Ibu bapa perlu terbuka bincang seks

Ibu bapa perlu terbuka bincang seks

KUALA LUMPUR 29 Mei - Ibu bapa perlu bersikap terbuka dengan anak-anak apabila membincangkan mengenai topik seks.

Pengetua Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusuf berkata, anak-anak yang sedang meningkat remaja perlu diberi kefahaman jelas mengenai seks di samping penerapan pendidikan agama yang kukuh.

"Sudah sampai masanya ibu bapa bersikap terbuka dan berterus terang mengenai pendidikan seks, jangan malu bercakap dengan anak-anak mengenainya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Yahya yang juga seorang kaunselor turut menasihatkan kepada ibu bapa agar kerap melakukan pemeriksaan mengejut di rumah anak-anak yang tinggal berasingan.

Jelasnya, tindakan itu bertujuan memastikan anak-anak tidak menyalahgunakan kehidupan bebas sebagai orang bujang.

Selain itu, beliau memberitahu, ibu bapa kadang kala terpedaya dengan imej pakaian sopan setiap kali mereka pulang ke kampung.

"Saya hendak ingatkan ibu bapa di luar sana jangan cepat berasa bangga hanya melalui pemakaian anak-anak yang bertudung litup, ini kerana pakaian yang dipakai tidak mencerminkan tingkah laku sebenar mereka," tegasnya.

Sementara itu, Yahya mencadangkan kepada media elektronik supaya menyelitkan slot kaunseling pada setiap program yang mengandungi pengaruh negatif kepada anak-anak muda.

"Slot ini tidak perlu panjang cuma ambil masa dua hingga tiga minit untuk menasihatkan para penonton terutamanya anak-anak muda agar tidak meniru adegan yang dipaparkan menerusi program berkenaan," katanya.

0 comments: