BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SAMSENG jalanan, bukan lagi mat rempit. Itu gelaran baru polis kepada anak-anak muda yang gemar merempit. Sebelum ini pun, banyak pihak tidak bersetuju penggunaan istilah mat rempit. Ada yang mencadangkan mat sakit kerana jika waras, mereka tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Bagi Awang, istilah apa sekalipun, aktiviti rempit sukar dibendung. Naluri anak muda tidak akan banyak berubah tanpa penguatkuasaan undang-undang serta perhatian daripada ibu bapa dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada anak-anak.

Justeru Awang bersetuju dengan sebarang cadangan hukuman yang lebih berat selepas mereka tidak lagi 'makan saman' dengan hukuman yang ada. Cadangan penjara mandatori mungkin boleh 'mengajar' mereka (berumur 18 tahun ke atas) yang tidak pernah serik berlumba.

Tetapi Awang lebih mengharapkan kesedaran ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak- anak menunggang motosikal. Semoga hukuman berat akan turut menyedarkan ibu bapa setiap kali 'melepaskan' anak mereka keluar pada setiap malam hujung minggu.

Hanya ibu bapa/penjaga yang dapat membantu mengatasi aktiviti merempit ini. Janganlah menuding jari kepada pihak polis pula apabila tindakan penjara mandatori dikenakan ke atas anak-anak mereka.

Awang - Risau dihimpit mat rempit.

0 comments: