Minda Pengarang: Pertikaian dalaman bukti ketidakupayaan PR mentadbir

Minda Pengarang: Pertikaian dalaman bukti ketidakupayaan PR mentadbir

KEBELAKANGAN ini, parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat diuji dengan pelbagai pertikaian politik sesama sendiri. Satu demi satu ujian terpaksa mereka hadapi berpunca daripada perbezaan ideologi dan kurangnya persefahaman. Mereka juga mempertikaikan kewibawaan antara satu dengan lain akibat pelbagai keputusan dan tindakan pentadbiran yang tidak memuaskan hati sesama sendiri. Rakyat memerhatikan sandiwara mereka dan membentuk persepsi bahawa parti pembangkang belum sedia untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri. Belum pun kekecohan yang membabitkan penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang diselesaikan kerajaan negeri pimpinan DAP, muncul pula pertelagahan antara Pas dan DAP di Kedah berikutan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) meroboh rumah sembelihan babi di Alor Setar. Terbaru, ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung kelmarin, pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dikejutkan dengan desakan supaya Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana didakwa gagal berfungsi seperti diharapkan rakyat. Kelantangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali mendesak kerajaan negeri membuat rombakan barisan Exco kerana gagal melaksanakan tugas, mengejutkan kerana desakan itu bukan datangnya daripada suara wakil Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang di DNS. Apabila suara desakan itu datangnya daripada barisan kepemimpinan tertinggi PKR sendiri, tidak dapat dielakkan ia mengundang pelbagai andaian. Khalid juga perlu mendengar desakan Azmin yang mahu beliau melakukan perubahan segera dalam pentadbiran negeri.

Desakan Azmin itu dibuat berikutan kekecewaannya dengan pelantikan ahli majlis PBT yang tidak mengikut prinsip ditetapkan, selain kegagalan barisan Exco memajukan Selangor. Bagi Naib Presiden PKR itu, rombakan Kabinet negeri perlu segera dilakukan untuk memilih mereka yang benar-benar layak. Pandangan Azmin, turut disokong rakyat yang melihat kerajaan Selangor lebih berminat menyalahkan kerajaan lalu dan sidang DNS dipenuhi dengan kata nista yang menyakitkan telinga. Rakyat bosan mendengar pertelingkahan dan sikap saling mencari kesalahan, sebaliknya mahu kepemimpinan kerajaan Selangor memberi tumpuan kepada pembangunan negeri. Sama ada ia gimik politik atau realiti wujudnya rasa kecewa di dalam parti, rakyat semakin sangsi dengan keupayaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir.

Mungkin ramai menyalahkan pihak tertentu termasuk media sengaja membesarkan isu berkenaan, namun hakikatnya memang wujud masalah di dalam gabungan pakatan yang longgar itu, sehinggakan ahli yang tidak berpuas hati menyuarakan isi hati masing-masing secara terbuka. Selepas 15 bulan berbulan madu merayakan kemenangan dan mentadbir negeri di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, kini kerajaan negeri pimpinan DAP, Pas dan PKR bukan saja berdepan bantahan rakyat dan penentangan dalam parti malah percakaran antara parti terus berlaku. Walau apapun alasan diberikan, rakyat semakin menyedari permainan politik mereka dalam usaha untuk menutup kelemahan sendiri. Kita akan menyaksikan lebih banyak pekung yang akan terdedah yang akhirnya membuatkan pemimpin Pakatan Rakyat sedar, bahawa untuk memerintah negeri atau negara bukanlah semudah mengucapkan janji ketika kempen pilihan raya.

0 comments: