Pembangunan modal insan holistik mampu bentuk belia kuat jati diri

Pembangunan modal insan holistik mampu bentuk belia kuat jati diri
Oleh Ismail Awang

BELIA adalah golongan paling diharapkan dalam mengisi agenda negara, yang sentiasa dikaitkan sebagai pewaris negara untuk mengganti dan mengisi kekosongan generasi berikutnya yang akan pergi. Mereka adalah golongan pelapis yang akan mewarisi saf kepemimpinan negara pada masa depan.

Golongan belia dikategori berusia 15 hingga 39 tahun, iaitu merangkumi 41.5 peratus daripada jumlah penduduk negara mengikut statistik 2005. Mereka adalah aset paling utama kepada negara dalam menentukan dan mencorakkan kepemimpinan masa depan negara, seiring misi nasional bagi memastikan usaha pembangunan negara menghasilkan impak lebih tinggi ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Generasi muda kini perlu dididik untuk menjadi anggota masyarakat yang mempunyai ketahanan mental dan spiritual serta kukuh jati dirinya, di samping mempunyai keutuhan nilai moral dan etika bagi membolehkan mereka menghadapi pelbagai ancaman dalam era globalisasi kini.

Generasi belia hari ini terdiri daripada rakyat yang dilahirkan selepas merdeka. Mereka tidak sempat melalui detik sukar hidup dalam era penjajahan dan perjuangan membebaskan negara daripada penjajah dan ancaman komunis.

Mereka tidak melalui zaman yang mana rakyat hidup dalam serba kedaifan kerana kemiskinan dan ketiadaan pembangunan seperti dinikmati generasi kini. Justeru itulah akhir-akhir ini timbul kesedaran mengenai kepentingan bagi pembelajaran sejarah, Perlembagaan dan perundangan negara.

Begitu juga pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan negara perlu diberikan penekanan menyeluruh pada semua peringkat pendidikan bagi memastikan generasi muda hari ini tidak 'buta' sejarah negara.

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Demikianlah ungkapan yang diberikan sejak sekian lama mengenai kepentingan belia terhadap negara. Namun, kini timbul banyak persoalan mengenai harapan yang begitu besar diletakkan di atas bahu belia akibat wujudnya pelbagai permasalahan membabitkan belia pada masa ini.

Menurut laporan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 – 2010), masalah sosial seperti kes penagihan dadah, sumbang mahram dan rogol menunjukkan peningkatan ketara dengan penagihan dadah di kalangan belia meningkat daripada 24,940 kes pada 2001 kepada 41,684 kes pada 2005, manakala kes rogol meningkat daripada 662 kes pada 2001 kepada 919 kes pada 2005.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati kira-kira 87 peratus daripada 'mat rempit' terdiri daripada golongan berusia antara 14 hingga 25 tahun. Kegiatan 'mat rempit' yang semakin berleluasa menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya.

Mereka juga dikatakan turut terbabit dengan jenayah lain seperti ragut, seks bebas, dadah, bergaduh, berjudi dan sebagainya. Di samping itu, tahun lalu, seramai 1,862 pelajar di seluruh negara dilaporkan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah dan 46 orang pula terjebak dalam aktiviti gengsterisme.

Belia adalah antara komponen yang terbabit dalam agenda pemantapan integriti bagi sasaran keempat, iaitu memantapkan institusi keluarga dan komuniti dan juga sasaran kelima, iaitu meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat di bawah Pelan Integriti Nasional (PIN).

Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) antara lainnya mendapati 20 peratus keluarga di negara ini jarang makan bersama dan 20 peratus ibu bapa tidak mengambil tahu mengenai anak remaja mereka yang sering keluar malam.

Sasaran keempat dianggap tidak mencapai objektif berikutan peningkatan kes cerai, dera dan sumbang mahram di seluruh negara sejak kebelakangan ini, manakala sasaran kelima juga kurang memuaskan ekoran peningkatan kes jenayah, kemalangan jalan raya dan kes membabitkan alam sekitar.

Program pembangunan belia memerlukan pelan tindakan terperinci dan komprehensif. Justeru, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional dilancarkan pada 2004 yang memberikan penekanan kepada 11 unsur teras dalam pembangunan belia, merangkumi kesejahteraan sosioekonomi, bina upaya, kualiti kepemimpinan, penyertaan dalam Program Rakan Muda, integrasi sosial dan kesedaran politik di kalangan belia.

Penekanan juga diberi terhadap program pembangunan belia, bertujuan untuk melengkapkan belia dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan bagi membolehkan mereka menghadapi keperluan dunia pekerjaan.

Kegiatan tidak sihat seperti 'mat rempit' banyak membabitkan kalangan belia Melayu, kebanyakannya pula golongan miskin dan mempunyai taraf sosioekonomi rendah. Ibu bapa daripada latar belakang hidup begini lazimnya tidak mempunyai pendidikan sempurna.

Mereka kebanyakannya mempunyai anak ramai dan jarang mengambil tahu mengenai anaknya kerana terpaksa menumpukan perhatian untuk mencari nafkah hidup. Begitu juga ketidakselesaan yang wujud di bandar, sama ada dari sudut sosial atau ekonomi boleh menyumbang kepada berlakunya jenayah sosial yang akhir-akhir ini menunjukkan trend yang semakin meningkat.

Justeru, masalah kemiskinan tegar perlu diselesaikan segera menerusi pelbagai langkah seperti pelaksanaan pendidikan berkualiti, termasuk pemberian latihan vokasional dan memperbanyakkan peluang latihan semula, menggalakkan aktiviti untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, memperluaskan skim bantuan khususnya berkaitan pinjaman kewangan dan sebagainya lagi untuk belia.

Pelbagai langkah perlu dilakukan untuk memastikan belia hanya terbabit dalam aktiviti yang memberi faedah, di samping dapat mengelak mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti merempit, umpamanya dengan menggalakkan penyertaan dalam pertubuhan belia. Setakat ini, hanya ada kira-kira dua juta belia bergerak aktif dalam pertubuhan belia berbanding jumlah kira-kira 11.2 juta belia di negara ini.

Pelan tindakan bagi pembangunan belia perlu selaras dengan matlamat dasar pembangunan belia negara bagi mewujudkan generasi belia yang memiliki peribadi bersepadu dari segi rohaniah, akhliah dan jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020.

Kesimpulannya, program pembangunan belia di negara ini perlu seimbang dan bersifat mapan, iaitu berteraskan pembangunan modal insan yang holistik dengan penekanan diberi terhadap aspek pembangunan fizikal, tetapi kepentingan nilai moral dan etika rakyat khususnya generasi muda tidak diketepikan.

Penulis ialah Pengarah Urus Setia Integriti dan Kualiti Negeri Kelantan

0 comments: