Biarkan jentera bahagian urus kempen pilihan raya
SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008, beberapa pilihan raya kecil (PRK) diadakan di negara ini. Kemeriahan ketika sesi kempen begitu terasa. Namun ia juga disusuli dengan peristiwa kurang baik apabila keadaan tidak dapat dikawal.
Kebanjiran orang luar ke lokasi PRK sebenarnya menambah kekeruhan malah menjadi antara faktor tercetusnya insiden yang mencemarkan proses pilihan raya. Keadaan yang sesak sudah pasti menimbulkan suasana tegang dan mencetus provokasi antara penyokong parti bertanding .
Sudah menjadi tradisi lokasi PRK akan menjadi tumpuan penyokong parti-parti dari seluruh negara. Malah ada yang sanggup pulang dari luar negara semata-mata untuk membantu calon yang bertanding. Kebanjiran penyokong luar ini banyak membawa elemen negatif kepada lokasi PRK.
Pertama, kesesakan lalu lintas yang luar biasa. Keadaan itu mengganggu keselesaan dan rutin seharian penduduk. Pergerakan mereka terganggu dengan kebanjiran kenderaan dari luar.
Jika tidak ada PRK, kemungkinan untuk lokasi itu dikunjungi oleh orang luar agak rendah terutama apabila ia melibatkan kawasan luar bandar atau terpencil.
Corak budaya dan amalan hidup lokasi PRK juga seperti diganggu dengan kehadiran orang politik luar. Malah keadaan menjadi lebih menyedihkan jika penyokong parti dari luar yang hadir membantu jentera kempen tidak menghormati budaya dan nilai-nilai setempat. Kurangnya rasa hormat terhadap budaya setempat akan menyebabkan timbulnya perasaan kurang senang.
Jika lokasi PRK di luar bandar, maka kepantasan orang politik dari luar memahami dan menyelami corak budaya orang tempatan amat diperlukan.
Jika tidak kehadiran jentera kempen parti dari luar akan ditolak dan dianggap mengganggu 'rumah tangga orang'. Sensitiviti orang tempatan perlu pantas difahami. Kebolehan berbuat demikian akan membawa kepada penerimaan orang tempatan, seterusnya mendatangkan kesan kepada tahap sokongan kepada parti.
Kehadiran orang luar di lokasi PRK bukan dapat diterima sepenuhnya oleh ahli dan penyokong parti bahagian terlibat. Kehadiran penyokong luar untuk membantu calon dianggap menolak kekuatan jentera tempatan untuk sesi kempen. Tidak semua penyokong dan ahli parti tempatan setuju dengan kehadiran orang luar ini.
Mereka menganggap jentera di peringkat bahagian yang disusun di kalangan ahli-ahli parti dan penyokong sedia ada mencukupi untuk mengharungi PRK. Cukuplah sekadar menghantar bantuan kewangan, peralatan dan tenaga penceramah.
Lebih baik PRK diuruskan sepenuhnya oleh ahli dan penyokong parti di peringkat bahagian dengan pemantauan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Maksudnya, biarlah jentera kempen dan kekuatan di bahagian itu sahaja diguna pakai untuk bersaing.
Sebenarnya takrif pilihan raya itu sendiri masih kabur di kalangan masyarakat kita. Ada yang beranggapan pilihan raya adalah medan untuk menunjuk-nunjuk kekuatan dan pengaruh. Hal ini menjadi budaya kurang sihat sehingga mencetuskan permusuhan.
PRK boleh dijadikan ukuran untuk melihat kekuatan, keakraban dan kerjasama sesama ahli parti di peringkat bahagian. Biarlah kemenangan calon hasil daripada kekuatan dalaman parti di bahagian atau cawangan.
Jika kemenangan calon ditentukan oleh peranan dan sokongan jentera kempen dari luar, maka isyaratnya amat jelas iaitu kepimpinan tempatan tidak berkelayakan.
SPR perlu melihat situasi ini pada masamasa akan datang sekiranya kebanjiran penyokong parti dari luar ketika PRK terus membawa kesan negatif dan mengganggu kerja-kerja SPR sendiri. Mungkin satu akta baru perlu diperkenalkan untuk menjadikan PRK lebih tenang dan terkawal.
Biarlah kerja-kerja PRK dibuat oleh partiparti politik tempatan. Jangan benarkan penyokong dari luar hadir untuk membantu jentera kempen.
Banyak kaedah lain boleh dibuat untuk menyatakan sokongan kepada parti. Malah sokongan dan kesetiaan kepada parti hanya perlu diterjemahkan di kertas undi. Bukannya berteriak terpekik-terlolong seperti manusia hilang akal. Di sini kita melihat kurangnya ilmu dan penguasaan etika sosial ketika berada di khalayak ramai.
Jika jentera di peringkat bahagian kukuh, tiada berpuak-puak dan kental dengan konsep perjuangan asal maka tidak ada sebab kita memerlukan orang luar untuk datang membantu ketika PRK.
ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM
Pendang, Kedah
0 comments:
Post a Comment