Kuasa persepsi media, kempen pilihan raya

Kuasa persepsi media, kempen pilihan raya
Oleh Abdul Rahim Saleh

PENGUNDI Indonesia berusia lebih 17 tahun akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih presiden ketujuh republik itu dan naib presidennya, secara langsung buat kali kedua Rabu ini.

Selepas lebih 30 hari dihujani pelbagai slogan, mesej dan iklan politik melalui pelbagai media, kempen lapangan calon dan penyokong serta tiga hari `masa tenang`, pengundi akan memenuhi pusat mengundi di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Rakyat Indonesia mencipta satu lagi sejarah dengan menunjukkan kematangan dan disiplin berpolitik. Tidak ada kekacauan berlaku, semuanya berjalan lancar walaupun ada calon didapati melanggar beberapa peraturan ketika berkempen.

Kempen pemujukan oleh ketiga-tiga calon presiden dilakukan melalui iklan, program perbincangan dan debat melalui media massa, terutama televisyen dan akhbar, ceramah dan raptai umum di dalam stadium, serta iklan luar, sepanduk dan poster hanya dipasang dan tampal pada jalan tertentu. Tiada sebarang iklan luar, sepanduk dan poster pada jalan utama dari Lapangan Terbang Sukarno-Hatta ke pusat kota raya Jakarta.

Sebenarnya, banyak yang menarik mengenai perjalanan pilihan raya presiden tahun ini. Tiga hari sebelum tarikh mengundi, rakyat diberi masa tenang untuk membuat keputusan mereka. Semua iklan luar, sepanduk dan poster diturunkan, tiada lagi iklan atau program perbincangan di akhbar dan televisyen dan semua kempen lapangan dihentikan di seluruh Indonesia.

Tempoh berkempen secara rasminya tamat malam Sabtu lalu, selepas semua calon diberi peluang sama rata untuk berkempen dan beriklan di lapangan dan juga di media massa.

Pada pilihan raya kali ini, tiga calon bertanding jawatan presiden bersama pasangan mereka diberi nombor pencalonan. Calon yang mendapat nombor satu adalah bekas Presiden Megawati Sukarno mewakili parti Demokratik Indonesia � Perjuangan (PDI-P) berpasangan dengan Prabowo mewakili parti baru Gerinda.

Calon nombor dua adalah penyandang jawatan, Susilo Bambang Yudhoyono dari Parti Demokrat memilih Menteri Ekonominya, Boediono sebagai pasangannya. Calon ketiga adalah pasangan Naib Presiden sekarang, Jusuf Kalla dari Golkar dengan Wiranto dari Hanura.

Pasangan Susilo dan Beodiono mengakhiri kempen dengan ceramah dalam raptai umum di Stadium Gelora Bung Karno, Sendayan, Jakarta. Dengan slogan kempen `Lanjutkan: pemerintahan bersih untuk rakyat`, beliau mengajak rakyat Indonesia melanjutkan usaha beliau sebagai Presiden sejak lima tahun lalu membangun ekonomi negara.

Susilo mengemukakan lima agenda pemerintahan untuk lima tahun akan datang, iaitu peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, pemerintahan bersih dan berwibawa, penguatkuasaan demokrasi dan hak asasi manusia, penegakan undang-undang dan membanteras rasuah, serta pembangunan adil dan merata.

Pasangan Megawati dan Prabowo mengakhiri kempen mereka di Kota Semarang, Jawa Tengah dengan mengingatkan rakyat untuk berwaspada terhadap bakal penipuan daftar pengundi. Sejak minggu terakhir berkempen, pasangan ini memprotes dan meragui daftar pemilih (pengundi) tetap (DPT) pilihan raya presiden yang berjumlah 176 juta pengundi berbanding dengan 170 juta pengundi pada pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), April lalu.

Pasangan Megawati-Prabowo yang berkempen atas slogan `Mega kembali... Prorakyat" mengemukakan manifesto untuk meningkatkan kehidupan rakyat miskin, petani dan nelayan. Mereka menjanjikan program pelajaran dan kesihatan percuma untuk rakyat. Pasangan ini juga menandatangani 'kontrak (perjanjian) politik' dengan persatuan nelayan dan petani untuk mengotakan janji mereka jika terpilih.

Pasangan Jusuf dan Wiranto di Stadium Malang, Jawa Timur berjanji akan bekerja lebih keras untuk melaksanakan slogan mereka `Indonesia Mandiri (berdikari)` dan cogan kata `Lebih cepat lebih baik.'

Jusuf memecah tradisi sebagai seorang Naib Presiden yang menentang bosnya sebagai Presiden. Berasal dari Sulawesi, beliau mendakwa diketepikan Susilo sebagai calon Naib Presiden kerana sifatnya yang cepat menjalankan kerja dan membuat keputusan.

Ketiga-tiga pasangan calon juga tampil dalam tiga sesi `Debat Presiden` yang disiarkan secara langsung oleh hampir semua 11 stesen televisyen nasional. Dalam program debat itu, calon presiden berpeluang menonjolkan diri menyampaikan visi dan misi kempen mereka, berdebat bersama, serta menjawab soalan yang dikemukakan pengacara terdiri daripada ahli akademik dan pemimpin masyarakat.

Melalui program debat, tiada lagi jalan mudah kepada calon presiden untuk meraih undi. Mereka terpaksa meyakinkan penonton sendiri dengan janji kempen. Mereka terpaksa berdepan calon lain untuk mengemukakan pandangan atau mematahkan pendapat lawan di hadapan jutaan rakyat.

Pelbagai rumusan boleh dibuat kepada pengaruh program `Debat Presiden` itu. Bagaimanapun pengaruhnya berbeza di antara dua kelompok besar masyarakat penonton dan pengundi. Kepada kelompok masyarakat yang berpendidikan dan tinggal di bandar, mereka dapat menilai kemampuan calon berhujah pendapat. Bagi masyarakat yang kurang berpendidikan dan tinggal di luar bandar lebih tertarik kepada penampilan dan komunikasi `bahasa lenggok badan `calon bertanding.

Pelbagai tinjauan pendapat dijalankan untuk mempengaruhi dan mengkaji pendapat pengundi. Kebanyakan keputusan tinjauan setakat masa berkempen adalah memihak kepada Susilo. Apakah keputusan pilihan raya Presiden Indonesia 2009 akan mengikut tinjauan pendapat atau persepsi ciptaan media? Rakyat Indonesia menentukannya Rabu ini.

Prof Madya Abdul Rahim Saleh adalah Ketua Program dan Pensyarah Pengiklanan dan Politik Asia, di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ketika ini beliau berada di Jakarta, Indonesia mengetuai pasukan penyelidikan UiTM mengenai `Impak kempen periklanan politik melalui media terhadap pengundi di dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia 2009.

0 comments: