|
|
TIDAK sampai 10 hari selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pemimpin Hindraf – pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan – sudah merancang untuk mengadakan perhimpunan pada pertengahan Jun ini.
Rancangan itu disampaikan oleh P. Uthayakumar ketika menghadiri satu majlis di Batu Caves, Selangor, kelmarin. Dalam kenyataannya, pemimpin yang kononnya berusaha menjadi wira masyarakat India itu menegaskan, perhimpunan yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu berteraskan prinsip demokrasi.
Persoalannya, kita ingin bertanya apa istimewanya Hindraf dan apa hebatnya Uthayakumar? Sehingga kini mereka masih lagi boleh bercakap mengenai gerakan sebuah pertubuhan yang diharamkan, yang ditubuhkan atas semangat perkauman dan pernah mencetuskan huru-hara di ibu negara.
Ternyata sekali walaupun sudah ditahan di bawah ISA, pemimpin pertubuhan haram itu masih belum serik malah dengan bangganya mendabik dada untuk tidak berterima kasih kepada kerajaan dan memberitahu penyokongnya bahawa dia tidak menandatangani sebarang syarat pembebasan.
Semua itu bagi membolehkan dirinya akan dianggap sebagai seorang yang berani dan diangkat sebagai pejuang kaum India.
Tetapi adakah situasi ini akan dibiarkan oleh kerajaan? Kenapakah masih ada tolak-ansur kepada kelompok yang masih melaung-laungkan perkataan Hindraf itu?
Kalau ia sudah haram di sisi undang-undang maknanya apa juga yang berkaitan dengannya adalah melanggar undang-undang. Apakah kerana ia sebuah pertubuhan bukan Melayu maka ia agak sukar bagi mengambil tindakan untuk memastikan ia berkubur selama-lamanya?
Kalaulah pemimpin Hindraf percaya kepada demokrasi, mereka tidak akan melanggar undang-undang. Mereka akan patuh kepada keputusan kerajaan untuk mengharamkan pertubuhan berkenaan yang ternyata diasaskan atas semangat perkauman.
Kalaulah mereka berani dan begitu yakin bahawa mereka mendapat sokongan majoriti kaum India, tubuhlah parti politik secara sah dan bertandinglah pada pilihan raya.
Namun pemimpin-pemimpin tersebut hanya berani terpekik-terlolong dan mencabar undang-undang dengan berselindung di sebaliknya pertubuhan haram itu.
0 comments:
Post a Comment