Kenapa perlu jaja isu calon BN?
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
UMPAMA bulan jatuh ke riba - begitulah meriahnya pakatan pembangkang terutama Pas yang mempertaruhkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 'menyambut' kes firma guaman yang bersangkutan dengan calon Barisan Nasional (BN).
Cuma kedengaran agak janggal apabila pembangkang dalam sidang akhbar memberitahu, tujuan perkara itu dibangkitkan adalah untuk 'melahirkan rasa kesal' kerana BN meletakkan calon yang diketahui mempunyai kes.
Ada juga pemimpin Pas yang mempertahankan calon BN kononnya beliau tidak bersalah lantaran keputusan memilih namanya untuk bertanding di DUN Permatang Pasir diputuskan oleh parti.
Manakala, kata Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas, Mahfuz Omar pula kes itu melibatkan moral dan BN sepatutnya menggantikan Rohaizat Othman dengan calon lain sebelum penamaan calon atau calon tersebut perlu menarik diri daripada bertanding di N11.
Mengapa pula Pas dan pakatan pembangkang yang sejak awal lagi menjaja kes tersebut sama ada menerusi laman blog mahu siri ceramahnya ingin berkongsi rasa kesal mereka.
Apa agaknya agenda pembangkang beria-ia benar mengambil berat perihal calon yang satu ini sedangkan diketahui umum pembongkaran seumpama itu memberi markah dan bonus tambahan kepada calon mereka untuk menduduki kerusi DUN Permatang Pasir.
Atau Pas teringat bahawa isu moral bukanlah satu faktor utama yang boleh menjejaskan peluang mana-mana calon untuk menang dalam pilihan raya seperti mana yang telah terbukti dan dibuktikan oleh beberapa wakil rakyat parti itu dan pakatan pembangkang.
Bukan tidak ada daripada Pas atau parti-parti pembangkang lain yang cacat moralnya bertanding dalam pilihan raya dan menang besar. Malah calon yang melakukan perbuatan menyanggahi moral dan agama diarak, disorak dan dilambung sebaik mencapai kemenangan.
Calon sebegitu juga dipuji dan dibela sepanjang berlangsungnya kempen pilihan raya. Jadi apa sebenarnya paras keprihatinan pakatan pembangkang dalam hal Rohaizat lantaran DUN Permatang Pasir telah diyakini oleh Pas sebagai lubuk mereka.
Pas dikatakan bakal mencatatkan kemenangan lebih besar pada pilihan raya kecil kali ini berbanding pilihan raya umum Mac tahun lepas.
Sebab itu apabila kes calon BN dijadikan titik tumpuan pakatan pembangkang sebelum dan di peringkat awal kempen atas alasan 'menyatakan rasa kesal' sememangnya mengundang tanda-tanya yang bukan sedikit.
Ini kerana cara kes tersebut ditimbulkan tidak ada kaitan dengan rasa kesal. Sangat jelas ia berupa serangan peribadi bertujuan menjatuhkan imej lawan parti. Apatah lagi perkembangan terkini malam tadi membawa khabar kononnya Pas akan tampil bersama rakan kongsi Rohaizat bagi menceritakan 'kebenaran'.
Seolah-olahnya segala telah diatur oleh Pas. Maklumat kes calon BN telah tersebar luas sejak awal lagi dan malam ini Pas dikatakan pula bakal mengetengahkan aset utamanya. Untuk apa usaha bersungguh-sungguh Pas di kubu kuatnya menyerang peribadi calon dan menyelongkar kealpaan yang beliau alami.
Walaupun Pas dan pakatan pembangkang menepuk dada berbangga dengan kehebatan mereka mempertahankan N11 tiga penggal berturut-turut, riak kebimbangan kerusi itu terlepas daripada genggaman mereka tidak dapat disorokkan.
Peluang menutup kebimbangan itu adalah dengan menjadikan kes Rohaizat sebagai tumpuan, manakala faktor calon mereka yang kalah setiap kali bertanding dalam pilihan raya dipendam. Sebab itu jugalah, Pas dalam sidang akhbar hariannya bersungguh-sungguh menegaskan mereka tidak membuat serangan peribadi, tetapi pada masa yang sama tidak henti-henti membangkitkan isu tersebut.
Kekuatan Pas di Permatang Pasir sememangnya diakui. Dan parti itu tidak sepatutnya cuba mengajar BN dalam soal pemilihan calon biar pun kadangkala ada ada kekhilafan dalam hal tersebut.
Apatah lagi apabila cuba mengaitkan soal moral dengan kriteria calon BN, lantaran sejarah pilihan raya terutama dalam dua pilihan raya sebelum ini jelas membuktikan calon-calon dari pakatan pembangkang juga dibelenggu masalah moral.
Malangnya apabila isu moral dikaitkan dengan pembangkang - itu adalah tragedi, itu juga adalah konspirasi. Biar pun menyanggah moral, kononnya mereka sentiasa suci.
Kesimpulan seperti itu tidak terpakai kepada calon BN dan Permatang Pasir satu lagi buktinya.
0 comments:
Post a Comment