Rugi Melayu tolak perpaduan, 1Malaysia
oleh Feriz Omar
utusan.feriz@gmail.com
KETIKA pertama kali Datuk Seri Najib Tun Razak melontarkan idea tentang aspirasi 1Malaysia, pelbagai pihak dilihat cuba memberikan takrifan dan andaian terbaik mereka mengenai istilah berkenaan.
Bermula dari bual bicara pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan professional hinggalah ke cakap-cakap kedai kopi, segenap lapisan masyarakat bagai tercari-cari apakah intipati sebenarnya di sebalik konsep 1Malaysia.
Dalam begitu banyak teori yang dikemukakan, yang paling menyakitkan hati ialah andaian tidak bertanggungjawab beberapa pihak tertentu yang cuba menyamakan konsep 1Malaysia dengan perjuangan 'Malaysian Malaysia' dokongan DAP. Memang sah ia adalah suatu tuduhan yang berniat jahat bertujuan untuk mencalar imej kerajaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Melayu!
Sabtu lepas, setelah pelancaran logo dan lagu 1Malaysia, nampaknya masih ada sebilangan kecil masyarakat Melayu yang salah faham, ragu-ragu atau kabur dengan makna kepada saranan perpaduan melalui aspirasi tersebut.
Salah tanggap dan kekaburan sebegini banyak dipengaruhi oleh sikap orang Melayu sendiri. Antaranya, sikap yang berkecenderungan untuk memperoleh maklumat dari sumber yang tidak betul seperti laman-laman blog yang dikendali oleh bloggers yang buta hati dan jiwa yang murni.
Bukankah media-media perdana dan laman-laman web kerajaan sudah pun memberi informasi tentang hal ini dengan cukup terperinci.
Sudah sampai masanya, masyarakat Melayu merujuk kepada media-media perdana dan jika perlu, media alternatif yang menganjurkan kupasan pemikiran yang 'bebas', matang lagi mementingkan keharmonian rakyat dan bukannya melayan hujah-hujah beremosi.
1Malaysia hanyalah satu 'aspirasi' yang dicetuskan untuk mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah asas pembentukan senario kehidupan yang harmoni dan memupuk semangat erat seiring dengan kehendak prinsip Rukun Negara.
Terdapat lapan penerapan nilai murni di bawah 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Sewaktu pertama kali slogan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' dilaungkan, Perdana Menteri sengaja mahukan seluruh rakyat Malaysia terlibat sama dalam menterjemahkan aspirasi tersebut.
Kita akui bahawa Wawasan 2020 sudah pun menjadi wawasan jangka masa pendek kerana ia bakal menemui kita beberapa tahun lagi. Malaysia hari ini perlukan suatu wawasan, visi dan misi baru yang berterusan.
Di atas kesedaran ini juga, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sepatutnya mula menunjukkan gerakan-gerakan positif untuk bersatu padu dalam menentukan wawasan visi dan misi negara yang baru.
Nampaknya bagi bangsa Melayu, keutamaan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa dan agama sendiri bukan menjadi keutamaan. Sebaliknya, dalam isu Pas menolak usul perpaduan ummah UMNO-Pas yang kian memuncak, falsafah politik pula yang didahulukan sehingga meranapkan hak Melayu untuk menentukan hala tuju negara dalam menetapkan visi dan misi memajukan bangsa dan agama.
Begitu juga mengenai dakwaan yang mengatakan 1Malaysia bakal menindas nasib orang Melayu dan hak Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.
Asas kepada dakwaan ini, konon-kononnya ialah tindakan kerajaan yang memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) sedangkan hal yang sebenar ialah fungsi MeCD sudah pun diserap sepenuhnya ke Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan menambah kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Dasar afirmatif yang bersifat menolong kaum Bumiputera sebetulnya tidak pun disentuh, malah bakal dilaksanakan dengan lebih telus.
Konsep 1Malaysia yang 'sebenar' ternyata bertujuan baik demi keharmonian pelbagai ras dan keturunan di Malaysia. Melalui nilai murni 'Penerimaan', masyarakat Malaysia dituntut agar menerima perbezaan kaum dan agama.
Dalam hal ini, sudah tiba masanya perspektif perpaduan negara diubah berbanding sekadar bertoleransi sebelum ini. Sikap sebegini membuat kita maju setapak ke hadapan kepada rasa hormat dan saling menerima.
Justeru, 1Malaysia sepatutnya menjadi ruang di mana masyarakat Melayu melupakan agenda politik buat sementara dan berpadu demi menyokong agenda perpaduan nasional. Ambil iktibar daripada kaum Cina di Malaysia, yang mana sekalipun wujud beberapa entiti politik yang menjaga kepentingan orang Cina, badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Dong Zhong dan Shiu Qiu sentiasa menjadi tempat kaum Cina menyatakan kesatuan pendapat mereka.
Orang Melayu sajalah yang nampaknya begitu berpecah bagaikan tiada langsung titik temu hingga kini. Inilah punca kepada komentar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang begitu kecewa dengan kegagalan perpaduan Melayu Pas dan UMNO bersatu baru-baru ini.
Saya menyeru seluruh umat Melayu menyokong aspirasi 1Malaysia yang dibawa oleh Najib dan melupakan perbezaan yang ada buat seketika demi kepentingan negara. 1Malaysia hakikatnya adalah rangkuman kepada elemen fundamental yang cukup perlu bagi merealisasikan cita-cita Wawasan 2020.
Seperti golongan Yahudi yang menetapkan cita-cita 100 tahun untuk kembali dan menguasai Baitulmaqdis, hendaknya orang Islam di Malaysia juga tidak perlu ralat untuk bersatu hati, mengejar wawasan yang sudah sedia termaktub ini.
Ayuh, mari kita terjemahkan konsep perpaduan 1Malaysia dan tentukan misi dan visi negara!
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
0 comments:
Post a Comment