Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
Jasa Tun Fatimah, Dr Halimaton dan Lim Phaik Gan turut diiktiraf sebagai lambang wadah jati diri anak Malaysia
ANUGERAH Merdeka edisi kedua kali ini diberikan kepada empat tokoh yang banyak berjasa kepada negara dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing. Anugerah berprestij setaraf Hadiah Nobel itu adalah untuk mengiktiraf dan menghargai individu serta organisasi yang memberi sumbangan ulung kepada kebaikan dan kemajuan negara.
Anugerah atas inisiatif Petronas yang turut diasaskan bersama ExxonMobil dan Shell itu juga bertujuan meraikan semangat jati diri kemerdekaan serta mengiktiraf dan menghargai kehebatan penerima yang rangka kerja dan kepakaran mereka memberi kesan jangka panjang kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
Empat pemenang anugerah kali ini adalah bagi kategori Pendidikan dan Komuniti; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia dan Pencapaian Ulung Akademik terpilih termasuk dua ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Naib Canselor UTM, yang juga kolumnis Berita Harian, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, dipilih memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik; Profesor Kimia UTM, Prof Dr Halimaton Hamdan (Kesihatan, Sains dan Teknologi); bekas Menteri Wanita pertama, Tun Fatimah Hashim dan wanita pertama sebagai Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Lim Phaik Gan masing-masing berkongsi anugerah kategori Pendidikan dan Komuniti.
Zaini dan Halimaton masing-masing akan menerima wang tunai RM500,000, sijil dan tropi manakala Fatimah dan Lim masing-masing menerima RM250,000, sijil dan tropi. Majlis penyampaian Anugerah Merdeka 2009 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Filharmonik Petronas pada 19 Oktober ini.
Bagaimanapun tiada pemenang bagi anugerah kategori Alam Sekitar tahun ini kerana tiada yang layak.
Zaini dipilih atas sumbangan besarnya dalam pelbagai isu alam sekitar dengan pengkhususan bidang bekalan air, sistem pembetungan, pemulihan sungai dan ekologi industri. Anak kelahiran Kampung Johol, Inas, Negeri Sembilan itu adalah jurutera profesional alam sekitar, pemimpin akademik, ahli motivator, penganalisis serta penulis yang mempunyai sejarah panjang dari segi pencapaiannya.
Beliau adalah pakar dalam bidang kejuruteraan air, pengurusan bersepadu ekosistem, industri ekologi. Malah beliau juga tokoh akademik bertaraf antarabangsa yang banyak menabur jasa dalam banyak pertubuhan berprestij dan badan penasihat sebagai profesor pelawat dan perunding dalam bidangnya.
Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.
Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia. Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dan bidang pengajian tinggi dihasilkannya sudah diterbitkan dan kini menjadi rujukan pelajar di institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.
Pada 2005, beliau turut dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa teknikal untuk menasihatkan kerajaan Negeri Sembilan mengenai krisis air di Seremban manakala pada 2004 penerima Anugerah Air Malaysia (Penyelidik) dan Anugerah Melayu Cemerlang (Akademik) 2006.
Pada peringkat antarabangsa, beliau turut dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA, 2004-2005, London), dan berkhidmat sebagai Penolong Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2009).
Mengulas kejayaannya itu, Zaini yang juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia menganggap anugerah itu cukup besar dan bererti bukan saja kepada dirinya malah kepada keluarga, seluruh warga UTM dan komuniti akademik di negara ini.
Semua mereka, katanya turut menyediakan ekosistem yang mendorongnya memberi sumbangan khusus kepakaran dalam bidang kejuruteraan alam sekitar.
"Ekosistem akademik yang baik dan merangsang adalah prasyarat kepada kejayaan dan kemunculan tokoh dalam bidang akademik, termasuk penyelidikan, pengajaran dan komitmen berterusan terhadap sesuatu disiplin ilmu.
"Ekosistem yang merangsang akan meningkatkan tahap komitmen dan kualiti kepemimpinan dan membolehkan seseorang memberi sumbangan bermakna dalam sesuatu bidang dan disiplin ilmu.
"Anugerah Merdeka adalah salah satu inisiatif penting untuk memberi pengiktirafan dan sekali gus meningkatkan profil komuniti akademik, aktivis masyarakat dan penyumbang kepada bidang penting kepada kemajuan, kemakmuran dan kemerdekaan negara dalam erti kata sebenar," katanya.
Pemilihan Prof Halimaton, 53, yang mempunyai latar belakang dalam bidang kimia, untuk kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan sumbangannya yang banyak dalam bidang penyelidikan sains.
Beliau menemui dan menukarkan sisa sekam padi daripada jenama Maerogel (Aerogel Malaysia) dengan kaedah berteknologi tinggi untuk pelbagai kegunaan dengan kos lebih murah dan mesra alam. Aerogel asal dicipta pada 1931 oleh saintis Amerika Syarikat, tetapi menggunakan kos pengeluaran yang tinggi dan hanya dikomersialkan secara terhad.
Kaedah yang digunakan Halimaton dapat mengurangkan kos aerogel sebanyak 80 peratus (iaitu antara AS$300 hingga AS$60 untuk 3.5 auns). Kadar itu sangat munasabah dan boleh digunakan secara meluas.
Aerogel ialah penebat haba yang 37 kali lebih berkesan serta bahan yang amat tahan serta sering digunakan dalam pembuatan raket tenis dan skuasy. Selain itu, aerogel juga dapat mengurangkan tekanan mekanikal lebih 2,000 kali ganda dan sesuai untuk membuat panel bom.
Sementara itu, Fatimah, 85, yang dilahirkan di Parit Kurma, Muar mengulangi kejayaan anaknya, yang turut memenangi anugerah Kesihatan, Sains dan Teknologi tahun lalu iaitu Profesor Datuk Dr Khalid Kadir, kerana sumbangannya yang hebat dalam kepemimpinan dan pergerakan bagi menaikkan taraf golongan wanita di negara ini.
Karier beliau dalam bidang politik juga amat menyerlah serta pernah dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am dan turut bekerja keras untuk memperbaiki status wanita dari segi mendapatkan peluang pekerjaan.
Lim, 91, pula yang pernah berkhidmat sebagai duta di beberapa negara, turut berkongsi anugerah dengan Fatimah, kerana aktif dalam kepemimpinan memperjuangkan pekerja di negara ini.
Pencapaian Lim dalam bidang politik, perundangan dan diplomatik dianggap hebat dan jarang dicapai oleh wanita lain di Malaysia. Malah beliau juga berjuang untuk mendapatkan skim bayaran gaji yang sama antara guru lelaki dan wanita.
INFO
Prof Datuk Dr Zaini Ujang - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik
# Pakar dalam bidang kejuruteraan air, pengurusan bersepadu ekosistem, industri ekologi.
# Menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun.
# Penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.
# Sudah mendaftarkan 20 harta intelek dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia. Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dihasilkan beliau sudah diterbitkan.
# Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA, 2004-2005, London) dan Penolong Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2009).
Prof Dr Halimaton Hamdan - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi
# Menemui dan menukarkan sisa sekam padi daripada jenama Maerogel (Aerogel Malaysia) dengan kaedah teknologi tinggi dengan kos lebih murah dan mesra alam
# Maerogel dapat mengurangkan kos aerogel sebanyak 80 peratus (iaitu antara AS$300 hingga AS$60 untuk 3.5 auns).
Tun Fatimah Hashim - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pendidikan dan Komuniti
# Bekas Menteri Wanita pertama.
# Pernah dilantik Menteri Kebajikan Am dan membela hak wanita mendapat pekerjaan.
# Memberi sumbangan dalam kepemimpinan dan pergerakan bagi menaikkan taraf golongan wanita di negara ini.
0 comments:
Post a Comment