Perjanjian hijau langkah capai kemakmuran

Perjanjian hijau langkah capai kemakmuran

ISTILAH mapan sudah menjadi asas kepada hampir semua pemikiran ekonomi masa kini. Ia amat penting bukan hanya kepada pemikiran hari ini, bahkan untuk keamanan dan keselamatan hari esok.

Meletakkan faktor mapan dalam semua pemikiran adalah perlu kerana sebagai sebuah masyarakat global, kita sentiasa hidup dalam suasana siap siaga. Sejak dua tahun terakhir ini kita mengalami pelbagai siri krisis - tenaga, makanan, perubahan iklim dan kemelesetan ekonomi.

Saya bimbang keadaan lebih sukar menunggu kita di hadapan. Hakikatnya ialah jika krisis ekonomi global yang sedang berlaku hari ini gagal ditangani dengan baik, ia mungkin berubah menjadi krisis politik yang jauh lebih parah dan mungkin boleh mencetus huru-hara, kerajaan menjadi semakin lemah dan rakyat semakin marah serta hilang kepercayaan terhadap pemimpin dan masa depan mereka.

Kita memasuki era baru untuk hidup lebih sederhana. Kita kini menghadapi masalah memiliki sumber yang semakin terhad; belanjawan semakin mengecut; program bantuan kemanusiaan semakin mengecil dan sumbangan secara sukarela semakin sukar.

Bagaimanapun, wujud mentaliti ketiga yang menyumbang ke arah perasaan lebih optimis kerana pelbagai cabaran yang kita hadapi hari ini saling berkait.

Justeru, jika kita bijak menanganinya, jika kita dapat mengesan dan menggunakan kaitan yang wujud di dalam semua isu ini - penyelesaian kepada setiap masalah juga boleh menjadi penyelesaian kepada semua krisis yang lain.

Kita boleh mendapat sumbangan lebih besar dari segi kewangan dan mencari laluan lebih cekap serta berkesan untuk membentuk masa depan yang lebih mapan dan makmur.

Pada Sidang Puncak G-20 di London baru-baru ini, pemimpin dunia dengan jelas mengenal pasti semua hubung kait krisis yang berlaku hari ini. Semua mereka bersetuju satu pakej rangsangan global yang ikhlas dan jujur, boleh menarik minat semua negara dunia, bukan hanya segelintir.

Mereka menentang usaha ke arah perlindungan dan mengiktiraf Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai jentera untuk pembangunan, pertumbuhan dan usaha ke arah mencipta pekerjaan berkualiti di seluruh dunia.

Semua pemimpin bersetuju mengambil satu langkah tegas ke arah ‘Perjanjian Hijau Yang Baru’ (Green New Deal) dan berikrar untuk mencapai persetujuan pada sidang perubahan iklim PBB di Copenhagen, Disember depan.

Perkembangan mutakhir ini adalah penting. Saya sudah melihat glasier yang semakin cair di Antartika dan Banjaran Andes. Saya menyaksikan kesan penebangan hutan di Hutan Amazon, Brazil dan kepelbagaian-bio yang semakin musnah. Beberapa negara kepulauan Caribbean termasuk sebahagian negara Trinidad dan Tobago, pula menghadapi ancaman serius sekiranya paras air laut semakin meningkat.

Kepemimpinan berwawasan dan berani amat diperlukan bagi memastikan berlaku kesinambungan perjanjian bagi Protokol Kyoto apabila Sidang Puncak G-20 berlangsung di Copenhagen nanti.

Perjanjian yang bakal dicapai pada sidang itu mesti mempunyai misi besar, berkesan dan adil, serta menawarkan negara kaya cara terbaik untuk mengurangkan pengeluaran karbon, pada masa sama membantu negara miskin untuk menyesuaikan diri dengan kesan serius akibat perubahan iklim.

Kita perlu melindungi rakyat dunia yang terdedah kepada pelbagai krisis ini, terutama masyarakat asli dan kita memerlukan insentif kewangan bagi memulihara kawasan hutan serta kehidupan masyarakat yang bergantung hidup kepadanya.

Dengan menangani krisis perubahan iklim, kita sekali gus akan melegakan krisis ekonomi - pekerjaan baru untuk pertumbuhan baru. Kita semua mengetahui mengenai hubung kait antara pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik, demokrasi serta hak asasi manusia.

Bagi saya, sebagai Setiausaha Agung PBB, pencapaian sosial secara kolektif dan keselamatan ekonomi adalah prinsip asas keadilan, keadilan sosial global. Bagaimanapun, bagi mencapai matlamat ini, kita mesti mencari jalan dan bekerja keras untuk meningkat agenda mapan yang sebenar - satu agenda kemakmuran untuk semua.

Peluang untuk mencapai hasrat itu akan muncul di mesyuarat G-8 di Itali, Julai ini dan Sidang Puncak Perubahan Iklim di PBB pada September ini.

Secara peribadi, saya berikrar akan menyatukan PBB untuk tujuan koordinasi serta mencipta langkah lebih tegas serta penuh inovasi bagi merealisasikan agenda ini.

Kami akan mencipta mekanisme baru mendapatkan sumber kewangan tambahan bagi keselamatan makanan untuk membantu negara yang memerlukan bagi menghadapi masa sukar pada masa depan.

Kami akan menyokong Pakatan Pekerjaan Global - satu strategi pemulihan untuk memenuhi keperluan asas manusia untuk mendapat pekerjaan yang munasabah. Dan kami akan melancarkan Amaran Krisis Global PBB, mengumpul maklumat kesan ke atas masyarakat sosial sebaik saja mana-mana negara dunia mengalami krisis ekonomi.

Akhirnya, perpaduan dan usaha bersama mesti dijadikan tonggak kekuatan kita, kerana hari ini kita memiliki peluang untuk mencipta semula usaha bagi membolehkan setiap negara dunia bekerjasama, melaksanakan penyelesaian secara kolektif kepada semua masalah yang dihadapi.

Dunia hari ini memerlukan satu kerjasama pelbagai hala yang baru sebagai asas kepada usaha mencapai kemakmuran yang baru dan mapan untuk semua.



Penulis ialah Setiausaha Agung PBB (Rencana disediakan oleh Project Syndicate)

0 comments: