks dan sengit.

Semua ini adalah kesan tidak langsung daripada globalisasi yang melanda seluruh dunia tanpa mengenal sebarang batas geografi. Namun pada masa sama, ada juga yang kurang yakin dan masih mahu bergantung kepada bantuan orang lain, terutama kerajaan, untuk menjamin kejayaan mereka. Ada juga dakwaan kononnya kerajaan ketika itu tidak mempamerkan kepemimpinan dan hala tuju jelas untuk membolehkan rakyat merangka masa depan mereka dengan lebih yakin.

Sedikit sebanyak, dilema dihadapi orang Melayu itu turut memalit kaum lain. Akibatnya, timbul satu macam kecelaruan pemikiran di kalangan orang ramai yang jelas dimanifestasikan melalui tindakan, kenyataan dan gelagat yang dipamerkan dari semasa ke semasa.

Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah lebih setahun berlalu dan kepemimpinan negara sudah pun berubah. Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih sebagai Perdana Menteri keenam dan pasukan beliau sudah berusaha dengan gigih untuk membawa perubahan yang dituntut rakyat.

Sebaik mengambil alih jawatan, Najib berikrar membawa Malaysia melalui proses 'transformasi besar' untuk membolehkannya muncul sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau juga memperkenalkan konsep '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' untuk menyuburkan lagi perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan membulatkan fokus penjawat awam, semata-mata demi kesejahteraan rakyat.

Semua ini bukan cakap-cakap kosong atau slogan kaku yang hanya bertujuan menyedapkan telinga yang mendengar. Sebaliknya, ia adalah hala tuju kepemimpinan dan pentadbiran yang didakwa tidak wujud atau tidak jelas sebelum ini.

Untuk mengisi konsep yang dilaungkan itu, Perdana Menteri memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan (NKRA) untuk anggota kabinetnya dan penjawat awam.

Sebagai respons kepada kemelut ekonomi global yang dihadapi sekarang, Najib melancarkan dua pakej rangsangan dan memperkenal beberapa langkah liberalisasi ekonomi serta kewangan.

Untuk merangka model baru ekonomi yang menekankan pendapatan tinggi, beliau menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara yang mesyuarat pelancarannya akan dilaksanakan pada 28 Ogos ini.

Malah sempena bulan kemerdekaan yang dirayakan sekarang, beliau menekankan tidak kurang daripada dua kali mengenai pentingnya semangat patriotisme dipupuk semula di kalangan rakyat untuk menjamin kejayaan agenda negara seperti yang pernah dipamerkan oleh generasi terdahulu.

Ketika merasmikan Wacana Patriotisme: Ke Arah Satu Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa anjuran Mubarak di Gombak awal bulan ini, Najib memberi contoh betapa semangat patriotisme dan 1Malaysia membolehkan pemimpin awal negara menuntut kemerdekaan daripada penjajah British tanpa pertumpahan darah, berbanding banyak negara di dunia.

Ketika melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya pada 12 Ogos lalu, beliau mencadangkan definisi patriotisme diperluaskan untuk meliputi nilai dan perangai baik, bekerja bersungguh-sungguh, menjaga keharmonian negara dan mematuhi undang-undang.

Adalah sesuatu yang malang bagi setiap rakyat Malaysia kerana nampaknya kejujuran dan kesungguhan kerajaan dalam membina negara bangsa ini seolah-olah langsung tidak dihargai sebahagian rakyat.

Ia juga nampaknya tidak mampu meleraikan kecelaruan fikiran dan melembutkan kedegilan sesetengah pihak. Malah penyakit psikologi yang dimanifestasikan melalui pemikiran yang berkecamuk, gelagat dan tindakan di luar batas rasional ini nampaknya kian menjadi-jadi.

Contoh terkini paling klasik dapat dilihat melalui gelagat ditunjukkan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan ketika penamaan calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini mengenai penyokong Umno tidak akan masuk syurga.

Meskipun ada pihak berpendapat bahawa tindakan kedua-dua pemimpin itu bermotifkan politik, sukar untuk difahami politik jenis apa yang mereka amalkan. Ini lebih-lebih lagi kerana tindakan dan kenyataan yang mereka buat itu jelas membayangkan kedangkalan dan kecelaruan fikiran diri sendiri di samping mengaibkan parti yang mereka wakili.

Pilihan yang mungkin masih tinggal untuk majoriti rakyat Malaysia ialah dengan memanfaatkan sepenuhnya pendidikan yang mereka peroleh dan menggunakan kewarasan minda anugerah Tuhan dalam menilai segala perkembangan yang berlaku di sekitar mereka dalam suasana sebahagian masyarakat yang sedang mengalami kecelaruan pemikiran.

Datuk Abdul Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

0 comments: