Perlu ada toleransi untuk jayakan kontrak sosial

Perlu ada toleransi untuk jayakan kontrak sosial

KONTRAK sosial tidak wajar dipertikaikan! Itu antara titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menzahirkan kebimbangan terhadap pihak-pihak yang berkepentingan politik yang terus mempertikaikan isu tersebut.

Baginda mengingatkan kesannya kepada negara jika isu itu terus dipertikaikan. Negara akan berdepan dengan konflik, bencana dan huru-hara.

Semua pihak harus merenung peringatan itu agar tidak 'bermain api' dengan mempersoalkan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru, perlu ada sikap toleransi kepada mereka yang mempertikaikan agar tidak membahaskan isu yang sudah dipersetujui sebelum merdeka di kalangan pemimpin Melayu, Cina dan India di negara ini.

Ia demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Tidak kira siapa termasuk kaum yang memegang kuasa ekonomi, pasti tidak mahu kemakmuran, kesenangan dan keselesaan hidup dikecapi selama ini 'dirosakkan' oleh segelintir ahli politik yang rakus kuasa.

Bahkan, dengan persetujuan tiga kaum itu jugalah negara mendapat kemerdekaan pada 1957 kerana penjajah British menjadikan permuafakatan ketika itu sebagai prasyarat untuk kemerdekaan.

Jadi, sudah tentu menjadi tanggungjawab ahli-ahli politik memperjelaskan kepada rakyat fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah, dan bukan mempertikaikannya.

Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubungkaitnya kepada empat elemen utama iaitu Perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara.

Ia juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan Malaysia sebagai negara "Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan" dengan konsep negeri dan persekutuan.

Sudah sewajarnya, apa sahaja yang dipertikaikan oleh ahli-ahli politik pada masa ini berhubung isu kontrak sosial, mereka perlu mengambil kira sensitiviti kaum dan rakyat yang sentiasa memerhati dan mengikuti apa kesudahannya.

Jika ada sesuatu kaum tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara itu, kaum yang lagi satu turut akan menyuarakan perasaan yang sama untuk perkara yang ada kepentingan mereka.

Jadi kewujudan kontrak sosial yang antaranya memelihara hak-hak istimewa pribumi iaitu penduduk Asli, orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak selain tidak meminggirkan kaum-kaum lain di negara ini adalah kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara ini.

Jika diambil perkiraan, 'bahang' isu kontrak sosial itu pada masa ini hanya berlegar-legar di kalangan ahli dan pemimpin politik sahaja.

Wajar diingat, kesan 'panasnya' belum lagi meledak ke luar kepada golongan rakyat pelbagai kaum yang sehingga kini masih melalui kehidupan harian seperti biasa dan dalam suasana harmoni.

Justeru, amat tepat apabila Sultan Kedah menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan yang begitu mendalam terhadap kesan isu berkenaan pada keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sekiranya ia tidak ditangani segera di peringkat politik.

Apa jua faktor yang akan mengakibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum di negara ini, ia dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial itu.

Semua pihak wajar mengamati, menyelami, mendalami dan menginsafi kontrak sosial sebagai penebat kepada keharmonian hidup pelbagai kaum di negara ini.

Sudah pastinya kontrak sosial sebenarnya bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni seperti Malaysia.

0 comments: