Dasar Beijing 'menekan' Uighur

Dasar Beijing 'menekan' Uighur

Oleh AZMI HASSAN

Strategi Beijing mentadbir Xinjiang yang hanya memberi keistimewaan kepada satu kaum etnik adalah contoh klasik yang sudah pasti mengundang padah. Rusuhan kaum yang berlaku di antara etnik minoriti Islam Uighur dan etnik Han tidak memeranjatkan. Ini kerana, semenjak Xinjiang menjadi sebahagian daripada China pada tahun 1949, dasar Beijing langsung tidak mengambil kira sensitiviti penduduk asal Uighur.

Perlu diingatkan kaum Uighur pernah satu ketika pada awal 1940-an mempunyai negara yang merdeka iaitu Turkestan Timur. Walaupun China memberi status pemerintahan autonomi kepada Xinjiang, kuasa sebenar masih berpusat di Beijing.

Memang benar Gabenor Xinjiang adalah terdiri dari etnik Uighur tetapi kuasa membuat keputusan terletak di tangan Parti Komunis China yang lebih bersimpati terhadap kaum Han.

Tidak dapat dinafikan semenjak mengambil alih Xinjiang, Beijing telah sedaya upaya membawa pembangunan terutama sekali semenjak dua dekad yang lepas. Xinjiang sememangnya kaya dengan hasil sumber asli, tetapi penerokaannya memerlukan kepakaran dan perbelanjaan yang besar dan di sinilah kehadiran Beijing dirasakan memberi manfaat kepada wilayah tersebut.

Tetapi timbul ketidakadilan dasar Beijing dalam membahagikan kekayaan ekonomi hasil pembangunan Xinjiang kerana sebahagian besarnya dibolot oleh kaum Han.

Walaupun Uighur adalah penduduk asal Xinjiang mereka tidak mampu menyaingi kaum Han bukan kerana kelemahan mereka, tetapi dasar Beijing yang memberi kelebihan kepada kaum Han.

Segala-galanya bermula apabila Beijing mengamalkan dasar menggalakkan penghijrahan kaum Han ke Xinjiang pada awal tahun 1970-an. Pada tahun 1949 kaum Han hanya merangkumi enam peratus daripada keseluruhan penduduk Xinjiang.

Akibat daripada dasar penghijrahan Beijing, hari ini kaum China Han merupakan kumpulan majoriti penduduk wilayah tersebut dan paling mengaibkan ialah menjadikan Uighur sebagai penduduk minoriti di negara sendiri.

Sepatutnya kehadiran kaum Han tidak memberi masalah tetapi membawa kebaikan kerana kaum ini lebih berpelajaran yang boleh digunakan sebagai pemangkin pembangunan Xinjiang.

Tetapi oleh kerana dasar Beijing yang berat sebelah memberi keutamaan kepada kaum etnik sendiri, maka sebahagian besar ekonomi dan jawatan pentadbiran kerajaan dibolot oleh satu kaum sahaja, iaitu Han.

Bukan sahaja dasar Beijing menjadikan Uighur sebagai anak tiri, tetapi terdapat juga dasar yang diamalkan seolah-olah mahu menghapuskan langsung kepercayaan agama dan tradisi Uighur.

Agak menjadi sukar Uighur mengamalkan pegangan agama mereka kerana terlalu banyak kekangan dikenakan terhadap penganut Islam. Jumlah masjid yang terdapat hari ini jauh lebih kurang daripada yang pernah ada pada tahun 1949.

Ini adalah kerana dasar Beijing yang menyukarkan pembinaan masjid terutama sekali untuk mendapatkan peruntukkan atau kelulusan majlis tempatan.

Paling menyedihkan ialah penduduk Uighur yang berumur di bawah 18 tahun tidak dibenarkan bersembahyang di masjid. Beijing cuba memberi persepsi institusi masjid itu dianggap sebagai pariah dan jijik dengan memberi arahan penjawat awam yang beragama Islam tidak dibenarkan sama sekali beribadat di masjid.

Kekangan juga dikenakan untuk mengerjakan ibadat Haji di Mekah, hingga menyukarkan individu Uighur menunaikan tanggungjawab mereka.

Bukan itu sahaja, dasar Beijing juga seakan-akan mahu menghapuskan budaya kaum Uighur terutama sekali bahasa pertuturan seharian. Bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantaraan utama dan menjadi amat sukar Uighur mempelajari bahasa ibunda di sekolah kerana semenjak tahun 2005, Mandarin telah dijadikan bahasa pengantar dan utama di sekolah dan pejabat kerajaan.

Sebenarnya tiada siapa yang perlu dipersalahkan dengan peristiwa rusuhan di antara Uighur dan Han kecuali dasar yang diamalkan oleh Beijing. Dasar yang pincang selama berdekad sudah pasti akan meletup dan langkah penting yang perlu dilaksanakan oleh Beijing ialah mengkaji semula dasar berat sebelah yang diamalkan.

Sepatutnya tidak timbul masalah di antara Uighur dan Han kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang boleh hidup secara saling faham memahami.

Dalam hal ini menarik jika diutarakan bahawa Beijing boleh banyak belajar daripada Kuala Lumpur bagaimana untuk mengamalkan dasar yang adil dan saksama apabila terdapat komposisi rakyat yang berbilang kaum.

Memang benar Malaysia tidak terpisah daripada ketegangan antara kaum tetapi secara dasarnya apabila timbul masalah sedemikian, ia mampu ditangani dengan pengamalan dasar yang pragmatik.

Walaupun Malaysia mempunyai penduduk majoriti yang bertutur bahasa Melayu, tetapi dasar kerajaan tidak menafikan bahasa ibunda kaum lain. Perhatikan sahaja dalam sistem pendidikan negara yang langsung tidak menafikan kehadiran bahasa ibunda dan budaya kaum lain.

Jika ada satu kaum yang mempunyai kekuatan dalam bidang ekonomi umpamanya, dasar Kuala Lumpur ialah kekayaan tersebut tidak boleh dinafikan kepada kaum lain yang agak tertinggal.

Apa yang perlu difahami oleh Beijing adalah dasar yang diamalkan mestilah sama rata dan tidak berat sebelah seperti hanya memberi keutamaan kepada kaum tertentu sahaja.

Penyelesaian tidak akan dapat dicari jika Beijing masih berdegil mahu menyalahkan pihak luar dengan apa yang berlaku di Xinjiang. Adalah lebih baik Beijing mempelajari dasar yang telah diamalkan oleh Kuala Lumpur selama ini.

PENULIS ialah Geo-Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

0 comments: