Pelawak Arab-Amerika

Pelawak Arab-Amerika

Selepas beberapa tahun diketepikan, pelawak berbangsa Arab-Amerika akhirnya kembali diterima di kalangan masyarakat umum.


FESTIVAL jenaka Arab-Amerika diadakan di Manhattan baru-baru ini.


PELAWAK berbangsa Arab-Amerika, Baha Khalil mengenang kembali keganasan disiplin yang dilakukan ibu bapanya - kemudian ketawa sambil menekup kepalanya.

Ayah memukul dengan tali pinggang, tetapi ibunya lebih kepada kaedah tipikal Palestin.

"Ibu membaling selipar ke arah saya. Orang Palestin suka membaling sesuatu benda. Batu, selipar, kasut dan sebagainya," kata Khalil sambil tersenyum lebar.

Mungkin, satu-satunya perkara yang mencabar berbanding menjadi Arab-Amerika sejak peristiwa 11 September adalah menjadi pelawak Arab-Amerika. Namun, jumlahnya kini semakin bertambah.


ARON KADER membuat persembahan jenaka di sebuah kasino.


Ahad lalu menyaksikan berlangsungnya Festival Jenaka Arab-Amerika buat kali keenam di New York. Khalil, jurutera komputer berusia 28 tahun merupakan salah seorang daripada dua amatur yang dijemput buat kali pertama untuk beraksi di pentas.

Mereka dipilih baru-baru ini dalam satu pertandingan Arabian Idol yang diadakan di sebuah studio pinggir jalan berhampiran selatan Manhattan, Amerika Syarikat (AS).

Bersaing untuk ketawa di hadapan rakan-rakan, sembilan anak muda Arab di New York mendedahkan cerita menggelikan hati termasuklah jenaka yang menyakitkan dalam kehidupan.

Antara bahan lawak yang digemari termasuklah jenaka ibu bapa dan nenek, kawalan keselamatan lapangan terbang dan kesukaran dilahirkan sebagai individu berbangsa Arab-Amerika.

Khalil teringat semula raungan wanita tradisional dalam perkahwinan di New York yang digambarkan berbunyi seperti penggera kecemasan kereta Nissan lapuk.


RAMAI pelawak memilih isu politik sebagai bahan jenaka mereka.


Seorang lagi peserta berharap dapat membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak apabila meniru gaya ibunya untuk memperkenalkan pukulan baru atau membasuh mulut.

Tahani Zahrey, 18, pelajar tahun pertama sebuah universiti di New York yang berpakaian serba hitam menjelaskan kesukaran menjadi seorang Arab vegetarian.

"Ia seperti keluar dari sebuah almari sebagai lelaki gay," ujarnya.

Sementara itu, pemenang kedua dalam acara utama festival tersebut, Zaynab Asaadi berseloroh bahawa penggera di tudung yang dipakainya membuatkan dia rasa agak berbeza dengan berkata: "Kami kelihatan seperti Ninja."

Selepas beberapa tahun diketepikan, pelawak berbangsa Arab-Amerika akhirnya kembali diterima di kalangan masyarakat umum, kata penganjur bersama festival tersebut, Dean Obeidallah.

"Malah, rakyat AS langsung tidak terfikir bahawa orang Arab boleh berjenaka dengan baik. Malah, saya langsung tidak dapat mengira berapa kali saya ditanya 'adakah anda betul-betul orang Arab?'


KEMUNCULAN pelawak berbangsa Arab-Amerika juga melibatkan pelawak wanita.


"Itu bermakna seolah-olah mereka tidak percaya bahawa kami boleh membuat lawak," ungkap Obeidallah.

Banyak perkara sudah berubah sejak serangan pengganas ke atas New York dan Washington pada tahun 2001.

Apa yang penting kata seorang lagi pengasas festival itu, Maysoon Zayid, 33, ialah pelawak muda sekarang perlu mengetahui asas-asas untuk menjadi pelawak profesional.

"Antaranya termasuklah cara menguasai pentas, kajian setiap perkataan yang boleh dikaitkan dengan jenaka agar ia berkesan dan sentiasa berlatih dari semasa ke semasa.

"Di samping itu, topik yang sensitif juga harus dielakkan atau perlu berhati-hati mengenainya," jelas Zayid.

Zayid dan Obeidallah yang telah banyak mengadakan persembahan di Timur Tengah termasuklah bandar Palestin, Ramallah dan Baitul Laham, menggalakkan pelawak menarik perhatian menerusi isu-isu politik, namun jangan terlalu digembar-gemburkan.

"Kemarahan sangat baik untuk jenaka. Tetapi, jenaka juga satu platform terbaik untuk membuat kenyataan. Cuma, jika anda tidak kelakar, ia tidak akan menjadi.

"Ia adalah cara terbaik untuk mengeluarkan rasa hati. Anda boleh menjadi diri sendiri, pakai apa yang anda mahu dan cakap apa yang diinginkan," tambah Zayid. - AFP

0 comments: