Kawal jenayah rentas sempadan

Kawal jenayah rentas sempadan


Anggota Polis Marin mengiringi bot yang cuba menyeludup warga Afghanistan keluar dari Malaysia untuk dibawa ke pangkalan polis marin Pelabuhan Klang.


TERLETAK di tengah-tengah ASEAN, Malaysia menjadi lokasi paling strategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi aktiviti penyeludupan manusia.

Kelemahan dari sudut kedudukan geografi itu memudahkan negara menghadapi kesan limpahan apabila berlakunya masalah ekonomi di negara jiran seperti yang dihadapi ketika ini.

Keamanan dalam negara juga menyebabkan Malaysia menjadi destinasi pilihan di kalangan penduduk dari negara-negara bergolak. Namun apa yang menjadi masalah utama ketika ini ialah apabila negara dijadikan transit untuk menyeludup manusia ke negara ketiga.

Daya tarikan Malaysia sebagai negara transit hakikatnya bukan kerana kelemahan kawalan dan penguatkuasaan oleh pihak keselamatan. Tetapi ia disebabkan oleh kedudukan Malaysia yang mempunyai sempadan laut dan darat yang terlalu luas.

Keadaan itu memudahkan aktiviti penyeludupan manusia terutamanya ke Jepun, Singapura, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, Malaysia pernah didakwa dijadikan negara transit kepada rakyat dari Timur Tengah, Afrika, Pakistan dan Bangladesh ke negara ketiga terutamanya Australia.

Isu ‘negara transit’ itu antara yang sering menjadi perhatian dan mempengaruhi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia.

Selain Malaysia, negara jiran Indonesia juga berdepan masalah serupa dan sehingga beberapa kali menggoncang hubungan diplomatik negara itu dengan Australia.

Sebagai negara yang dituju, Malaysia pastinya sangat memahami kebimbangan Australia mengenai masalah ini.

Penyeludupan manusia tidak hanya melanggar hak sesebuah negara untuk melindungi sempadannya, tetapi turut menimbulkan masalah sosial, jenayah dan ekonomi di negara yang menjadi destinasi.

Kegagalan Malaysia bertindak dengan pantas melindungi negara daripada terus dijadikan transit juga dibimbangi akan meningkatkan kes-kes jenayah rentas sempadan.

Ia termasuk pergerakan kumpulan pengganas, penyeludupan senjata dan kayu balak, perdagangan manusia terutamanya wanita dan kanak-kanak untuk tujuan pelacuran dan banyak lagi.

0 comments: