PM berteka-teki tarikh pilihan raya – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak menyentuh mengenai pilihan raya umum, tidak semestinya memberi petunjuk bahawa ia tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Perdana Menteri mungkin berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum itu kerana mahu semua ahli UMNO berada dalam keadaan bersiap-sedia.

“Bagi saya gendang perang (pilihan raya) telah lama dipalu. Dalam ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan perhimpunan sayap parti dua hari lalu, beliau telah menyentuh mengenai pilihan raya.

“Jadi mungkin Abdullah berpendapat tidak perlu hendak ulang lagi kerana banyak perkara lain yang perlu disebut.

“Ini tidak boleh dianggap seolah-olah pilihan raya tidak ada,” kata Muhyiddin mengulas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, setiap sayap parti perlu membuat apa sahaja persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, jelas beliau, petunjuk-petunjuk pilihan raya telah lama ada dan tidak perlu menunggu pemimpin-pemimpin parti untuk menyebutnya berulang-ulang kali.

“Yang penting, semua sayap parti sentiasa bersedia dan apabila diumumkan kita hanya perlu menggerakkan semua persediaan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan ucapan dasar Presiden parti hari ini cukup padat dan berkesan.

“Beliau telah menyentuh perkara-perkara utama yang menjadi perhatian rakyat semua kaum.

“Contohnya, soal Islam sebagai agama rasmi, beliau menyarankan kita perlu saling hormat- menghormati agama lain supaya tidak berbangkit satu perasaan curiga yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat,” jelasnya.

0 comments: