Pelik calon mati, calon tarik diri diisytihar menang pilihan raya
BORHAN ABU SAMAH
PELIK tapi benar - memang sukar untuk dipercayai seorang calon yang meninggal sebelum pilihan raya berlangsung tetap dipilih oleh rakyat sebagai wakil rakyat.
Lebih pelik lagi apabila suruhanjaya pilihan raya mengesahkan kemenangan calon berkenaan dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat kawasan terbabit.
Begitulah situasi pilihan raya di Indonesia yang begitu kelam kabut sehingga menyebabkan rakyat menjadi bingung, lantas tidak sedar calon yang telah berada di dalam liang lahad dipilih.
Apakah ini bentuk baru protes rakyat. Berbeza sebelum ini ramai yang tidak keluar mengundi atau merosakkan kertas undi dengan tanda-tanda yang tidak sah sebagai menunjukkan protes.
Kekalutan itu berlaku di tiga kawasan dan membabitkan tiga nama calon iaitu Sutradara Gintings daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan di kawasan Banten III dan Henry Usman daripada Parti Demokrat di Kalimantan Barat yang meninggal dunia pada bulan Mac sebelum pilihan raya berlangsung pada April lalu.
Satu lagi ialah Freddy Numberi dari Parti Demokrat di kawasan Papua yang menarik diri daripada bertanding.
Alasan tiga nama itu masih berada pada kertas undi mungkin kerana suruhanjaya pilihan raya tidak sempat membuangnya kerana kesuntukan masa, tetapi lebih pelik ketiga-tiga mereka terpilih sebagai wakil rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) mengesahkannya.
Bertambah pelik lagi bagi menyelesaikan masalah itu KPU menyerahkan kepada parti memutuskan pengganti mereka, memandangkan calon kedua dan ketiga memperolehi undi terbanyak juga daripada parti yang sama.
Sebagai contoh kes Sutradara memperoleh 29,413 undi, manakala tempat kedua serta ketiga juga dari parti yang sama iaitu Malawati dan Irwansyah, masing-masing mendapat 20,666 undi dan 20,265 undi.
Oleh kerana ketiga-tiga calon itu dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan maka keputusan untuk memilih pengganti Sutradara diserahkan kepada parti tersebut.
Ini bermakna KPU membenarkan parti campur tangan dalam urusan pilihan raya dan menunjukkan kelemahan badan berkenaan dalam membuat keputusan.
Jadi tidak hairanlah jika di mana-mana sahaja rakyat membantah tindakan badan itu di dalam mengendalikan pilihan raya legislatif, terutama daftar pemilih yang menyebabkan ramai pengundi yang tidak dapat melaksanakan hak mereka kerana nama tidak berada di dalam daftar pemilih.
Pada masa yang sama nama orang yang telah meninggal dunia pula masih lagi berada di dalam senarai daftar pemilih.
Kes Sutradara Gintings harus jadi pengajaran kepada KPU agar tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dalam membentuk kerajaan.
Jika masalah itu tidak ditangani dengan baik tidak mustahil ia akan berulang pada Pilihan Raya Presiden pada 8 Julai depan dan dikhuatiri jika itu berlaku, rakyat tidak lagi dapat bersabar.
0 comments:
Post a Comment