Menunggu tindakan tegas ke atas Myanmar

Menunggu tindakan tegas ke atas Myanmar

KEJAYAAN beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia mencapai kata sepakat untuk menjalin kerjasama melalui Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI) pada Sidang Kemuncak CTI di Manado, Sulawesi pada minggu lepas dilihat sebagai satu kejayaan penting, untuk membangunkan sumber-sumber maritim di rantau ini.

Walaupun, bukan semua negara anggota CTI terdiri daripada anggota ASEAN, tetapi kata sepakat yang dicapai di Manado itu dilihat sebagai manifestasi hubungan akrab negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang ke arah mengukuhkan kedudukan dan imej pertubuhan serantau itu di arena antarabangsa.

Bagaimanapun, insiden terbaru di Myanmar melibatkan pemimpin pembangkangnya Aung San Suu Kyi sedikit sebanyak telah mengugat matlamat dan aspirasi ASEAN dan melemahkan kedudukannya sebagai kuasa diplomatik di mata dunia.

ASEAN baru sahaja menghadapi episod hitam dalam sejarahnya apabila Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Pattaya, Thailand terpaksa dibatalkan pada 11 April lalu.

Ketika Thailand sedang bergelut untuk menganjur semula sidang kemuncak itu, ASEAN sekali lagi berdepan dengan episod baru yang boleh menjejaskan kredibilitinya, apabila junta tentera Myanmar bertindak mengheret pemimpin pembangkangnya Suu Kyi ke mahkamah.

Suu Kyi dijadual dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan melanggar syarat-syarat perintah tahanan di rumah, berikutan insiden seorang lelaki Amerika Syarikat berenang menyeberangi tasik dan menceroboh masuk ke rumahnya untuk berjumpa pemenang anugerah Nobel Keamanan itu, awal bulan ini.

Selama ini, ASEAN telah mengamalkan pendekatan berlembut terhadap Myanmar sejak 12 tahun lalu, bagi mendesak junta tentera membawa perubahan di negara itu terutama berhubung amalan demokrasi.

ASEAN tidak boleh lagi berlembut dengan Myanmar. Kehadiran Myanmar dengan tindak-tanduknya yang bertentangan dengan aspirasi ASEAN, dilihat seumpama 'duri dalam daging', yang boleh menjejaskan imej ASEAN di persada antarabangsa.

Lebih-lebih lagi selepas pertubuhan serantau itu baru sahaja meluluskan Piagam ASEAN yang mendokong demokrasi dan hak asasi manusia sebagai slogan utama.

Tindakan Myanmar boleh menggugat matlamat ASEAN untuk menjadi kesatuan bagi penduduk Asia Tenggara.

ASEAN tidak boleh membiarkan Myanmar terus bertindak sesuka hati dengan melanggar ketetapan dan piagam yang telah dipersetujui bersama.

Tindak-tanduk Myanmar selama ini telah banyak memalukan persatuan serantau itu dan ASEAN tidak boleh lagi berada dalam situasi yang dilihat lemah kerana gagal membuat pendirian tegas terhadap Myanmar.

Setakat ini, wakil ASEAN di Yangon belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pendiriannya berhubung isu Suu Kyi sejak tuduhan terhadap pemimpin pembangkang Myanmar itu dikeluarkan pada Khamis lalu.

Sekiranya ASEAN gagal melakukan sesuatu yang konkrit terhadap Myanmar, ASEAN akan dilihat sebagai pertubuhan serantau yang gagal dan kredibilitinya akan tergugat di mata dunia.

Mungkin sudah sampai masanya, kedudukan Myanmar dalam ASEAN perlu dipertimbangkan semula bagi memberi pengajaran kepada junta tentera Myanmar dan sekali gus menyelamatkan imej ASEAN.

0 comments: