Jangan biarkan ah long terus berleluasa

Jangan biarkan ah long terus berleluasa

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
jenayah@utusan.com.my

KEKEJAMAN yang dilakukan oleh ah long terhadap golongan pemiutang yang gagal membayar pinjaman kini sudah berada pada tahap serius dan perlu ditangani segera.

Sebelum ini agak jarang mendengar berita mengenai kezaliman ah long seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah itu.

Ah long (pada zaman ini) mengambil kesempatan kemerosotan ekonomi yang melanda negara dan seluruh dunia untuk menarik lebih ramai mangsa untuk berhutang.

Walaupun jumlah hutang itu sedikit, mangsa akan diperlakukan seperti zaman jahiliah - dikurung dan dirantai selain ditambah dengan pelbagai penyeksaan lain yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Di mana silapnya sehingga kekejaman ah long seperti ini boleh terjadi? Sedangkan umum sedia maklum bahawa kewujudan ah long ini bukanlah satu perkara baru.

Kegiatan ah long di Malaysia sudah wujud sejak sekian lama tetapi mereka kini semakin berani bertindak di luar batasan, seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kurungan dan dirantai penjenayah itu.

Serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas sebuah rumah kedai di Bukit Serdang di ibu negara Rabu lalu, menunjukkan golongan ah long kini semakin berani melaksanakan hukuman sendiri, walhal hukuman itu sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan gagal membayar jumlah hutang yang tidak seberapa.

Ah long juga bertindak di luar batas kemanusiaan dengan melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa.

Mereka mewujudkan lokap tahanan sendiri, menghukum mangsa-mangsa itu sesuka hati dengan hukuman tidak sepatutnya dilakukan kepada manusia bertamadun pada zaman ini.

Sikap masyarakat sendiri yang masih percaya dan sanggup meminjam wang dengan ah long menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Kenapa masih ada masyarakat yang sanggup berurusan dengan ah long, sedangkan mereka tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja diri sendiri, malah ahli keluarganya jika gagal melunaskan hutang.

Tidak dinafikan mereka yang terdesak dan mengalami masalah kewangan sering hilang pertimbangan untuk berfikir, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka.

Jalan paling mudah dan cepat bagi mereka yang bermasalah ialah menghubungi mana-mana nombor syarikat pinjaman ini (yang kononnya berlesen) untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Untuk mencari ah long ini pula bukannya susah, malah mereka kini semakin 'approachable' apabila nombor-nombor ah long begitu mudah diperoleh menerusi poster, kain rentang dan kad edaran di mana-mana jua ketika ini.

Bukannya masyarakat kita tidak tahu kekejaman yang dilakukan oleh ah long selama ini, sekiranya hutang gagal dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Masyarakat sebenarnya tahu tetapi mengambil sikap seolah-olah tidak tahu kesannya dan terus meminjam daripada ah long. Dan inilah silapnya.

Sering kali berita-berita mengenai kesengsaraan yang dihadapi mangsa ah long dipaparkan oleh media-media massa, namun sindrom meminta tolong daripada ah long ini masih berlaku.

Ketepikan soal kaum apa yang sering meminjam wang daripada ah long kerana ia kini bukan lagi masalah yang melibatkan satu kaum tertentu.

Bukan hanya satu jenis kaum sahaja yang meminjam daripada ah long kerana kini juga sudah ada kaum Melayu yang bermasalah dan sanggup meminjam daripada ah long.

Sepatutnya, kita lebih percaya kepada institusi kewangan berlesen yang dibenarkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan beban hutang.

Banyak skim pinjaman yang diwujudkan oleh bank-bank tempatan. Namun, semakin banyak skim yang ada, semakin banyak juga rakyat kita yang lebih tertarik kepada ah long.

Hal ini juga perlu diberi perhatian. Kenapa orang lebih suka meminjam dengan ah long dan tidak dengan bank. Adakah begitu banyak prosedur yang perlu dipenuhi jika ingin meminjam daripada bank.

Jika itulah puncanya, pihak institusi kewangan dan kerajaan perlu melihat semula kaedah pemberian pinjaman ini agar ia tidak terlalu ketat dan menyukarkan golongan peminjam untuk berbuat demikian.

Mereka, jika gagal memperoleh pinjaman sudah pasti akan pergi kepada sumber yang paling mudah - jalan singkat ketika bermasalah dan hilang pertimbangan, iaitu meminjam daripada ah long.

Jenayah kekerasan yang dilakukan oleh golongan ah long juga menjadi sesuatu perkara yang tidak diduga. Sebagaimana yang berlaku kepada tiga mangsa di Bukit Serdang yang menggemparkan negara itu, siapa pun tidak menduga bahawa ah long kini bukan setakat sanggup membunuh, malah sanggup menyeksa mangsanya persis zaman dahulu kala.

Kepada pihak PDRM, bertegaslah dengan golongan ini. Heret mereka yang terlibat ini ke muka pengadilan. Jangan biarkan golongan ini berterusan menyeksa golongan pemiutang malah membunuh keluarga mangsa yang tidak berdosa.

PENULIS ialah Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia.

0 comments: