Oleh Baharom Mahusin
|
|
KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak orang Melayu bangkit menggerakkan perjuangan fasa 50 tahun kedua kemerdekaan negara dengan memastikan bangsa Melayu mentakrif masa depan Malaysia berdasarkan keyakinan, kekuatan dan keupayaan baru.
Presiden UMNO berkata, salah satu program terpenting dalam fasa itu ialah pembangunan koridor ekonomi yang merupakan pendekatan baru bagi menjana pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Dari segi fizikal, pembangunan koridor Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan projek yang sama di koridor ekonomi Sabah dan Sarawak akan mengubah nasib masyarakat luar bandar di kawasan-kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, koridor-koridor ekonomi itu mempunyai impak dari segi pemikiran kerana ia menyokong langkah mewujudkan towering Malays, iaitu melahirkan “anak-anak Melayu yang tidak gentar untuk bersaing dengan dunia luar.”
Dalam ucapan dasar yang bertemakan Memperkukuh Keyakinan - Meneroka Era Baru pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, fasa yang akan ditempuhi itu perlu digerakkan oleh rakyat pelbagai kaum yang percaya negara bangsa boleh dibawa ke mercu kegemilangan.
“Nasib negara pada tahun 2057 – iaitu ketika Malaysia merayakan ulang tahun ke-100 tahun kemerdekaan – akan ditentukan dengan apa yang UMNO dan orang Melayu lakukan hari ini,” katanya.
Abdullah memberitahu lebih 2,500 perwakilan UMNO yang berhimpun di sini sehingga Jumaat ini bahawa untuk melonjakkan bangsa Melayu dalam 50 tahun akan datang, komponen pembangunan negara perlu dilengkapkan dengan usaha membina gagasan kukuh dalam jiwa raga insan.
Selain ingin menghapuskan ‘racun minda’ yang selama berkurun-kurun menghambat pemikiran dan mengecilkan jiwa Melayu, beliau juga meletakkan sasaran bangsa Melayu dijadikan bangsa yang gagah lagi perkasa, berilmu dan menguasai teknologi, berbudaya tinggi dan bermoral mulia.
“Untuk itu saya telah dan sedang berusaha membangunkan komponen perisian terutama dari segi membangunkan modal insan kelas pertama.
“Pelbagai formula diperkenalkan, beberapa organisasi disusun semula dan beberapa institusi baru ditubuhkan. Pembangunan perisian memerlukan masa yang panjang untuk melihatkan hasil,” katanya.
Dalam perjalanan awal menuju matlamat baru misi 2057 itu, kata Abdullah, beliau tetap mengekalkan dasar-dasar utama tetapi membuat pengubahsuaian mengikut keperluan semasa untuk menghadapi cabaran baru.
“Tempoh empat tahun saya menerima amanat memimpin negara merupakan satu peratusan masa yang singkat berbanding sejarah lima puluh tahun kemerdekaan.
“Saya amat insaf negara masih belum memenuhi tahap sasaran yang ditetapkan. Tambahan pula dengan kemunculan cabaran-cabaran baru seperti kenaikan harga minyak dan komoditi-komoditi lain serta ketidakstabilan politik di kawasan-kawasan strategik seperti di Asia Barat.
“Namun saya berkeyakinan dengan petanda-petanda positif dalam negara yang sungguh menggalakkan,” kata Abdullah dalam ucapan selama lebih satu jam itu yang merupakan ucapan pertama Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung parti bagi fasa kedua kemerdekaan negara.
Menurut Abdullah, apa yang Malaysia capai sejak lima dekad lalu adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan UMNO terdahulu, bermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Namun, kata beliau, kegemilangan Malaysia itu perlu dipastikan tidak seperti apa yang berlaku ke atas Empayar Melayu Melaka yang hanya mampu bertahan selama satu abad sebelum dijajah oleh kuasa Barat mulai tahun 1511.
“Selama hampir 500 tahun selepas itu kita telah dijajah dan nasib bangsa ditentukan oleh kuasa luar.
“Dalam tempoh 50 tahun merdeka, kita telah kembali berkerajaan sendiri. Kita telah berjaya mengembalikan kegemilangan sebuah negara bangsa.
“Malaysia muncul sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat, dihormati dan disegani. Era kegemilangan kerajaan Melaka berjaya kita kembalikan. Namun kita tidak mahu kegemilangan kita sekadar berusia satu abad,” katanya.
Abdullah menegaskan, kegemilangan itu perlu dipertahankan selama-lamanya supaya “selagi ada bulan dan matahari, negara dan bangsa kita akan kekal menjadi negara bangsa merdeka lagi berdaulat.”
Beliau berkata, Malaysia yang telah merdeka selama lima puluh tahun harus diperkaya dengan warga berjiwa merdeka, memiliki keyakinan dan menangani setiap isu berasaskan kepada kepentingan nasional.
Malaysia, katanya, telah pun dibangunkan oleh rakyat yang hidup harmoni dalam kepelbagaian agama dan kaum. Akar rakyatnya kukuh di bumi tetapi jiwa besar dan fikiran luas mereka merendang dahannya ke serata benua.
Fasa pembangunan bangsa dalam 50 tahun akan datang yang menyuburkan lagi kekuatan itu harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Melayu dan warga Malaysia, kata Perdana Menteri.
Untuk fasa itu, beliau menggariskan hala tuju UMNO dan negara iaitu memelihara sebuah negara yang terus bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan Rukun Negara.
UMNO juga, tegasnya, perlu memastikan negara terus bersatu, dengan kehidupan yang adil lagi saksama, melalui semangat kebersamaan dan perkongsian kuasa yang jitu.
“Kita ingin membina sebuah negara dengan peradaban dan ketamadunan unggul melalui pendekatan Islam Hadhari yang mengandungi prinsip sejagat. Kita ingin menjadi sebuah negara yang maju dan terus maju, yang dipacu oleh Misi Nasional,” katanya.
Dalam nada memujuk tetapi tegas, Perdana Menteri menambah: “Marilah kita sama-sama membina sebuah negara yang memakmurkan setiap warga, tanpa mengira kaum mahupun kepercayaan.
“Marilah kita sama-sama membangunkan sebuah negara di mana semua kaum menikmati kehidupan dan kemajuan yang seimbang. Marilah kita sama-sama membawa negara bangsa ke mercu kegemilangan.”
Apabila menyambut 100 tahun kemerdekaan kelak, ujar Abdullah, Malaysia sepatutnya terbilang di kalangan negara yang menikmati tahap pembangunan yang tinggi.
Presiden UMNO berkata, ketika itu nanti Malaysia seharusnya tergolong di kalangan ekonomi yang paling berdaya saing di dunia, dengan modal insan, infrastruktur, institusi serta piawaian urus tadbir bertaraf dunia.
Beliau mengakhiri ucapan itu dengan berdoa semoga pimpinan serta masa depan UMNO dan negara terus berada di tangan mereka yang berjiwa ikhlas.
Menurut Abdullah, UMNO perlu terus kuat dan berpengaruh, dan dengan kekuatan itu menyumbang kepada kekuatan bangsa.
Katanya: “Barang dijauhkan UMNO dan negara jatuh ke tangan orang-orang yang akan membawa kerosakan.”
0 comments:
Post a Comment