estidotmy wadah perjuangan

estidotmy wadah perjuangan

Oleh LAUPA JUNUS dan NAZRUL AZIM SHARUDDIN

DATA menunjukkan bahawa tahap pembacaan di negara ini masih rendah dan agak membimbangkan dalam konteks menuju ke status negara maju. Namun ia tidak sewajarnya dijadikan faktor penghalang kepada usaha penjanaan lebih banyak bahan bacaan.

Sewaktu kita lebih ghairah mengeluarkan bahan bacaan menjurus kepada elemen-elemen sensasi tetapi tidak membina minda intelek, ada baiknya industri terbabit melakukan sedikit pengorbanan. Industri penerbitan seharusnya berusaha menyajikan pembaca dengan bahan bacaan yang lebih bermutu dan berinformasi.

Berkorban yang dimaksudkan ialah, kita tidak terlalu mengikut kehendak pasaran yang sudah dibuai oleh sensasi, populariti dan kontroversi tetapi dangkal dengan fakta dan tidak mengajak ke arah perkembangan intelek.

Mudah kata, dalam konteks memajukan negara, rakyat kita sebagai pembaca perlu diasuh supaya menerima bahan bacaan berunsurkan akademik , fakta, kritikan dan analisis.

Kebanyakan bahan bacaan berunsur sedemikian yang berbahasa Malaysia tidak banyak terdapat di pasaran ketika ini.

Apatah lagi bacaan berunsur sains dalam bahasa Malaysia, amat sukar didapati dan kalau ada sekali pun jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Pada masa yang sama, kita boleh membayangkan berapa lama ia mampu bertahan di pasaran kerana nyawanya bergantung kepada khalayak.

Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu berkorban melakukan sesuatu untuk membantu sebahagian masyarakat kita memilih bahan bacaan yang sesuai.

Bahan bacaan seperti ini atau lebih mudahnya dalam bentuk majalah. Bukan sahaja dapat ditampilkan dalam bentuk yang menarik tetapi pengisiannya lebih berinformasi. Pada masa sama membantu perkembangan bahasa Malaysia.

Mungkin terdapat pelbagai peringkat umur pembaca yang disasarkan sesuai dengan tahap pendidikan dan umur mereka.

Ketika ini, bahan bacaan bercorak sains menggunakan bahasa Malaysia sebagai mediumnya ialah Dewan Kosmik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadikan pembaca pelbagai lapisan umur sebagai sasaran, khususnya yang terlibat dalam bidang akademik.

Kandungannya mungkin menepati kehendak pembaca tetapi ia tidak dapat menampung permintaan mereka yang dahagakan maklumat dalam bidang sains yang berkembang setiap masa.

Masalahnya, mungkin sudah diduga iaitu kurangnya minat pembaca rakyat Malaysia yang meminati sains. Pada masa sama, perkembangan penyelidikan sains atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan bukan sahaja agak perlahan, tetapi tidak menarik perhatian pembaca.

Ini sudah tentu mengehadkan bahan bacaan menarik yang dapat dihasilkan oleh penulis.

Justeru, edaran majalah bulanan ini pun akan berkisar setakat lima angka sahaja, satu angka yang cukup konservatif tetapi secara jujur, masih berpijak di bumi nyata.

Satu lagi majalah sains yang diterbitkan ialah estidotmy, sisipan sains, teknologi dan informasi terbitan Utusan Malaysia bersama Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi (Mosti). Ia telah bersama pembaca sejak 2002.

Meskipun majalah sisipan ini diberi secara percuma menerusi akhbar Utusan Malaysia pada Rabu terakhir setiap bulan, kajian mendapati kumpulan pembaca sasaran tidak mahu ketinggalan untuk memilikinya.

Majalah tersebut diterbitkan dengan 36 muka surat dengan setiap halaman berwarna dengan kertas berkualiti. Konsep pembacaannya mudah dan santai meskipun sebuah bacaan berunsur sains atau lebih tepat pendidikan.

Sasaran pembacanya ialah pelajar sekolah dan kerana itu ia mengemukakan isu dan tema yang berbeza setiap bulan.

Majalah estidotmy yang tampil dengan kandungan masing-masing 50 peratus bahasa Malaysia dan Inggeris dilancarkan pada Februari 2002.

Namanya yang agak unik itu adalah akronim komersial yang bermakna "era sains, teknologi dan informasi Malaysia".

Ketika itu ia dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Zainal Dahlan sebagai usaha kementerian tersebut untuk meningkatkan minat dan kesedaran sains dan teknologi (S&T) di kalangan masyarakat bermula daripada peringkat awal persekolahan.

Penerbitan bulanan majalah berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Mosti manakala Akademi Sains Malaysia (ASM) bertindak sebagai penyelia untuk setiap keluaran.

Persoalannya ketika ini ialah benarkah majalah itu masih relevan selepas masuk tahun kelapan penerbitannya?

Seorang pembaca majalah ini telah meminta agar ia diterbitkan dua kali sebulan. Cadangan itu pastinya menuntut pengorbanan wang ringgit yang lebih banyak.

Pelajar yang ditemui juga rata-rata mengakui majalah ini banyak menyumbang ke arah memupuk minat mereka terhadap perkembangan bidang sains di negara ini.

Murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, Muhammad Amirul Haziq Azmi, 12, berpendapat, estidotmy merupakan medium terbaik bagi para pelajar mendalami bidang sains secara asas.

"Saya meminati estidotmy kerana ia memaparkan pelbagai topik dan elemen menarik dalam bidang sains untuk pemahaman serta pengetahuan golongan pelajar.

"Pendekatan yang digunakan juga amat sesuai kerana penulisannya mudah dan senang untuk difahami,'' katanya.

Seorang lagi murid tahun enam, Nurhaziqah Abd. Manaff dari Sekolah Kebangsaan Telok Pulai, Klang memberitahu, dia menggunakan estidotmy sebagai rujukan utama untuk mendapatkan maklumat berkaitan bidang sains.

"Setiap bulan saya akan menantikan keluaran majalah ini kerana selain untuk pendidikan, ia juga sesuai untuk bacaan di masa lapang,'' jelasnya.

Bukan setakat pelajar, estidotmy turut digunakan secara meluas oleh guru-guru sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah.

Guru dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Kota Kemuning Shah Alam, Siti Rasyidah Mohd. Rasidi, 35, berkata, beliau menggalakkan pelajarnya membaca bacaan tambahan tersebut sama ada di sekolah atau di rumah.

"Inisiatif tersebut perlu kerana pendedahan maklumat yang dipaparkan dalam majalah ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar dalam sesi pembelajaran mereka,'' jelasnya.

Seorang lagi pendidik, Khairani Shamsuddin, 41 dari Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang berkata, pihak sekolah perlu menjadikan majalah berkenaan sebagai bahan bacaan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Antara usaha yang perlu dilakukan adalah seperti membekalkan majalah ini kepada para pelajar menerusi tajaan oleh pihak tertentu serta menyediakannya di pusat sumber sekolah demi kemudahan para pelajar,'' katanya.

Walaupun ada dua majalah yang mendukung bahasa Malaysia dalam bidang sains, ia sebenarnya tidak mencukupi untuk memartabatkan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu

0 comments: