Melindungi kanak-kanak, remaja di alam siber
Oleh HUSIN JAZRI
ceo@cybersecurity.my
GOLONGAN kanak-kanak dan remaja adalah merupakan golongan yang terbesar dalam penggunaan Internet pada masa kini. Oleh yang demikian, mereka adalah golongan yang paling mudah menjadi mangsa kepada penjenayah siber.
Tidak dinafikan dengan adanya kemudahan Internet, ia memberi banyak faedah kepada kanak-kanak dan remaja untuk menimba ilmu. Di samping itu, mereka juga menggunakan Internet sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi sesama mereka seperti di ruang sembang dan di laman web sosial.
Namun remaja kini tidak menyedari tentang wujudnya bahaya dengan mendedahkan maklumat peribadi dan membuat posting mengenai aktiviti seharian mereka, contohnya melalui laman web sosial.
Laman web sosial seperti Facebook, Friendster, MySpace dan lain-lain lagi telah menjadi trend di kalangan remaja pada masa kini. Mereka menggunakan laman web tersebut untuk berinteraksi serta meluaskan lagi rangkaian persahabatan tanpa menyedari akan bahaya yang terdapat seandainya kegiatan mereka disalahgunakan. Ini memberi peluang kepada penjenayah siber untuk mengintip gerak geri dan kegiatan mereka.
Berdasarkan kepada satu kes yang dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia, seorang remaja perempuan menjadi mangsa di mana penjenayah siber setelah membuat posting di laman web dengan memberikan nombor telefon serta gambar mangsa kepada orang ramai.
Lanjutannya, mangsa telah diganggu oleh orang yang tidak dikenali yang mengatakan bahawa mangsa ada menyediakan perkhidmatan yang tidak bermoral di laman web itu.
Di ruang sembang pula, kanak-kanak dan remaja terutamanya gemar mencari kenalan baru di ruangan ini. Mereka lebih mudah terdorong untuk memberikan maklumat peribadi kepada rakan baru siber seperti memberi nombor telefon, alamat rumah dan jantina.
Mereka juga mudah terpedaya dan sering terpengaruh dengan pujukan kenalan mereka seperti bersetuju untuk berjumpa. Tanpa disedari, perbuatan itu mengundang bahaya dan menjurus kepada jenayah seperti culik dan kes rogol.
Justeru itu, adalah dicadangkan agar ibu-bapa dapat memberi lebih perhatian dan pengawasan kepada anak-anak mereka di dalam penggunaan Internet. Salah satu cara ialah meletakkan komputer di tempat terbuka seperti di ruang tamu.
Di samping itu ibu-bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya tidak berkomunikasi dengan individu yang tidak dikenali di alam siber.
Remaja juga tidak digalakkan untuk mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi melalui laman web sosial. Mereka digalakkan agar mengehadkan profail kepada rakan-rakan yang terdekat sahaja.
Bagi para pembaca yang ingin mendapatkan nasihat dan panduan keselamatan Internet dengan lebih lanjut, anda bolehlah melayari www.esecurity.org.my atau www. cybersecurity.my. Pembaca juga boleh membuat sebarang aduan yang berkaitan dengan masalah siber dengan menghantar e-mel ke cyber999@cybersecurity.my.
LT. KOL. (B) HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.
0 comments:
Post a Comment