Minda Pengarang: Insurans kelompok legakan pemilik kenderaan lama
TINDAKAN segera kerajaan menangani kesukaran pemilik kenderaan lama yang berusia 10 tahun ke atas untuk mendapat perlindungan insurans dengan mewujudkan skim insurans berkelompok dialu-alukan kerana dapat mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah yang memiliki kenderaan itu. Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, kelmarin melegakan pemilik kenderaan berkenaan yang sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah berikutan keengganan syarikat insurans memperbaharui insurans bagi kenderaan yang berharga bawah RM10,000, biasanya membabitkan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Syarikat insurans memberi alasan kenderaan berkenaan berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans, terutama bagi pihak ketiga yang biasanya dikenakan bayaran premium rendah berbanding pemilik kenderaan baru. Tanpa sebarang perlindungan insurans, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan. Langkah segera kerajaan itu wajar kerana ia boleh menangani masalah kenderaan di jalan raya tanpa cukai jalan. Ia bukan saja menyalahi undang-undang tetapi akan menyusahkan. Jika berlaku kemalangan, kenderaan itu tidak dilindungi insurans. Jika sesuatu perkara buruk atau kematian berlaku kepada pemandu atau penumpangnya, keluarga mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan.
Dengan memperkenalkan skim insurans berkelompok yang diuruskan pejabat pos di seluruh negara dan berkuat kuasa serta-merta bulan ini, kesulitan yang dihadapi pemilik kenderaan tua dapat diselesaikan. Langkah itu juga dapat mengelak kemungkinan cubaan syarikat insurans untuk membuat desakan kepada kerajaan bagi meningkatkan premium untuk pihak ketiga dengan enggan memperbaharui perlindungan insurans.
Sehingga kini dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun ke atas bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya, termasuk lebih 900,000 kenderaan Proton dan 300,000 keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999. Dengan memperkenalkan skim insurans berkelompok, pemilik kenderaan, terutama di luar bandar tidak lagi menghadapi kerenah ejen insurans atau bayaran premium yang membebankan. Mereka kini boleh mendapatkannya di pejabat pos pada masa yang sama boleh terus memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing tanpa sebarang masalah. Kita juga menyokong langkah kerajaan mengkaji serta merombak sistem pembayaran insurans yang kini tidak seimbang sehingga membebankan syarikat insurans. Kajian semula membabitkan Kementerian Pengangkutan, Bank Negara dan syarikat insurans itu penting bagi memastikan semua pihak yang terbabit mendapat keadilan dalam pembayaran atau penerimaan pampasan jika berlaku kemalangan jalan raya. Kita tidak mahu, ada pihak yang mendapat pampasan di luar jangkaan, manakala pihak lain terutama syarikat insurans mengalami kerugian sehingga terpaksa meningkatkan kadar premium untuk menampung operasi syarikat dan pembayaran pampasan yang akhirnya membebankan pengguna lain untuk jangka masa panjang.
0 comments:
Post a Comment