Mencari pemimpin ulung Melayu selatan Thai

Mencari pemimpin ulung Melayu selatan Thai

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
(Yang berkunjung ke Hatyai baru-baru ini)

APAKAH kesudahannya konflik di selatan Thailand? Itulah persoalan yang bermain di fikiran kita, apabila dalam kejadian terbaru tiga lagi penduduk di wilayah berkenaan mati ditembak oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

Walaupun pembunuhan dan serangan bom semakin berkurangan, namun usaha yang padu harus diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan cahaya keamanan kembali bersinar di wilayah tersebut.

Peristiwa pembunuhan ke atas umat Islam di Masjid Kampung Air Tempayan baru-baru ini ternyata masih menjadi bualan memandangkan sehingga ke hari ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Ada penduduk menyalahkan tentera manakala tentera pula menuding jari kepada puak pemisah, tetapi siapa sebenarnya tergamak melakukan perbuatan kejam itu masih menjadi tanda tanya.

Namun begitu, ketika penulis berada di Hatyai baru-baru ini bagi mendapat sedikit gambaran mengenai konflik di selatan Thai, didapati isu pembunuhan berkenaan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan keamanan di wilayah tersebut.

Sementara kerajaan Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva bertanggungjawab mencari pembunuhnya dan mendedahkan hasil siasatan secara terbuka, penduduk Islam pula harus terus memainkan peranan mereka.

Ia kerana mahu tidak mahu, mereka perlu sedar hanya melalui keamanan sahaja, mereka akan mengecapi kemakmuran. Dalam soal ini, kerajaan Thailand boleh dikatakan telah menunjukkan komitmen yang jitu bagi memulihkan keadaan.

Pelbagai program telah dirancang dan jutaan ringgit telah disediakan untuk membangunkan wilayah selatan. Malah Abhisit telah menunjukkan keterbukaan dengan menyatakan kesediaan membantu apa sahaja yang terdaya oleh kerajaan. Tetapi bagaimana dengan pendirian penduduk Islam?

Sebenarnya, sudah tiba masanya, penduduk-penduduk Islam menunjukkan kesepakatan mereka dan membantu kerajaan memulihkan keadaan. Mereka tidak harus lagi terus dibelenggu dengan perasaan dendam, permusuhan dan kebencian yang berterusan.

Kerana, sikap sedemikian hanya akan menambah penderitaan mereka dan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Bagaimanapun apa yang menjadi masalah ialah penduduk Islam di selatan Thai tidak mempunyai seorang pemimpin ulung yang boleh dijadikan sandaran oleh kerajaan untuk berunding.

Pada masa ini, kerajaan terpaksa mendekati banyak pihak termasuklah sesetengah kelompok yang mengaku kononnya mereka pemimpin pejuang.

Tetapi hakikatnya, itu hanyalah dakwaan semata-mata. Yang jelasnya kerajaan berhadapan dengan masalah untuk mencari jalan membawa keamanan.

''Orang Islam tidak ada pemimpin ulung yang boleh dijadikan sebagai 'platform' kepada kerajaan untuk berbincang. Apa yang penting ialah konflik di selatan perlu ditamatkan.

"Oleh itu mahu tidak mahu penduduk Islam mesti bersepakat untuk menonjolkan seorang pemimpin utama yang boleh dijadikan sandaran memperjuangkan nasib mereka. Pihak kerajaan sendiri patut membantu usaha pencarian tersebut '' kata sumber itu lagi.

Persoalannya mampukah penduduk-penduduk Islam tersebut berbuat demikian? Penulis menimbulkan soalan ini kerana adalah jelas pada masa ini mereka berpecah-belah.

Tidak ada kesepakatan, malah yang mengaku pemimpin puak pemisah pula sebenarnya tidak ada pengaruh apa-apa di kalangan rakyat. Lebih malang lagi, mereka ini bak kata orang 'enak-enak' duduk di luar negara dan hanya pandai membuat kenyataan yang akhirnya akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu, penduduk Islam sendiri yang harus menentukan siapakah yang mereka mahu. Cara terbaik yang boleh dilakukan dan mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Thailand ialah mengadakan satu pemilihan ala pilihan raya.

Ia bermaksud, di selatan Thailand diadakan satu 'pilihan raya mini' bagi mencari seorang pemimpin. Pendekatan seumpama ini pernah dilakukan ketika berakhirnya Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Indonesia.

Walaupun situasi di Aceh dan selatan Thailand adalah berbeza tetapi ia berkaitan dengan usaha mencari seorang pemimpin bagi memimpin masyarakat dan mengetengahkan pandangan mereka kepada kerajaan.

Perkara ini perlu difikirkan secara serius oleh penduduk Islam termasuklah puak-puak yang kononnya berjuang bagi menuntut hak mereka. Perjuangan secara ganas yang sedang mereka lakukan tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Mungkin mereka boleh berbangga kerana sudah berjuang sejak 200 tahun lalu tetapi apa hasil yang mereka dapat? Tidak ada apa-apa selain kita menyaksikan pergolakan dan konflik berterusan di wilayah yang terlibat.

Selain itu, mereka harus memahami sejarah dunia sudah membuktikan bahawa perjuangan puak-puak pemisah tidak pernah mencapai kejayaan, lihat sahaja apa yang berlaku kepada LTTE. Kesemuanya berakhir dengan kemusnahan.

Berdasarkan kepada hakikat itu, adalah lebih baik jika tumpuan diberikan kepada menyelesaikan konflik melalui meja perundingan yang sudah pasti akan mampu mewujudkan keamanan.

Jika puak pemisah atau mereka yang terlibat dalam konflik itu benar-benar ingin berjuang, maka berjuanglah untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya menambah kesengsaraan kepada mereka.

Peranan penduduk Islam selatan Thai juga penting bagi menolak sebarang unsur subversif yang cuba dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Janganlah menerima secara bulat-bulat bahawa kerajaan Thailand sentiasa tidak ikhlas.

Kalau dilihat kerajaan Abhisit agak berbeza dengan pemimpin-pemimpin Thailand sebelum ini.

''Beliau sudah menunjukkan komitmen bagi membantu penduduk Islam, oleh itu kita tidak boleh terlalu banyak prasangka,'' kata seorang penganalisis politik yang berasal dari selatan Thailand.

Kini segala-galanya terserah kepada penduduk Islam menentukan, mereka mempunyai pilihan sama ada bersatu untuk bersama membantu melaksanakan misi kerajaan mengamankan wilayah yang mereka diami atau terus membiarkan konflik berpanjangan yang sudah pasti tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

0 comments: