Politik nasi tambah dalam pakatan pembangkang
APA agaknya akan berlaku jika ketika ini Barisan Nasional (BN) masih menerajui Pulau Pinang dan Kedah? Bagaimana suasana di Kampung Buah Pala atau High Chaparal? Apa pula yang akan berlaku di Plaza Tol Sungai Nyior, Prai dan Bagan Ajam di Butterworth yang masih mengutip tol? Apa pula reaksi terhadap mendapan di Kondominium Gurney Park di Persiaran Gurney? Dan apa pula akan berlaku apabila seseorang secara terbuka mendakwa kuil Hindu dan tokong Cina akan diroboh?
Anda yang bijak pandai dan selalu mengikuti perkembangan dunia politik sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku. Mungkin ada demonstrasi. Begitu juga kenyataan keras dan pedas. Timbullah perkataan seperti akauntabiliti, tidak telus, rasuah, tidak prihatin nasib rakyat, perkauman dan sebagainya. Mungkin ada usul tergempar di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. Mungkin ada desakan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja dan macam-macam lagi. Siapakah mereka ini? Orang yang makan cili akan terasa pedasnya.
Apa pun, dunia politik minggu ini pastinya akan lebih menarik. Kita tunggu saja apa yang akan berlaku. Minggu lalu cerita perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang tidak menjadi kenyataan terus dibincangkan. Puncanya kerana Pas terpaksa merujuk kepada DAP dan PKR yang tidak setuju dengan idea kerajaan perpaduan. Kemudian timbul pula cerita Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat mahu berdebat dengan Presiden UMNO, Najib Tun Razak. Namun banyak pihak melihat debat itu sebagai membuang masa dan tidak membawa faedah ke arah perpaduan ummah. Mungkin lebih terarah kepada usaha untuk memecah perpaduan ummah terutama orang Melayu. Kemudian timbul pula idea wacana antara Pemuda UMNO dengan Pemuda Pas. Tetapi sekutunya, iaitu Pemuda DAP tidak setuju. Mungkin wacana ini juga tidak menjadi kenyataan jika semangat pakatan diambil kira iaitu menghormati Pemuda DAP. Jika berlaku juga, mungkin Pemuda DAP merajuk. Begitulah situasi kerjasama PKR, Pas dan DAP.
Mungkin ada yang berkata, perselisihan pendapat yang berlaku hanya mainan media atau ribut dalam cawan tetapi setakat ini DAP sudah merajuk di Kedah. Wakil rakyat tunggalnya meninggalkan pakatan pembangkang Pas-PKR. Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah pun merestui tindakan wakil rakyatnya itu. Begitulah nasib DAP sebagai parti yang mempunyai wakil tunggal yang dianggap sebagai nasi tambah kepada Pas di Kedah. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apa yang berlaku kepada DAP di Kedah. Di Pulau Pinang, wakil tunggal Pas juga tidak mempunyai peranan dalam kerajaan pakatan DAP-PKR. Hasrat Pas mahu mendapatkan kerusi exco sekurang-kurangnya bagi portfolio agama di Pulau Pinang tidak kesampaian. Di Tanjong tanpa Pas, gandingan PKR-DAP mampu 'hidup'. Nak kata nasi tambah pun tidak boleh. Tetapi sebagai rakan, sepatutnya apabila di peringkat awal sudah berpakat mahu menjatuhkan BN, maka apabila menang, sama-samalah menikmati kemenangan itu. Tidak timbul soal nasi campur atau nasi tambah. Sepatutnya menjadi nasi kawah yang boleh dimakan ramai-ramai bukannya nasi sama ditanak, kerak dimakan seorang. Tetapi harus diingat di Pulau Pinang, Selangor dan Perak, DAP bukan lagi nasi tambah tetapi nasi campur - nasi yang dihidangkan dalam pinggan beserta lauk pauknya. Tetapi pada masa yang sama DAP juga perlu sokongan PKR dan Pas.
Di Kedah, kini Pas dan DAP sama-sama tidak sudi bak kata nasi tak dingin, pinggan tak retak; engkau tak ingin, aku tak hendak. Pas tidak ambil kisah dengan DAP yang hanya mempunyai satu kerusi. Ada seperti tiada. Pas mempunyai kedudukan yang kukuh di negeri Jelapang Padi itu. Lain jadinya kalau PKR melompat kepada BN dan ketika itulah nasi tambah yang ada pada DAP Kedah bernilai tinggi.
Tetapi lain pula cerita di Pulau Pinang yang popular dengan nasi kandar dan buah pala. Nasi tambah yang penting bagi DAP di Pulau Pinang ialah PKR. Kecualilah berlaku sesuatu kepada wakil rakyat PKR yang merajuk atau tidak puas hati terhadap kepimpinan Lim Guan Eng. Memang manis dapat tidur bersama seperti gambaran dalam sebuah laman web anti PKR yang menunjukkan Anwar Ibrahim, Kit Siang dan Abdul Hadi Awang tidur bersama. Tetapi apabila mimpi masing-masing berbeza maka timbullah bermacam hal yang boleh menyebabkan gangguan tidur mereka. Lebih teruk kalau ada yang meracau atau mengigau.
Pergolakan yang berlaku di Pulau Pinang amat menarik perhatian untuk menggambarkan betapa kalut, celaru dan peningnya pakatan pembangkang. Isu bermula dengan pemulauan oleh ahli-ahli majlis PKR pada majlis angkat sumpah jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mokhtar Mohd. Jait. Akhirnya Johari Kassim yang mengetuai pemulauan itu dilucutkan jawatan ahli majlis dan menimbulkan kemarahan PKR. Maka berlakulah 'perang kecil' antara pimpinan PKR negeri dengan Guan Eng.
Tetapi apa yang menghairankan bagaimana ahli-ahli majlis MPSP dari PKR boleh bekerja dengan YDP yang pelantikannya dipertikaikan? Kenapa jika tidak setuju dengan pelantikan YDP, masih terhegeh-hegeh hendakkan jawatan ahli majlis? Kemaruk sangatkah? Tepuk dahi tanya akal, ambil cermin tengok muka.
Di Pulau Pinang, DAP dan PKR tidak boleh 'jual mahal'. DAP masih memerlukan PKR. Jika tidak akan jadilah nasi sedap gulai mentah; gulai sedap nasi mentah (serba tidak sempurna). Kerajaan negeri pimpinan DAP boleh jatuh pada bila-bila masa sekiranya PKR buat hal. Ketika itu nasi tambah Pas di Permatang Pasir mungkin bernilai tinggi, setinggi Komtar. Ketika itu mungkin permaidani sepanjang jambatan Pulau Pinang boleh dihamparkan kepada wakil tunggal Pas untuk duduk dalam kerajaan negeri.
Pakatan pembangkang di Pulau Pinang tentunya tidak mahu hilang kuasa. Maka pergolakan yang sedang berlaku bolehlah dianggap sandiwara semasa. Isu ahli majlis dan Kampung Buah Pala akan selesai supaya tidak ada yang merajuk sehingga boleh menggoncang kerajaan negeri dan Guan Eng terpaksa 'kembali' ke Melaka. Guan Eng tidak boleh membiarkan 'perselisihan' ini berterusan, jika tidak ia akan menjadi seperti anai-anai yang boleh meruntuhkan kerajaan negeri itu. Guan Eng perlu mencari jalan bagaimana mahu memusnahkan anai-anai itu dan tidak mengambil jalan mudah lari daripada masalah tersebut. Tidak guna menyalahkan orang lain setelah 16 bulan memimpin kerajaan negeri.
Harus diingat apa akan terjadi jika PKR merajuk dan bertindak menjadi pembangkang ? Memanglah sesuatu yang amat mustahil jika PKR bekerjasama dengan BN. Pas dan DAP tentu tidak setuju. Tetapi jika berlaku bagaimana?
Lain pula nasi tambah Pas di Selangor yang mempunyai harga yang tinggi. Suasana kelam kabut akan berlaku di negeri itu jika Pas Selangor merajuk. Lebih-lebih lagi jika seorang dua dari PKR pula buat hal.
Di Perak pula, satu-satunya negeri yang nasi tambah Pas bernilai tinggi - mahal harganya - sehingga mampu menjadi menteri besar, bak kata orang nasi tersaji sampai ke lutut sedangkan DAP pula umpama nasi tersenduk tidak dimakan (walaupun sudah menjadi hak tetapi tidak dapat menikmatinya)
Di Perak, DAP amat mengharapkan nasi tambah yang ada pada Pas, PKR dan juga Bebas. Tetapi DAP gagal mendapat nasi tambah Bebas menyebabkan kerajaan negeri pakatan DAP-Pas-PKR tumbang.
Begitulah kisah pelbagai 'nasi' pakatan pembangkang termasuk nasi tambah sama ada melibatkan Pas, DAP atau PKR. Semuanya seperti nasi tambah yang merupakan satu keperluan bagi membentuk kerajaan yang stabil.
Sebenarnya apa yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan bahawa bukanlah mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Mulut boleh berjanji bulan, bintang dan matahari. Tetapi untuk menunaikannya bukan kerja senang. Bercakap dan mengkritik tidak semudah melaksanakannya. Bandingkan antara orang yang buat kerja dan hanya bercakap. Selalunya orang yang banyak buat kerja sering dilihat membuat kesilapan, sementara orang yang hanya tahu mengkritik tidak akan membuat silap kerana ia sebenarnya tidak bekerja. Hanya bercakap mengikut selera.
0 comments:
Post a Comment