Usah layan kerenah Hindraf, hentikan pendekatan lembut

Usah layan kerenah Hindraf, hentikan pendekatan lembut

KATA dua kepada kerajaan? Bunyinya memang lucu, apatah lagi jika amaran itu dibuat oleh sebuah pertubuhan haram. Namun itulah lagak Hindraf ketika ini. Semakin dibiarkan, ia semakin besar kepala. Malah ia merasakan semakin mendapat sokongan.

Ketika pelbagai pihak memerah otak untuk mencari jalan menyemarakkan kembali perpaduan antara kaum, pertubuhan itu sekali lagi cuba tampil sebagai perosak.

Hindraf merasakan mereka hebat. Padahal mereka sebenarnya "entah siapa-siapa". Ia diketahui umum sebagai pertubuhan haram yang cuba menjadi 'wira' kepada penduduk India. Namun percaturan mereka ternyata silap kerana 'memperjuangkan' elemen yang boleh mencetuskan keresahan kaum.

Kata dua yang diberikan kepada kerajaan untuk menarik balik arahan kepada P. Uthayakumar menunjukkan keangkuhan pertubuhan itu. "Amaran" tersebut membuktikan Hindraf merasakan mereka hebat.

Namun sejauh mana 'kehebatan' mereka? Adakah mereka mampu mengatasi undangundang? Adakah kerajaan akan membiarkan mereka merosakkan keharmonian negara?

Jawapannya sudah pasti tidak! Majoriti rakyat juga menolak pertubuhan itu. Termasuklah juga majoriti kaum India yang cuba 'diwakili' oleh Hindraf. Lagi-lagi Hindraf! Rakyat sudah bosan dengan kerenahnya.

Dan kelmarin, ungkapan "siapa dia nak bagi-bagi amaran?" yang dilontarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memang amat tepat untuk pertubuhan itu. Sesuai dengan ungkapan tersebut, kerajaan dan pihak polis mesti bertindak tegas dan pantas. Pengaruh Hindraf - sekiranya ada - perlu dibendung segera.

Mesej lebih jelas perlu diberikan kepada golongan yang tidak tahu "berterima kasih" itu.

Namun yang paling penting, jangan sesekali mengikut rentak pertubuhan itu. Usah dilayan kerenah mereka.

Jangan lagi guna pendekatan berlembut. Usah lagi beri amaran. Ia sudah acap kali dilakukan. Namun amaran-amaran itu tidak pernah berbekas di hati para pemimpin dan ahli pergerakan haram tersebut.

Jadi, kini adalah masa untuk bertindak. Jika mereka melanggar peraturan, kenakan tindakan tegas. Jangan lagi wujud elemen tolak-ansur. Masa untuk itu rasanya sudah berakhir. Apa lagi kompromi yang boleh ditawarkan kepada golongan yang sanggup memberi kata dua kepada kerajaan?

Sampai bila kerajaan perlu melayan desakan yang diiringi ugutan? Seandainya semua desakan perlu dilayan, bilakah agenda untuk rakyat majoriti boleh dijayakan?

Sudah tiba masanya untuk memberi pengajaran kepada Hindraf. Hentikan kerenah buruk mereka.

Jika tahanan ISA adalah jawapannya. Lakukan sahaja. Jangan dikira bantahan mereka yang tidak mahukan ISA. Keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan.

Sekiranya negara huru-hara, kerajaan dan pihak polis yang bakal dipersalahkan. Maka, sebelum "nasi menjadi bubur", bertindaklah segera. Jangan tunduk kepada Hindraf.

0 comments: