Survival bursa saham di akhir dekad 80-an

Survival bursa saham di akhir dekad 80-an

(Bahagian Kedua)


SEBENARNYA semasa saya bersungguhsungguh mencadangkan pemberhentian penyenaraian saham kita di Bursa Singapura dulu, ramai orang korporat ternama membantah. Saya pun hairan kenapa satu-satunya langkah yang dapat membantu membangunkan pasaran modal kita yang pada masa itu "tidak ke mana-mana", tidak dipersetujui.

Ramai yang mengatakan pasaran saham kita akan runtuh jika kita pisahkannya dari Singapura. Seolah-olah hidup kita ini bergantung pada negara itu. Macam-macam alasan diberikan tetapi sebenarnya ialah mereka tidak dapat menjual saham di sana dan wang daripada jualan tersebut pula dimasukkan ke dalam bank di sana. Jadi pihak berkuasa di sini tidak tahu.

Pendeknya pasaran Singapura dijadikan tempat untuk "pengaliran keluar wang secara halal". Jika tidak, sebarang pengeluaran wang perlu diberitahu kepada Bank Negara.

Begitu kuat bantahan sehingga Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan pada masa itu, Allahyarham Tan Sri Zain Azrai terpengaruh. Beliau menyuruh saya menyediakan pelbagai kertas kerja yang menghuraikan langkah-langkah perlindungan sekiranya pasaran saham kita runtuh seperti yang disebut-sebut oleh sesetengah orang bijak-bijak di sini.

Ada sebuah akhbar menerusi sidang pengarangnya mengutuk kerana saya beria-ia mencadangkan pemberhentian penyenaraian saham di Bursa Singapura itu. Mereka menuduh saya dengan pelbagai gelaran yang menjurus kepada ketidakwarasan fikiran saya.

Apabila melihat tiada sokongan, saya pun bertemu dengan Menteri Kewangan, Datuk Daim Zainuddin (sekarang Tun) dan menerangkan secara terperinci apa yang bakal terjadi. Sekiranya jatuh, pasaran kita ia tidak akan menjadi lebih teruk daripada keruntuhan pada 1987 atau tidak lebih daripada 20 mata pada indeks.

Ertinya kejatuhan itu boleh kita tampung dengan mengadakan jaring keselamatan yang mengandungi dana sumbangan beberapa institusi kewangan tidak lebih RM3 bilion. Sebaliknya kalau cadangan itu mendapat sokongan pelabur, pasaran akan meletup.

Apabila Tun Daim yakin, beliau pun membentangkan cadangan itu sewaktu Belanjawan 1990 pada Oktober 1989. Tarikh pemberhentian itu berkuatkuasa ialah pada Januari 1990. Sebaik sahaja diumumkan oleh Tun Daim, pasaran meletup dengan jumlah dagangan sebanyak 500 peratus! Tidak sempat Januari 1990 pun.

Bagi industri sekuriti, lonjakan itu mengejutkan dan syarikat broker tidak mampu menampung kenaikan urus niaga tersebut kerana kemudahan di tempat mereka begitu rendah. Ia menyebabkan timbul masalah apa yang sekarang dikenali dengan panggilan "Saga Kehilangan Sijil". Syarikat broker saham keseluruhannya tidak mampu menguruskan lonjakan urus niaga tersebut. Jadi banyaklah sijil yang tidak tentu arah tujunya.

Kalau kita melawat mana-mana syarikat broker saham pada masa itu, jarang yang tutup urusan sebelum pukul 3 atau 4 pagi dan pihak Bursa Saham bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah kehilangan atau salah tempat sebanyak 88 hari.

Itulah satu-satunya episod kejayaan yang tidak selesa (unpleasant success) yang berlaku kepada industri sekuriti kita. Sejak itu syarikat broker tidak ada pilihan melainkan meningkatkan kemudahan prasarana.

Lonjakan tersebut mengembalikan penghormatan kepada negara kita dan pelabur asing mula melabur melalui syarikat broker saham kita. Malangnya syarikat broker pada masa itu kebanyakannya bermodal kecil berbanding di Singapura. Jadi ada juga halangan untuk menikmati hasil sepenuhnya.

Singapura sedar yang mereka banyak bergantung kepada jual beli saham syarikat Malaysia dan keputusan pemberhentian itu suatu tamparan hebat kepada industri sekuriti mereka.

Tanpa segan silu mereka menubuhkan pasaran yang dikenali dengan pasaran tidak rasmi atau over-the-counter dan berkali-berkali mengatakan ia tiada kaitan dengan Bursa Saham Singapura. Namun semua orang tahu bursa itu di belakangnya. Ia merupakan satu contoh tindakan Singapura apabila berdepan dengan perkara yang menggugat kedudukan mereka.

Banyak perkara lain yang mereka lakukan. Barang yang kita eksport ke sana dibungkus semula dan dilabel sebagai "Buatan Singapura". Minyak setitik pun mereka tiada tetapi kilang penapis minyak terbesar ada di sana. Ia tiada syarikat pembinaan kapal tetapi mempunyai syarikat pembaikan kapal terbesar di rantau ini. Kita wajar cemburu dengan kejayaan Singapura kerana kebijaksanaan rakyatnya.

Sikap "kebas apa sahaja" tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa ilmu pengetahuan. Mereka tidak hutang satu sen pun dan punyai rizab melebihi AS$100 bilion.

Dekad awal 1990-an detik bermulanya pemodenan industri sekuriti secara besar-besaran. Syarikat broker saham sedar mereka tidak boleh lagi bersikap kedekut dengan pembangunan prasarana. Hari ini kita lihat semuanya sudah mempunyai papan harga elektronik di syarikat masing-masing dan ini juga dianggap sebagai sesuatu yang tersedia ada oleh sesetengah orang.

Selain daripada sistem dagangan yang telah berpindah kepada sistem elektronik sepenuhnya, sistem penyelesaian dan penjelasan juga perlukan pemodenan. Pada masa dahulu, sijil dibawa daripada satu syarikat ke suatu syarikat dan disebabkan syarikat broker saham ada di merata negeri, ini membabitkan penghantaran sijil daripada satu negeri ke suatu negeri yang lain.

Bayangkanlah apabila pasaran rancak dan sijil yang perlu dihantar ke sana sini bertimbun-timbun. Kereta yang membawa sijil ini selalu ditahan polis kerana dilihat membawa barang berlebihan. Suatu penyelesaian terpaksa dicari supaya sijil-sijil ini tidak perlu diangkut ke sana sini.

Selain daripada masalah pengangkutan, masalah berkaitan dengan urusan sijil ini termasuklah kehilangan kertas pindah milik, kehilangan sijil sendiri dan kemunculan sekali-sekala sijil palsu dan sijil tambahan. Penyelesaian yang ditemui ialah dalam bentuk Sistem Depositori Pusat atau Central Depository System. Ia suatu sistem yang mana semua sijil saham semua syarikat dimasukkan ke dalam suatu simpanan pusat dan peralihan hak milik dilakukan secara elektronik dan online.

Kalau dulu ada yang dah menjual saham tetapi masih menerima dividennya tetapi selepas diperkenalkan sistem ini masalah itu tidak timbul lagi.

Sekali lagi orang yang bertanggungjawab membentuk perisian sistem ini ialah orang kita sendiri iaitu Ungku A. Razak, genius luar biasa dalam dunia IT. Pakar-pakar dari India yang kita bawa masuk dan minta sediakan perisian tersebut tidak boleh melakukannya tetapi Ungku A. Razak boleh!

(bersambung)

0 comments: