|
|
Pelbagai pilihan permainan video seperti sukan, taktikal peperangan, perlumbaan dan pergaduhan boleh didapati dengan mudah sama ada yang asli mahu pun cetak rompak.
Bagaimanapun, tanpa disedari ia mula mengancam masyarakat iaitu mencetuskan gejala sosial paling membimbangkan apabila di pasaran kini muncul begitu banyak permainan video berunsur seks di samping mempromosikan gaya hidup Barat.
Ia mudah didapati sama ada di kedai menjual permainan video atau dengan melayari Internet malah ramai kanak-kanak seawal usia tujuh tahun telah mula terdedah dengan permainan video pornografi itu.
Bagi mengupas isu tersebut, wartawan AIZAWATI AHMAD, MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan WAN SYAMSUL AMLY SEADEY bersama jurugambar DJOHAN SHAHRIN SHAH dan ZAKARIA IDRIS menjalankan siasatan dan menemu bual beberapa pakar serta remaja yang pernah terbabit dengan gejala sosial itu.
KUALA LUMPUR 29 Mei – Permainan video berunsur seks merupakan satu tarikan kepada generasi muda pada abad ini.
Bagi mendapat gambaran jelas, penulis membeli dan mencuba permainan tersebut untuk mengetahui sejauh mana ia mampu memberi kesan negatif kepada anak-anak muda negara ini.
Untuk mendapatkan permainan tersebut yang dijual dalam bentuk video cakera digital (DVD) tidak sukar. Ia boleh didapati dengan mudah di kebanyakan pusat penjualan video sekitar Lembah Klang.
Dengan harga hanya RM4 untuk satu DVD bagi permainan Play Station dan RM15 DVD permainan menggunakan komputer, ternyata ia cukup murah dibeli oleh remaja.
Kebanyakan permainan video yang dibeli penulis mengeksploitasi wanita sebagai simbol seks di dalam karakter kartun di samping tajuk berbau seks.
Penulis terlebih dahulu mencuba permainan video menggunakan Play Station, salah satu daripada permainan itu berlatar belakangkan kehidupan seorang lelaki yang cuba memikat gadis-gadis bagi mendapatkan seks.
Dalam proses tersebut, lelaki itu perlu mendekati wanita berkenaan serapat mungkin sebelum jatuh ke tangannya.
Namun, setelah sekian lama bermain, jelas ada beberapa aspek di dalam permainan itu yang mempromosi gaya hidup Barat secara tidak langsung.
Antaranya ialah minum arak sehingga mabuk atau membuka baju satu persatu sebagai pelaksanaan denda, pergaulan bebas, menari dan penggunaan kata-kata kesat.
Ia secara jelas memaparkan budaya hedonisme.
Permainan video seks ini turut diselangi gambar model-model wanita separuh bogel dengan gaya yang cukup mengghairahkan.
Bagi menghabiskan permainan itu, penulis terpaksa mengambil masa yang panjang iaitu antara empat hingga lima jam.
Cukup jelas ia mampu melekakan dan merangsang berahi sesiapa sahaja khususnya golongan remaja.
Selain itu, penulis turut berkesempatan mencuba permainan video seks yang menggunakan komputer.
Berbeza dengan Play Station, permainan menerusi komputer lebih bersifat taktikal di samping pemainnya perlu melaksanakan objektif-objektif tertentu.
Bermula sebagai penerbit sebuah majalah dan dikelilingi dunia glamor, watak animasi yang dibentuk dalam permainan kali ini dicerminkan sebagai seorang kaki perempuan.
Melalui karakter tersebut, pemainnya berpeluang menyaksikan adegan seks 3-D (tiga dimensi) setelah melalui beberapa rintangan di dalam permainan itu.
Malah di peringkat lebih mencabar, pemain ‘dihadiahkan’ dengan adegan seks yang lebih panas dan menyeronokkan berbanding tahap yang mudah.
Itu baru cerita dua daripada DVD yang dibeli oleh penulis. Ribuan lagi DVD atau permainan video seks yang sama di pasaran kini.
Dengan realiti betapa mudahnya membeli video permainan seks itu, ibu bapa kini mempunyai tugas lebih berat dan kompleks termasuk menjadi penyiasat persendirian apabila setiap kali melihat anak-anak membeli DVD atau ketika bermain Play Station dan komputer.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membendung kemasukan permainan video seks ini yang mana ketika ini ia kelihatan direstui tanpa sebarang usaha menyekatnya.
0 comments:
Post a Comment