Damainya suasana pilihan raya di Indonesia

Damainya suasana pilihan raya di Indonesia

RAMAI yang pertama kali datang ke Jakarta semasa Pilihan Raya Presiden atau Pilihan Raya Legislatif terkejut akan kedamaian suasana pilihan raya di Republik Indonesia kali ini.

Negara umat Islam terbesar di dunia itu juga terkenal dengan penganut Islam ekstrem dan kaum pelajar yang cukup berani dan ahli politik yang lantang.

Bagaimana dalam hanya kira-kira 10 tahun selepas melalui zaman reformasi negara republik itu dapat membentuk sistem politik yang stabil dan sistem pilihan raya yang begitu aman?

Ini menimbulkan rasa kekaguman dan tanda tanya bagaimana dalam tempoh itu juga Indonesia berjaya mendidik rakyat dan ahli politiknya menjadi begitu matang.

Tiada caci maki atau carut-marut sepanjang tempoh kempen berlangsung, yang ada hanyalah para calon menyatakan misi dan visi masing-masing dan kritikan juga dalam lingkungan yang ditetapkan.

Isu politik wang langsung tidak timbul kerana calon yang bertanding takut dengan tindakan tegas pihak berkuasa. Penulis sendiri menyaksikan bagaimana peguam sebuah parti menjadi kelam kabut kerana salah seorang calon partinya ditangkap cuba membeli undi dan terus dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan oleh mahkamah.

Walaupun calon berkenaan masih layak bertanding, tetapi oleh kerana dia didapati bersalah, dia terpaksa meringkuk di dalam penjara dan nama yang buruk telah menjejaskan peluang untuk menang pada pilihan raya.

Undang-undang ketat dan penguatkuasaan yang tegas menyebabkan calon-calon tidak berani bermain taktik kotor. Ini kerana mereka bukan sahaja dihukum oleh mahkamah dan yang lebih berat oleh media massa yang memaparkan kecurangan yang dilakukan dan paling ditakuti hukuman oleh rakyat.

Satu hal yang agak pelik dalam pilihan raya di Indonesia ialah tentera dan polis tidak dibenarkan mengundi kerana dikehendaki berkecuali dan hanya bertanggungjawab menjaga keamanan semasa pilihan raya.

Alasannya adalah kerana bagi mengelakkan daripada timbulnya gerakan oleh tentera khususnya untuk merampas kuasa atau mengguling kerajaan pilihan rakyat sebagaimana berlaku pada zaman orde baru.

Bagaimanapun peraturan itu sebenarnya telah menafikan hak asasi seorang rakyat untuk memilih pemimpin, sedangkan Indonesia sebuah negara yang cukup mengutamakan hak asasi manusia.

Di Indonesia juga pusat pembuangan undi hanya menggunakan khemah, bukan di dalam bangunan tetap dan ia banyak terdapat di kawasan penempatan penduduk dan pengundi hanya perlu berjalan tidak sampai 500 meter untuk mengundi. Jumlah pusat pembuangan undi yang banyak juga dapat mengelakkan daripada berlaku kesesakan.

Satu perkara yang menarik berlaku pada pilihan raya presiden kali ini adalah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia membenarkan semua rakyat yang mempunyai kad pengenalan untuk mengundi tanpa perlu dijemput oleh badan berkenaan.

Badan berkenaan sebelum ini hanya menghantar surat jemputan kepada para pengundi berdasarkan daftar pemilih dan mereka yang menerima surat jemputan sahaja boleh mengundi.

Bagaimanapun setelah pelbagai pihak membantah dan mendakwa kira-kira 40 juta penduduk Indonesia tidak dapat mengundi, akhirnya Mahkamah Konstitusi mengarahkan peraturan baru itu diperkenalkan.

Di Indonesia penduduk berusia 17 tahun adalah layak untuk mengundi dan bagi wanita yang telah berkahwin lebih awal, mereka juga dikira layak mengundi.

Satu perkara yang perlu dipelajari oleh Malaysia ialah tentang tempoh tenang sebelum pilihan raya, di mana semua sepanduk kempen perlu diturunkan dan tiada lagi kempen dibenarkan termasuk pada hari mengundi.

Arahan tersebut pula memang dipatuhi oleh semua parti dan calon yang bertanding. Pada hari mengundi orang ramai tidak boleh memakai baju yang mempunyai lambang parti atau berkempen atau istilah merayu undi sebagaimana terdapat di Malaysia.

Tiada pondok panas yang sering memanaskan pilihan raya di Malaysia, tiada kawalan ketat polis kerana masing-masing hanya santai keluar mengundi bersama keluarga.

Undi memang rahsia, tetapi pengundi biasanya akan berjenaka dengan rakan di sebelahnya ketika berada di dalam petak undi dan menunjukkan tiada langsung ketegangan berlaku.

Selain itu, kerajaan yang dipilih akan meneruskan pemerintahan sehingga tamat penggal walaupun pilihan raya sedang berlangsung. Contohnya walaupun Jusuf Kalla menentang Susilo Bambang Yudhoyono untuk jawatan Presiden dan kalah, tetapi beliau masih menjalankan tugas sebagai Naib Presiden sehingga tamat penggal pemerintahannya pada Oktober ini.

Pengiraan undinya pula dilihat telus, ia dimulakan di tempat pembuangan undi sebaik sahaja pengundian ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Selepas itu pengiraan undi dilakukan berperingkat-peringkat dari daerah hinggalah ke pusat di Jakarta dan akhirnya pengumuman rasmi akan dibuat pada 25 Julai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.

Rakyat Indonesia di luar negara juga diberi peluang mengundi. Mereka memilih pemimpin untuk kerusi wakil rakyat Indonesia di luar negara. Wakil rakyat inilah yang akan menjaga kebajikan mereka.

Memang banyak yang dapat dipelajari oleh Malaysia dan mungkin satu kajian perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mengenainya.

0 comments: