Minda Pengarang: Keputusan tidak tanding di Penanti tindakan bijak BN

Minda Pengarang: Keputusan tidak tanding di Penanti tindakan bijak BN


KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) kelmarin untuk tidak meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang pada 31 Mei ini, bukan perkara baru. Pada 1975, BN pernah tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Menglembu, Perak. Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Ahli Parlimen, Fan Yew Teng daripada DAP disabit kesalahan berkaitan Akta Hasutan pada 13 Januari tahun sama di Mahkamah Tinggi. Selain didenda RM2,000 atau enam bulan penjara, Fan turut dilucut status sebagai Ahli Parlimen. Pilihan raya kecil kemudian diadakan, tetapi BN memutuskan untuk tidak bertanding dan akhirnya pilihan raya kecil tidak diadakan apabila Fan berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pilihan raya kecil itu. Namun, dalam pilihan raya umum, BN tetap meletakkan calonnya bertanding kerana ia menentukan parti mana yang memerintah. Mungkin berdasarkan hakikat ini, BN yang sudah melihat permainan pembangkang sejak kes di Menglembu 34 tahun lalu lagi, mengambil pendirian untuk tidak mengikut rentak 'tarian' pembangkang kerana pilihan raya kecil bukan untuk menentukan parti mana memerintah, apatah lagi jika kekosongan itu bukan kerana kematian atau perintah mahkamah. Namun dalam sejarah politik negara, pembangkang pernah menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum. Contoh terbaru ialah kerusi DUN Senggarang, Johor apabila ia terlepas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 selepas borang pencalonan calon BN, Shamsiah Rashidah Ibrahim yang juga Ketua Penaja Wanita Umno Bahagian Batu Pahat ditolak ketika penamaan calon atas kesilapan teknikal.

Mungkin orang ramai, terutama pembangkang membuat pelbagai andaian, termasuk dakwaan kononnya BN takut apabila Dewan Tertingginya kelmarin memutuskan untuk tidak bertanding di Penanti. Sebenarnya, kalah atau menang BN, andainya bertanding sekalipun tidak akan membawa banyak perbezaan kepada landskap politik negeri itu. Sebaliknya, banyak masa dan wang ringgit dibazirkan, selain kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini. Malah, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini juga tidak menjelaskan mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin, meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan kemudian mengundur diri sebagai wakil rakyat. Memandangkan Penanti adalah kubu kuat PKR, kita berasakan peletakan jawatan Fairuz adalah sebahagian strategi kempen politik PKR bagi meraih lebih banyak perhatian. Keputusan BN tidak bertanding juga boleh membawa implikasi baik terhadap Datuk Seri Najib Razak yang dilihat sebagai lebih arif dan bijak dalam proses membuat keputusan. Apa yang perlu dilakukan ialah meyakinkan penyokong BN bahawa keputusan untuk tidak bertanding adalah langkah bijak dan terbaik dalam keadaan sekarang. Ini juga boleh ditafsirkan sebagai protes terhadap pembangkang yang cuba menggunakan hak demokrasi untuk menguji populariti serta mengatasi masalah dalaman. Kita juga tidak menolak kemungkinan ada lagi pilihan raya kecil selepas ini, yang sengaja dicaturkan pembangkang untuk kepentingan sendiri.

0 comments: