Lima PM gagal pulih selatan Thailand

Lima PM gagal pulih selatan Thailand

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my

SERANGAN ke atas pos tentera di Narathiwat pada 4 Januari 2004 merupakan pencetus gelora di selatan Thai. Sejak itu tiga wilayah Islam di sana - Pattani, Narathiwat dan Yala - berdepan dengan keganasan.

Ia berlaku hampir setiap hari. Berita mengenai serangan terhadap penduduk, termasuk penjawat awam, bukan lagi sesuatu yang eksklusif. Penduduk di tiga wilayah itu sudah lali dengan pertumpahan darah.

Lima tahun sudah berlalu. Namun ketegangan di selatan masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berakhir. Malah ia semakin semarak seiring putaran waktu.

Serangan ke atas Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan di daerah Cho-ai-rong, Narathiwat pada malam 8 Jun adalah bukti kemelut itu seakan tiada penghujungnya.

Malah insiden yang mengorbankan 11 penduduk termasuk imam selain turut mencederakan 19 yang lain itu didakwa sebagai "pencetus gelombang keganasan baru" di selatan Thai.

Penyerang berkenaan tidak dikenali. Kesemuanya memakai pakaian hitam serta bertopeng. Mereka memasuki masjid itu ketika jemaah menunaikan solat, serta melepaskan tembakan dengan raifal M-16 dan pump gun.

Identiti yang tidak dikenali itu menyebabkan semua pihak kini dibelenggu prasangka. Masing-masing menuduh satu sama lain.

Ramai yang mengaitkan peristiwa itu sebagai angkara pihak tentera. Penduduk mempunyai alasan untuk berasa curiga. Peristiwa berdarah di Masjid Kerisik, Pattani pada April 2004 dan di Tak Bai, Narathiwat pada Oktober tahun yang sama mempunyai cerita pahit mengenai kaitan tentera dengan keganasan. Luka penduduk belum pulih bila dikaitkan dengan kedua-dua tragedi berkenaan.

Sementara itu, ada yang menuding kepada kumpulan ekstremis Buddha malah kumpulan pemisah turut dikaitkan dengan insiden tersebut. Sejak serangan lima tahun lalu itu, cerita mengenai pelbagai kumpulan pemisah timbul kembali. Antara yang paling kerap dikaitkan ialah Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) yang pernah aktif sekitar 1970-an dan awal 1980-an.

Selain unsur tuduh-menuduh, setiap kali timbul serangan "besar-besaran" seperti itu, isu ekonomi dan sosial di selatan Thai turut diperdebatkan. Ia dikatakan sebagai punca yang menyebabkan kekacauan di tiga wilayah itu gagal dikekang.

Bagaimanapun yang pasti, isu sosioekonomi itu hanya kekal sebagai perdebatan. Belum ada sebarang langkah membanggakan yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah di ketiga-tiga wilayah miskin itu.

Ikrar mengenai usaha menaikkan taraf penduduk di tiga wilayah itu belum digerakkan untuk menjadikannya kenyataan. Ironinya perkara itu telah dijanjikan sejak tercetusnya gelombang keganasan, lima tahun lalu.

Bangkok mula melafazkan janji itu selepas insiden kekerasan tentera pada 28 April 2004. Ia melibatkan tragedi pembunuhan 108 penduduk Islam akibat serbuan tentera ke atas Masjid Kerisik. Bangkok dikecam hebat. Dan keluarlah pelbagai janji untuk memberi perhatian kepada masalah penduduk di selatan.

Belum pun sempat kepincangan itu diatasi, berlaku pula tragedi di Tak Bai, Narathiwat. Tunjuk perasaan pada Oktober tahun yang sama sekali lagi menyaksikan kekerasan pihak tentera. Hampir 90 penduduk Islam terbunuh. Dendam di hati penduduk terhadap pasukan tentera terus membara.

Rentetan peristiwa itu, Bangkok sekali lagi mengikrarkan janji. Perhatian lebih serius akan diberikan kepada isu selatan Thai. Seperti biasa, janji itu masih kekal sebagai janji sehingga kini - sehingga serbuan terbaru ke atas Masjid Al-Furqan.

Sebenarnya, sejak serangan 4 Januari 2004, Thailand telah bertukar lima Perdana Menteri. Ketika di awal tercetusnya konflik, ia di bawah era pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Dua tragedi keganasan pihak keselamatan di selatan pada 2004 menyebabkan Bangkok terumbang-ambing. Pentadbiran Thaksin gagal di selatan. Natijahnya beliau digulingkan pada rampasan kuasa September 2006.

Junta tentera yang mengambil alih tampuk pemerintahan dan melantik Surayud Chulanont sebagai Perdana Menteri juga gagal di sana. Pilihan raya umum pertama selepas rampasan kuasa itu menyaksikan Samak Sundaravej dipilih sebagai Perdana Menteri baru. Namun konflik politik terus menghantui Bangkok. Akibatnya ia sekali lagi gagal memberi tumpuan kepada selatan. Kegagalan itu berterusan walaupun pentadbiran diambil alih oleh Somchai Wongsawat.

Kini pada era Abhisit Vejjajiva - sejak Disember lalu - tiada apa juga yang berlaku. Baru enam bulan berkuasa, Abhisit diuji dengan insiden di Masjid Al-Furqan.

Ketika ini pelbagai pihak memberi pendapat mengenai jalan penyelesaian konflik di selatan. Ramai yang berpendapat, ketiga-tiga wilayah itu akan tenang sekiranya Bangkok menunaikan janji memberi autonomi kepada penduduknya.

Selepas kegagalan memulihkan keadaan dalam tempoh lima tahun - di bawah lima Perdana Menteri - mungkin Bangkok perlu serius memikirkan isu berkenaan.

Lagipun Perlembagaan Thailand mempunyai peruntukan untuk memberikan hak autonomi kepada sesuatu wilayah. Ia merangkumi pelbagai bidang seperti pentadbiran, pendidikan, kewangan dan keselamatan.

Namun apa sahaja percaturannya, Bangkok seharusnya bersikap lebih serius terhadap isu di selatan. Ia bukan lagi sekadar masalah dalaman yang boleh dilayan sambil lewa.

Paling penting ia juga perlu bersikap lebih jujur dan telus kepada penduduk di wilayah majoriti Islam tersebut. Bangkok perlu menjadikan tragedi terbaru di daerah Cho-ai-rong itu sebagai pengajaran.

0 comments: