Jangan terus cabar, perlekeh pasukan polis

Jangan terus cabar, perlekeh pasukan polis

TUJUAN pasukan polis diwujud dan anggotanya diberi gaji, pakaian seragam, gari dan pistol serta dikurniakan kuasa untuk menggari dan menembak - jika perlu - adalah bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Gari dan pistol serta senjata-senjata lain yang tersenarai sebagai keperluan dalam tugasan kepolisan merupakan simbolik kepada kurniaan hak dan kuasa kepada pasukan itu. Mereka diberi kuasa menangkap pengacau ketenteraman dan keselamatan awam serta penggugat keamanan negara.

Pada pendapat saya, sikap mesra masyarakat barangkali kurang sesuai untuk menjadi sebahagian dari slogan perkhidmatan polis. Setidak-tidak pada waktu ini kerana ia mungkin boleh menjadikan anggota polis terlalu baik dan terlalu berkompromi sesuai dengan slogan "mesra masyarakat" tersebut.

Walaupun terkenal sebagai antara perkhidmatan kepolisan yang terbaik dan cekap, kegerunan penjenayah dan pencabar perundangan negara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan semakin berkurangan.

Bagi saya, kerana tidak rasa gerunlah, maka pelbagai pihak berani dan tidak pernah merasa malu untuk mencabul ketenteraman dan keselamatan awam serta menggugat keamanan negara. Mereka itu melakukan pelbagai perkara termasuk mengadakan demonstrasi sehingga menghuru-harakan masyarakat.

Padahnya kualiti perkhidmatan kepolisan nampak tercabar dan tercabar. Malah kadangkadang nampak diperlekehkan oleh pihak yang memanipulasi sikap "mesra masyarakat" pasukan polis negara ini.

Mungkin kerana terlalu berkompromi dan terlebih mesra masyarakat jugalah, maka pertubuhan haram seperti Hindraf berani memberi amaran akan mengadakan protes jalanan sekiranya arahan terhadap Uthayakumar untuk bertemu dengan Lembaga Penasihat ISA tidak ditarik balik.

Oleh kerana tugas menjaga ketenteraman awam adalah tugas polis, maka amaran tersebut secara langsung terarah kepada pasukan itu. Ia bersifat mencabar dan menguji tahap kesabaran pihak polis.

Kalau Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berdepan dengan 'amaran' seperti itu, saya yakin barisan kepimpinan pertubuhan haram itu sudah lama 'hilang'.

Apakah anggota PDRM tidak boleh bertindak seperti FBI? Jawabnya, boleh jika mereka mahu dan kerana itulah mereka dibekalkan gari dan senjata api lengkap dengan peluru hidup.

Tetapi kenapakah anggota dan pegawai PDRM jarang menggunakan hak untuk menembak individu atau pihak yang menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam? Jawabnya ialah kerana mereka terlalu bertolak ansur dan bersikap perikemanusiaan serta mahukan penyelesaian secara "tidak ganas'. Menembak adalah menjadi pilihan terakhir tatkala terdesak.

Tetapi sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, jika selalu dicabar dan cuba diperlekehkan, saya rasa anggota PDRM tidak boleh disalahkan jika mereka hilang sabar dan menukar pertimbangan daripada "mesra masyarakat" kepada tindakan lebih tegas.

Agaknya PDRM boleh dan wajar mengambil tindakan menggunakan hak dan kuasa menembak jika cara itu boleh merubah keadaan dan mendisiplinkan mereka yang gemar mencetuskan suasana kurang tenteram melalui demonstrasi. Begitu juga terhadap perlakuan atau lisan yang bersifat mencabar dan memperlekehkan PDRM.

RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan

0 comments: