Nilai estetika tiga masjid

Nilai estetika tiga masjid

Senibina Masjid India, Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Masjid Jamek Kampung Baru mempunyai nilai estetika yang tinggi.


MASJID Jamek Kampung Baru dibina hasil kerjasama penduduk kampung.



MASJID India mula dibina pada 1863 oleh pendatang India Muslim.


SETIAP masjid yang dibina pasti mempunyai keistimewaan yang sukar ditandingi. Jika bukan pada reka bentuknya, nilai keistimewaan tersebut mungkin boleh didapati daripada fungsi masjid itu sendiri.

Ungkapan di atas mungkin sesuai ditujukan kepada tiga buah masjid yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur iaitu Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid India.

Ketiga-tiga masjid tersebut diakui mempunyai nilai estetika yang tinggi dan ia perlu dipertahankan sebagai warisan berharga demi generasi akan datang.

Masjid Jamek Kampung Baru contohnya, merupakan masjid yang dibina hasil kerjasama penduduk yang mahukan rumah ibadat didirikan di kawasan itu.

Sejarahnya bermula apabila seorang pedagang Melayu, Bachik Abdullah bersetuju menyumbangkan sebidang tanah seluas empat lot untuk tujuan tersebut pada tahun 1880-an.

Beliau yang berasal dari Melaka dan mempunyai sebuah rumah di Jalan Melayu, terkenal sebagai ketua orang Melayu Kampung Ujong Pasir yang dermawan.

Tanah sumbangan Bachik itu kemudiannya diwakafkan kepada Lembaga Pentadbir Kampung Baru pada akhir 1920-an bagi tujuan pembangunan sebuah masjid.

"Pada awalnya, pembinaannya berbentuk seperti sebuah balai dan ia sekadar memenuhi keperluan penduduk untuk menunaikan solat. Lantainya diperbuat daripada kayu manakala tiangnya pula daripada batang pokok nibung. Ia kemudiannya ditukar menjadi surau.

"Kawasan ini juga dijadikan tanah perkuburan untuk penduduk Kampung Baru ketika itu. Setakat hari ini, bangunan asal masjid itu telah diruntuhkan sebanyak tiga kali.

"Masjid yang lebih menyerupai senibina rumah Melayu Melaka ini telah diganti dengan bangunan baru melalui kutipan derma daripada setiap penduduk kampung iaitu sebanyak RM60. Sehingga tahun 1955, jumlah kutipan yang dibuat dengan cara itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM30,000.

"Memandangkan proses kutipan tersebut dilihat agak perlahan, maka satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mempercepatkan kempen mengutip derma. Akhirnya jawatankuasa tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM214,000 yang mana RM90,000 daripadanya merupakan sumbangan kerajaan Selangor dan bakinya hasil derma dan tabungan masjid," jelas Setiausaha Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru, Mohdin Ali.

Berbanding Masjid Jamek Kampung Baru yang mencatat sejarah tersendiri dalam pembinaannya, Masjid Jamek Kuala Lumpur pula kaya dengan nilai warisan yang tinggi.

Juga dikenali sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, ia merupakan salah sebuah di antara masjid tertua di Kuala Lumpur yang dibina pada 1897 oleh para pedagang Islam yang berasal dari India.


PENGGUNAAN warna belang merah dan putih di dinding batu sama seperti masjid jamek di Cordoba, Sepanyol.


Ketinggian nilai masjid ini bukan sahaja disebabkan pada senibina yang menarik, tetapi juga lokasinya yang terletak di tapak bersejarah iaitu di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Ia berfungsi sebagai masjid utama di kota ini sehinggalah Masjid Negara siap dibina pada tahun 1965. Reka bentuk masjid ini mengikut tata rajah tradisional India Utara dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup atau sahn.

Masjid ini diapit dengan dua menara utama dan beberapa buah menara kecil. Kubah bebawang pada puncak menara dan dewan solat pula, menyerupai senibina Mughal.

Penggunaan warna belang merah dan putih di dinding batu sama seperti masjid jamek di Cordoba, Sepanyol yang membentuk dinding luar masjid. Selain itu, ia kelihatan begitu unik dan tampak berbeza menerusi kewujudan gerbang bertiang yang diperincikan dengan selang jalur batu-bata, plaster dan marmar.

Pembinaannya diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, A.B. Hubbock, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Kerja Awam di India.

Sementara itu, bagi Masjid India pula, ia turut mempunyai cerita tersendiri yang menarik untuk dikongsi kepada umum.

Menurut Pengerusi Masjid India, A.V.M Haja, ia mula dibina pada tahun 1863 oleh komuniti pendatang India Muslim yang menjalankan perniagaan dan menetap di sekitar Batu Road atau kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Ia dibina menggunakan struktur papan dan atap kayu mengikut gaya senibina Melayu. Ketika itu, tiada kemudahan air paip di dalam masjid. Kebanyakan jemaah akan mengambil wuduk di Sungai Klang.

"Bagi menampung jumlah jemaah India Muslim dan lain-lain pekerja, beberapa pengubahsuaian telah dilakukan di masjid ini pada tahun 1900, 1939 dan 1962," jelas Haja ketika ditemui Kosmo!.

Pengubahsuaian besar-besaran telah dilakukan pada 1962 dengan dana yang dinaungi oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada 29 Jun 1964, bangunan Masjid India setinggi tiga tingkat ini siap dibina. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

0 comments: