Krisis pengurusan budaya
SUATU ketika dulu pembangunan dan hal ehwal kebudayaan diletakkan secara gabungan dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.
Tidak pasti apa rasionalnya menggabungkan pelancongan dengan kebudayaan. Kedua-duanya mempunyai matlamat berbeza sama sekali.
Tetapi kini kebudayaan diletakkan di bawah kementerian yang sesuai dan diasingkan daripada pelancongan.
Kita berharap kebudayaan di bawah teraju Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjanjikan kecemerlangan dan budaya yang teranjak nilainya.
Faktor yang menentukan hidup atau mati sesuatu budaya masyarakat adalah manusia yang mengamalkan budaya itu sendiri.
Kerana itu untuk menjual produk yang berteraskan budaya perlu dimulakan dengan menanam keperluan budaya dalam masyarakat.
Tanpa pengamal, budaya tidak wujud dan tidak ada pengiktirafan. Inilah yang berlaku di negara ini.
Profesor Bruno S Frey dari University of Basel pernah berkata: "menjual budaya tidak sama seperti menjual tomato".
Kata-kata itu memang sinikal tetapi ada benarnya. Frey yang menerajui bidang pengurusan budaya, realistik bahawa kedudukan budaya yang akan menentukan nilai ekonominya.
Setelah membangunkan minda masyarakat terarah kepada penghayatan seni dan budaya yang tinggi, maka produk yang berasaskan budaya ada nilainya.
Di Barat, keperluan seni bukannya selepas seseorang itu tidak ada apa lagi untuk dilakukan, maka dia menjadi pengagum seni.
Sebaliknya biar pun siapa mereka dan apa taraf sosialnya, karya seni berada di tangga yang atas. Ini menyumbangkan kepada ekonomi golongan seniman dan seterusnya meletakkan seni setaraf sektor korporat.
Maknanya untuk mengubah kedudukan seni dan budaya, kita perlu membangunkan masyarakat dan mendidik tentang perlunya seni dalam kehidupan.
Secara jujur kita berdepan dengan krisis pengurusan dan pembangunan budaya yang serius.
Ini tercetus apabila budaya cuba disekutukan sebagai landas ekonomi dalam sektor pelancongan pada suatu masa dulu. Modul ini selalu dilihat kepada beberapa negara lain yang mampu memperdagangkan budaya dalam pelancongan.
Misalnya kita kerap melihat Bali di Indonesia sebagai rujukan bahawa budaya boleh memberi pulangan ekonomi.
Di Bali ia memang benar berlaku tetapi modul yang sama tidak dilaksanakan di sini kerana hubungan masyarakat kita dengan seni terlalu renggang dan tipis.
Di Bali, kesenian tradisi menyambut kelahiran setiap bayi dan menghantar mereka hingga ke akhir hayat. Budaya menjadi keperluan dan pembangunan budaya berlaku tanpa desakan atau paksaan.
Berbanding dengan nilai budaya "Citrawarna" di negara ini, kita sebenarnya cuba menjual budaya yang tidak pun dihayati oleh rakyat sendiri kepada orang luar.
Budaya ini cuba dijadikan penyumbang kepada ekonomi negara tetapi pada masa yang sama karya seni terus tidak ada nilainya.
Golongan seniman tidak teranjak kedudukan mereka kerana tidak ada usaha untuk memberitahu masyarakat tentang nilai karya-karya itu.
Seni popular, filem misalnya, terasing jauh dari paksi budaya dan ketinggian pemikiran rakyat.
Kalau produk seperti ini terlepas hubungannya dengan ketinggian budaya, bagaimana pula budaya mahu dijulang?
Begitu juga dengan persekitaran hidup di kota seperti Kuala Lumpur yang hilang sama sekali citra terhadap budaya tempatan. Bahasa Melayu yang menjadi teras budaya kelihatan begitu asing.
Inilah yang perlu dilihat kembali supaya kebudayaan boleh menyumbang kepada sosioekonomi negara.
0 comments:
Post a Comment