Masa terbaik perkemaskan peraturan pembantu rumah
BANYAK yang melihat keputusan Indonesia untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sebagai mengejutkan.
Tindakan drastik Indonesia yang dibuat ekoran beberapa kes terpencil melibatkan penderaan ke atas warganegaranya bagaimanapun perlu dilihat secara positif.
Paling penting kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia tidak boleh terlalu emosional dalam menangani isu ini.
Langkah ini sudah pasti memberi kesan kepada sektor pembantu rumah negara yang kebergantungan kepada amah atau 'bibik' dari Indonesia sangat tinggi.
Kesan yang sama juga akan dirasai oleh rakyat Indonesia yang memasang impian untuk merantau mencari nafkah ke Malaysia - negara yang sudah membantu mengubah nasib hidup berjuta-juta rakyat Indonesia sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Jika direnung seketika, ada banyak hikmah tersembunyi di sebalik perkembangan ini.
Inilah waktu terbaik bagi kedua-dua negara untuk membuat kajian semula, mengemas kini serta menguat kuasa secara betul segala peraturan dan undang-undang berkaitan pembantu rumah sedia ada.
Selama ini banyak peraturan yang dikenakan tidak dipatuhi malah 'dicabuli' sewenang-wenangnya oleh ejen-ejen pekerja asing di kedua-dua buah negara.
Antaranya para pembantu rumah yang dihantar ke negara ini tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan daripada aspek umur, tahap pendidikan serta status kesihatan.
Bukan menjadi rahsia lagi kebanyakan pembantu rumah yang dihantar ke Malaysia adalah 'berkelas rendah' berbanding yang dihantar ke Singapura, Hong Kong, Taiwan atau negara-negara Timur Tengah.
Sesetengahnya pula tidak cukup umur minimum yang disyaratkan, buta huruf, tidak sihat atau berpenyakit yang jelas bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.
Sebahagian daripada mereka kononnya sudah diberi latihan dan menjalani kursus induksi, realitinya tidak sedemikian apabila mula bekerja.
Walaupun datang dari satu rumpun yang sama, bahasa masih lagi dan kerap kali menjadi tembok halangan komunikasi antara majikan dan pembantu rumah.
Maklumlah mereka datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan di sebuah negara yang jumlah penduduknya melebihi 250 juta.
Pelbagai penipuan daripada aspek syarat-syarat penghantaran pembantu rumah Indonesia ini ternyata mendatangkan banyak masalah kepada majikan di Malaysia. Ini tidak termasuk isu pembantu rumah melarikan diri yang sudah cukup untuk membuat majikan Malaysia 'sakit jiwa.'
Justeru langkah Indonesia memberhentikan sementara penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia memberi ruang kepada kedua-dua negara untuk memperbaiki segala lompang dan kepincangan selama ini.
Dari satu sudut lain langkah pembekuan sementara ini membolehkan kerajaan Malaysia mengkaji dan mencari negara-negara sumber yang baru antaranya India, Sri Lanka, China, Thailand dan Nepal.
Pada masa yang sama Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi 'kebanjiran' baru warga asing khususnya dari Indonesia yang cuba masuk secara haram ke negara ini.
Perlu diingat, tindakan Indonesia itu bukanlah sesuatu yang disenangi oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam 'industri' membekalkan pekerja asing di kedua-dua negara.
Dari sudut perniagaan, tindakan drastik ini walaupun hanya sementara memberi kesan yang besar kepada mereka.
Jika selama ini, aktiviti menyeludup masuk manusia untuk bekerja secara haram di Malaysia sudah berleluasa, bayangkanlah jika pemberhentian ini berpanjangan.
Rakyat Malaysia mungkin memerlukan pembantu rumah dari Indonesia tetapi pada masa yang sama juga jangan lupa, rakyat Indonesia juga sangat-sangat ingin mencari nafkah di sebuah negara jiran yang aman, mesra, pemurah dan berstatus 'lubuk emas' ini!
0 comments:
Post a Comment