|
|
PENGUMUMAN kejayaan ujian senjata nuklear oleh Korea Utara yang dijalankan pada 25 Mei 2009 telah mengejutkan dan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa dan kuasa-kuasa besar dunia terhadap tindak-tanduk Pyongyang yang sering menimbulkan provokasi dan dilema keselamatan kepada masyarakat antarabangsa.
Ujian senjata nuklear bawah tanah Pyongyang pada kali ini dianggarkan antara 10-20 kilotan yang berukuran 4.7 Richter iaitu melebihi jumlah yang pernah dijalankan pada Oktober 2006 yang hanya melibatkan antara 10-15 kilotan yang merekodkan 4.2 skala Richter.
Kadar ini adalah satu kadar yang besar bagi senjata nuklear kerana satu kilotan adalah bersamaan dengan 1,000 tan TNT. Kemampuan senjata nuklear Korea Utara dalam ujian pada kali ini dianggarkan dapat membawa kemusnahan seperti mana letupan nuklear di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945.
Selain ujian nuklear, Korea Utara turut melakukan tiga ujian peluru berpandu darat ke udara yang secara tidak langsung memberi tekanan kepada negara serantau termasuk kuasa besar Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia.
Tindakan provokasi Pyongyang ini telah mendapat liputan luas media antarabangsa yang cuba menterjemahkan niat sebenar Korea Utara di sebalik pengumuman objektif ujian berkenaan yang bertujuan bagi memastikan kedaulatan, keamanan dan keselamatan Semenanjung Korea serta rantau Asia Timur dan sebagai langkah menguatkan sistem pertahanannya di segenap aspek.
Sememangnya ujian nuklear Korea Utara bukanlah perkara baru dalam arus 'perjalanan hidup' Pyongyang, sebaliknya ia merupakan ujian lanjutan daripada beberapa siri ujian nuklear Korea Utara yang dilakukan semenjak tahun 1998, 2006 dan terkini 2009.
Ujian-ujian nuklear yang dijalankan oleh Korea Utara ini sering kali dikaitkan dengan objektif jangka masa pendek iaitu bagi memenuhi keperluan atau tuntutan tertentu serta sebagai memberi reaksi terhadap sesuatu isu semasa yang melibatkan Pyongyang.
Namun sekiranya fenomena ini dilihat dalam konteks yang lebih luas, ujian senjata nuklear Korea Utara ini turut mempunyai objektif jangka masa panjang khususnya bertujuan menghasilkan dan memperkukuhkan 'kuasa hegemoni nuklear Korea Utara'.
Terdapat pendapat yang menjelaskan senjata nuklear Korea Utara yang berkembang seiring dengan pembangunan peluru berpandu jarak dekat dan jarak jauhnya seperti Rodong, Nodong dan Taepodong adalah dianggap sebagai ancaman yang 'lemah' memandangkan kemampuannya yang terhad dan hanya berlandaskan 'teknologi kelas ketiga'.
Andaian ini sememangnya ada kebenarannya apabila peluru berpandu Korea Utara ini telah dibandingkan dengan peluru berpandu negara Barat yang menggunakan teknologi yang lebih moden dan sofistikated.
Namun dalam tempoh antara 1998-2009, teknologi peluru berpandu dan senjata nuklear 'kelas ketiga' Korea Utara ini telah berjaya menghasilkan kesan yang besar dalam geo-politik antarabangsa yang mana Pyongyang telah berjaya membentuk kuasa dan pengaruh hegemoni ke atas senjata nuklear yang dimilikinya.
Kuasa hegemoni senjata strategik Korea Utara ini hakikatnya telah pun lahir semenjak 1980-an dan 1990-an lagi apabila AS bimbang dengan tindakan Pyongyang yang menjadi negara pengeksport peluru berpandu khususnya dari kelas Scud A, B an C ke negara-negara pengimport seperti Libya, Syria, Pakistan, Iran dan sebagainya.
Kuasa dan pengaruh hegemoni senjata nuklear Korea Utara semakin kukuh dan digeruni musuh apabila ia berjaya melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh Taepodong II pada 5 Julai 2006 dan ujian nuklear pada 9 Oktober 2006.
Senjata nuklear Pyongyang ini semakin digeruni AS kerana ia mampu mencapai sasaran dalam jarak melebihi 5,000 kilometer yang mampu mencecah ke benua Amerika seperti Alaska, Hawaii dan California, benua Eropah dan Asia.
Di sini, dimensi persepsi masyarakat antarabangsa termasuk kuasa besar dunia tidak lagi melihat senjata nuklear Korea Utara sebagai 'ancaman nuklear kelas ketiga', sebaliknya ia mula mendapat perhatian dalam dasar keselamatan masing-masing.
Kewujudan kebimbangan dan dilema antarabangsa terhadap senjata nuklear Korea Utara telah menunjukkan bahawa senjata nuklear Korea Utara telah berjaya menghasilkan kuasa hegemoninya yang tersendiri apabila ia mampu menarik perhatian, menimbulkan kebimbangan, reaksi dan mampu menundukkan negara tertentu untuk akur dengan tuntutan Korea Utara.
Ujian nuklear pada 25 Mei 2009 ini turut menimbulkan kebimbangan Presiden Barack Obama yang segera memberi reaksi menentang ujian nuklear Pyonyang dengan melabelkan sebagai tindakan yang mengingkari resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sekutu AS, Jepun sememangnya amat peka dengan tindak-tanduk Korea Utara yang menyaksikan Perdana Menterinya Taro Aso segera mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan ancaman nuklear Korea Utara.
Malah sebelum ini, Jepun telah pun menjalankan program meletakkan pemintas peluru berpandu Patriot Advanced Capability-3 di utara Akita dan Iwate dan menempatkan dua pembinasa Aegis, peluru berpandu balistik Standard Missile 3 di laut Jepun dan Lautan Pasifik pada Mac 2009, di samping dilindungi dengan konsep 'payung nuklear' AS.
Bagi pihak Korea Selatan, Presiden Lee Myung-bak segera mengadakan mesyuarat tergempar dan telah mengambil langkah mengarahkan 680,000 anggota tenteranya segera bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebimbangan ini turut melibatkan China dan Rusia yang merupakan 'negara sahabat' kepada Korea Utara. Kebimbangan ini adalah berkaitan dengan lokasi ujian nuklear yang dilakukan Pyongyang yang mana Bandar Kilju adalah lokasi yang berhampiran dengan sempadan China dan Rusia.
Kebimbangan China terhadap ancaman nuklear Korea Utara ini adalah berkait rapat dengan jarak dan lokasi ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang yang hanya terletak 200 kilometer dari sempadan kuasa besar China.
Beijing segera menentang ujian nuklear terbaru Korea Utara ini memandangkan ia telah dikesan oleh radar dan siren kecemasan di Bandar Yanji di sempadan China-Korea Utara. Begitu juga dengan Rusia, ujian senjata nuklear dan peluru berpandu ini turut mengancam keselamatan Rusia khususnya bandar Vladivostok yang dihuni oleh 500,000 orang penduduk yang terletak hanya 140 kilometer dari sempadan Rusia-Korea Utara.
Senario kedudukan sempadan dan bandar Rusia yang terlalu hampir dengan Korea Utara ini telah meletakkan Rusia dalam lingkungan yang dapat dicapai oleh peluru berpandu Korea Utara.
Apa yang jelas, teknologi dan senjata nuklear yang pernah dilabelkan sebagai 'kelas ketiga' dan ancaman yang terhad sebelum ini telah dinafikan oleh Korea Utara. Sebaliknya, usaha Korea Utara membangunkan senjata nuklear yang diilhamkan oleh Kim Il-sung semenjak 1948 telah berjaya membawa kepada kejayaan terhadap pemilikan senjata strategik yang mempunyai pengaruh yang besar dalam arus politik antarabangsa.
Malah dalam hal ini, senjata nuklear Korea Utara turut menjadi aset kepada pemimpinnya untuk mewujudkan kaedah 'diplomasi nuklear' apabila Korea Utara berdepan dengan negara luar.
Pengaruh dan kuasa hegemoni senjata nuklear Korea Utara ini juga secara langsung akan menarik ramai minat negara-negara baru untuk mendapatkan teknologi dan bantuan daripada Korea Utara untuk membangunkan program nuklear.
Penulis ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
0 comments:
Post a Comment