Tidak bertanding elak melencong tumpuan isu sebenar
MAJLIS Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, memutuskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang pada 31 Mei ini.
Kepada pemerhati politik, keputusan ini diterima dengan rasa berbelah bahagi. Ada yang mahu BN bertanding demi maruah serta menjawab segala 'serangan' terhadap kerajaan dan ada pula yang berkata, tidak perlu BN membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Tetapi, soal BN tidak bertanding sudah dijangkakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap pilihan raya kecil itu sebenarnya tidak perlu dan ia sesuatu yang membuang masa dan wang awam.
Ada kewajaran BN tidak bertanding. Ini kerana pilihan raya kecil akan hanya melencongkan perhatian dan masa, yang seharusnya ditumpukan kepada perkara sebenar yang lebih mendesak seperti isu berkaitan ekonomi.
Di samping itu, sejak Pilihan Raya Umum pada Mac 2008 sehingga kini, negara membelanjakan RM39 juta untuk menjaga keselamatan di lima pilihan raya kecil.
Bayangkan bagi Pilihan Raya Kecil Penanti, dijangkakan perbelanjaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencecah RM5 juta.
Dengan tidak bertanding, BN dapat mengelak daripada terjerumus dalam perangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakyat sudah tahu bahawa Anwar memang merancang untuk mengadakan banyak pilihan raya kecil.
Sebenarnya, tidak ada apa yang ingin dikejar oleh BN di Penanti. Kalah atau menang, keputusan itu tidak akan membawa banyak perbezaan kepada landskap politik di Pulau Pinang.
Sehingga hari ini pun Anwar tidak menjelaskan mengapa Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu, Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan kemudiannya mengundur diri sebagai wakil rakyat.
Hakikatnya, sandiwara politik pakatan pembangkang terutama PKR nampaknya gagal 'mengumpan' BN untuk bertanding.
BN berhak tidak melayan mainan politik sepanjang masa oleh pihak pembangkang.
Umum boleh melihat kecenderungan wakil rakyat PKR meletak jawatan tanpa alasan munasabah dan perkembangan itu dilihat mempunyai motif tertentu sekali gus membelakangkan prinsip sebenar amalan demokrasi.
Kita sudah lihat Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada tahun lalu, DUN Bukit Selambau, dan keadaan sama juga berlaku di DUN Penanti. Semua penyandang kerusi itu meletak jawatan tanpa sebab kukuh.
Keputusan tidak bertanding itu pastinya mengundang pelbagai persepsi. Paling terasa mungkin orang dalam BN sendiri, orang parti di peringkat bahagian juga mungkin tidak gembira dengan keputusan itu.
Tetapi keputusan tidak popular itu akan memperlihatkan betapa BN matang dengan senario politik semasa dan kedudukan ekonomi negara masa kini.
Sebab itu, BN tidak perlu bertanding di Penanti pada 31 Mei ini bagi mempertahankan prinsip amalan demokrasi dan tumpuan isu yang sebenar.
0 comments:
Post a Comment