Perkeso beri pekerja hilang upaya sinar bina semula kehidupan

Perkeso beri pekerja hilang upaya sinar bina semula kehidupan
Oleh Jami'ah Shukri dan Mona Ahmad
rencanabh@bharian.com.my

Program Kembali Bekerja mendapat terapi cara kerja bolehkan kembali segera bertugas

KALLIYANEY, 40, terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 1998. Dia mengalami kecederaan pada bahagian saraf tunjang serta lumpuh seluruh badan dari leher ke kaki.

Bagaimanapun, bekas juruwang di sebuah pusat beli-belah itu tidak layak menerima pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana tempoh carumannya tidak mencukupi. Tetapi, Perkeso tetap membantunya dan memberi bantuan pemulihan dengan menyertai program Kembali Bekerja.

Selepas setahun mengikuti program itu, Kalliyaney kini mampu membuka perniagaan makanan di tepi pantai Bagan Lalang, Sepang dengan bantuan tiga pekerja. Walaupun, secara fizikal dia tidak mampu menguruskan diri sendiri, semangat tinggi yang ada padanya menjadikan wanita itu mampu berdikari mencari rezeki.

Penyelia tapak, Low Yew Loi pula hilang kaki selepas digilis kren ketika bekerja di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) Februari lalu. Dia membuat permohonan kepada Perkeso dan menerima pampasan faedah kurang upaya sementara dan dirujuk untuk menyertai program Kembali Bekerja.

Selepas menerima kaki palsu dan menjalani terapi bagi memulihkan sakit belakang akibat kemalangan itu menerusi program Kembali Bekerja, dia kini mampu berjalan seperti biasa dan bakal kembali bekerja.

Kalliyaney dan Low antara ratusan orang berinsurans yang mengikut program Kembali Bekerja ditawarkan Perkeso sejak 2007 dengan memberikan mereka latihan terapi cara kerja bagi membolehkan mereka kembali bertugas secepat mungkin.

Perkeso yang berperanan menyediakan skim keselamatan sosial untuk memberi perlindungan kepada pekerja yang berdepan kejadian luar jangka seperti bencana pekerjaan termasuk kemalangan ketika perjalanan, keilatan dan kematian itu sebagai tanda keprihatinan terhadap sumbangan pekerja dalam pelbagai sektor.

Penubuhan pusat pemulihan cara kerja itu adalah dengan kerjasama Perkeso, hospital kerajaan dan swasta. Ketika ini program Kembali Bekerja disediakan di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara, pada masa akan datang.

Sejak pelaksanaan program itu, lebih 400 orang berinsurans yang hilang upaya sementara dan kekal sudah mendapat manfaat, iaitu kira-kira 77 peratus sudah kembali bekerja sama ada dengan majikan lama atau baru. Sebilangan mereka kembali bekerja dengan bidang kerja sama atau ditempatkan di bahagian lain bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata program seumpama itu sudah lama dilaksanakan di negara maju seperti Australia sejak 70 tahun lalu dan Eropah 50 tahun lalu.

Malaysia menggunakan program model sama dan disesuaikan dengan situasi negara bagi memastikan pekerja yang ditimpa kemalangan mendapat perhatian sewajarnya.

"Banyak majikan tidak mengetahui bahawa penting pekerja yang berpengalaman ini untuk dilatih dan hantar ke beberapa pusat pemulihan disediakan di seluruh negara. Kajian di Australia mendapati setiap satu dolar yang dilaburkan untuk tujuan latihan pekerja yang hilang upaya ini, akan mendapat pulangan 30 dolar sebaik saja mereka bekerja semula.

"Inilah antara kos tersembunyi yang sering dipinggirkan banyak pihak, termasuk majikan," katanya menggalakkan majikan dan pihak tertentu menyertai seminar kebangsaan Kembali Bekerja yang dianjurkan Perkeso, di Hotel Renaissance, semalam.

Berdasarkan laporan, kira-kira 62 peratus daripada pekerja mengikuti program Kembali Bekerja dijalankan Perkeso kembali bekerja, iaitu dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan, manakala 34 peratus lagi masih meneruskan program pemulihan.

Secara keseluruhan, ini mempamerkan keputusan yang amat memberangsangkan, sekali gus dapat membantu golongan pekerja menyumbang tenaga mereka untuk kepentingan syarikat. Proses program Kembali Bekerja bermula dengan mengenal pasti orang berinsurans yang layak mengikuti program ini.

Ada beberapa kategori orang berinsurans yang layak mengikuti program iaitu orang berinsurans yang masih dalam cuti sakit, orang berinsurans yang disahkan hilang upaya, mereka yang disahkan layak menerima pencen ilat dan orang berinsurans disahkan tidak boleh bekerja dan berusia kurang 40 tahun.

Sesi perbincangan dilaksana pengurus kes Perkeso dengan orang berinsurans. Lazimnya, ketika ini hanya 20 peratus yang berminat dan bermotivasi kembali bekerja selepas mengalami kemalangan, manakala yang lain lebih selesa tidak bekerja dan hanya mengharapkan pampasan.

Menerusi program ini, orang berinsurans yang layak dirujuk ke pusat pemulihan di hospital kerajaan dan swasta.

Di pusat pemulihan ini, orang berinsurans itu akan diberikan rawatan terapi cara kerja bagi membolehkan mereka belajar berdikari apabila kembali ke tempat kerja.

Dr Mohammed Azman berkata, kerjasama semua pihak diperlukan dalam menjadikan program ini lebih berkesan dan berjaya.

Kadang-kala sikap orang berinsurans sendiri yang menjadi halangan kepada kejayaan program ini. Ada antara mereka yang kurang bersemangat dan bermotivasi untuk mengubah hidup dan hanya mengharapkan pampasan daripada Perkeso.

"Selain itu, jika hanya satu pihak saja yang berusaha untuk mengubah hidup tanpa ada sokongan pihak majikan, program ini sukar untuk berjaya. Majikan memainkan peranan penting untuk menerima kembali pekerja mereka yang sudah hilang upaya kerana mereka inilah aset kepada majikan. Walaupun, mungkin sudah tidak mampu melakukan kerja seperti sebelum ini, pengalaman yang dimiliki mereka tidak seharusnya disia-siakan.

"Ada juga majikan yang sanggup menerima pekerja kurang upaya ini kembali bekerja seperti Mydin dan RapidKL. Sepatutnya syarikat besar lain perlu mengikut jejak sama. Pekerja ini walaupun sudah kurang upaya, tetapi jika diberi peluang untuk kembali bekerja, mereka tidak lagi bergantung harap kepada pihak lain, malah dapat menyumbang untuk keluarga dan negara," katanya.

Dalam keadaan krisis ekonomi serta dunia pekerjaan menjadi semakin mencabar, tidak seharusnya dijadikan alasan oleh majikan untuk membuang pekerja sesuka hati, terutama mereka yang hilang upaya.

0 comments: