Membina budaya pengurangan risiko bencana alam

Membina budaya pengurangan risiko bencana alam

Oleh Dr Ibrahim Komoo


TSUNAMI yang melanda kebanyakan negara Asia pada 2004 memberi iktibar kepada warga dunia mengenai kepentingan kesedaran terhadap risiko bencana alam.

Dasar pembangunan infrastruktur, komuniti terdidik paling berkesan hadapi kemungkinan tragedi

FORUM Global untuk Pengurangan Risiko Bencana berlangsung di Geneva, Switzerland baru-baru ini dengan tema 'Melabur hari ini untuk keselamatan esok' dengan dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari lebih 300 negara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada peringkat global.

Ramai Presiden, Naib Presiden, Menteri dan pegawai kanan kerajaan hadir dan menyampaikan ucapan dasar pada forum ini. Perwakilan Malaysia diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Antara agensi kerajaan yang turut serta ialah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Penyelidikan Hidrolik Malaysia (NAHRIM) dan Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM).

Forum yang dianjurkan setiap dua tahun sekali ini adalah pertemuan pemimpin peringkat global paling penting untuk membincangkan pelbagai isu dan cabaran yang sedang dihadapi dunia untuk mengurangkan risiko bencana alam. Perbincangan memberikan tumpuan kepada pencapaian negara dunia melaksanakan 'Kerangka Tindakan Hyogo' terutama dalam lima perkara berikut:

  • Cabaran untuk menyediakan peruntukan bagi pengurangan risiko bencana;

  • Pengurangan risiko dalam keadaan perubahan iklim;
  • Memperkukuhkan kepemimpinan komuniti melalui tindakan penghindaran bencana;

  • Kemudahan sekolah dan hospital yang selamat; dan

  • Pembinaan infrastruktur lebih baik selepas mengalami bencana.

    Bencana alam adalah cabaran paling genting yang sedang dihadapi sejumlah besar komuniti dunia. Tahun lalu saja, sekitar 236,000 orang terkorban membabitkan lebih 300 kejadian bencana, terutama akibat gempa bumi, banjir, ribut taufan dan tanah runtuh. Lebih 200 juta komuniti dunia terimpak secara terus daripada bencana ini dan dianggarkan kerosakan harta benda melebihi ratusan juta ringgit.

    Beberapa isu utama mendapat perhatian kebanyakan negara yang berdepan bencana alam besar ketika membincangkan isu 'pengurangan risiko bencana' iaitu:

  • Bagaimana untuk mengubah set minda kepemimpinan daripada respons terhadap bencana kepada proses penghindaran bencana;

  • Usaha untuk memperkasa komuniti terbabit secara aktif dalam proses pengurangan risiko bencana;

  • Meningkatkan kesedaran dan pendidikan masyarakat terhadap risiko bencana;

  • Mengurangkan kemiskinan, terutama di kalangan komuniti yang terdedah kepada risiko bencana; dan

  • Mewujudkan platform kebangsaan yang berkesan untuk mengurus bencana.

    Kebanyakan negara terpaksa berbelanja besar untuk bertindak balas terhadap bencana, terutama kerja menyelamat, pemindahan dan penempatan mangsa, membaik pulih infrastruktur yang musnah dan kerja susulan yang perlu untuk pemulihan perkhidmatan secara jangka panjang.

    Walaupun tindakan ini perlu dilakukan, banyak lagi usaha boleh diberikan kepada proses perancangan dan aktiviti penghindaran dan pengurangan risiko bencana. Dasar pembangunan infrastruktur dan komuniti kebanyakan negara masih belum mengintegrasikan aspek berkaitan pengurangan risiko bencana alam.

    Pengalaman lalu menunjukkan pendekatan paling berkesan untuk mengurangkan risiko bencana ialah apabila komuniti terbabit diperkasa. Mereka adalah golongan yang berdepan terus dengan risiko dan mempunyai komitmen untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda paling tinggi.

    Oleh itu, semua proses perancangan dasar dan aktiviti penghindaran atau respon terhadap risiko bencana perlu membabitkan mereka. Komuniti yang sudah diperkasa adalah komponen pengurusan bencana paling berkesan untuk berdepan peristiwa bencana.

    Beberapa pengalaman pahit dihadapi warga dunia, umpamanya ketika bencana tsunami 2004 ialah kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka berdepan bahaya. Ketika air laut surut secara luar biasa, tidak ramai mengetahui mereka sedang berdepan gelombang tsunami yang besar. Ramai yang tidak beredar dari pantai, malah ada yang masih turun ke laut untuk mengetahui keanehan peristiwa yang berlaku.

    Akibatnya, kebanyakan kematian berpunca daripada kurang kesedaran dan pendidikan mengenai risiko bencana. Kesedaran dan pendidikan awam mengenai bencana bukan saja penting ketika masyarakat berdepan bencana, malah ia permulaan kepada pembinaan 'budaya pengurangan risiko bencana' di kalangan komuniti yang berdepan bencana alam.

    Beberapa peserta pada forum global menyatakan dengan lantang bahawa 'kemiskinan itu bencana'. Mengapa tidak, sebahagian besar komuniti yang menjadi mangsa bencana ialah mereka yang miskin. Golongan miskin menghadapi kehidupan dengan serba kekurangan. Rumah tidak dibina dengan sempurna dan lazimnya di lokasi berisiko bencana yang tinggi.

    Keutamaan mereka lebih untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan dan pakaian, tanpa mengizinkan mereka memikirkan soal keselamatan. Akibatnya, apabila berlaku bencana, golongan ini yang paling terancam. Oleh itu, pengurangan kemiskinan adalah tindakan paling bijak untuk mengurangkan risiko bencana.

    Ramai peserta forum berpendapat cabaran genting untuk melaksanakan 'Kerangka Tindakan Hyogo' ialah ketiadaan atau kelemahan platform kebangsaan mengenai pengurusan bencana. Bencana adalah peristiwa yang merentasi sektor dan membabitkan semua pihak. Hampir semua sektor pembangunan dan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan terbabit secara terus dengan bencana.

    Oleh itu, sukar untuk mewujudkan agensi khas mengenai bencana yang dapat berfungsi dengan efektif. Dasar mengenai bencana alam dan perancangan holistik serta bersepadu diperlukan. Platform kebangsaan memerlukan kepemimpinan tertinggi pada peringkat kerajaan dan komitmen semua pihak berkepentingan yang mampu bergerak sebagai sebuah pasukan.

    Forum Global ini umumnya memberi tumpuan kepada negara atau rantau yang berdepan bencana alam yang serius. Apakah Malaysia berdepan dengan tahap bencana yang tinggi, sama dengan negara jiran seperti Indonesia atau Filipina?

    Malaysia sebenarnya bertuah kerana dilindungi daripada bencana alam yang besar seperti gempa bumi dan letupan gunung berapi. Bagaimanapun, kita masih berdepan bencana banjir dan pada tahap yang rendah, bencana tanah runtuh dan ribut taufan.

    Oleh itu, Malaysia seharusnya tidak menghadapi masalah untuk mewujudkan dasar bencana alam yang bersifat holistik sambil memberikan tumpuan kepada isu pengurangan risiko bencana. Majlis Keselamatan Negara mampu memperkukuhkan platform kebangsaan mengenai pengurusan bencana dengan menggembleng semua agensi pelaksana, institusi penyelidikan dan NGO yang mempunyai kepentingan untuk menangani isu bencana alam.

    Malaysia boleh menjadi negara contoh untuk melaksanakan 'Kerangka Tindakan Hyogo' secara berkesan, dan mampu menjadi pemimpin di rantau Asia Tenggara dalam menyahut cabaran warga global mengenai usaha pengurangan risiko bencana.

    Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Pengarah SEADPRI-UKM
  • 0 comments: